Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Serabut fikirkan juadah berbuka? Dapatkan idea menu 3 selebriti ini

Kepelbagaian menu sahur dan berbuka puasa yang dikongsi oleh para selebriti dan pempengaruh dari Malaysia membuka ruang kepada para netizen untuk sama-sama mencuba resepi mereka pada bulan Ramadan ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Serabut fikirkan juadah berbuka? Dapatkan idea menu 3 selebriti ini

(Gambar: Instagram/sheilarusly/bangman/khairulaming)

KUALA LUMPUR: Kepelbagaian menu sahur dan berbuka puasa yang dikongsi oleh para selebriti dan pempengaruh dari Malaysia membuka ruang kepada para netizen untuk sama-sama mencuba resepi mereka pada bulan Ramadan ini.

Kebanyakan menu yang dihasilkan khas pada bulan puasa bukan sahaja membuat orang ramai kecut air liur, malah ia juga mendapat pujian netizen.

Bukan sahaja kerana idea masakan yang ditampilkan, malah suntingan video dan sifat humor yang dimiliki oleh para selebriti dan pempengaruh berkenaan mencuit hati pengikut masing-masing.

Dengan tinggal kurang dua minggu untuk umat Islam berpuasa, Astro AWANI menghimpunkan tiga individu yang giat mengongsikan idea-idea menu berbuka puasa menerusi wadah media sosial masing-masing.

1. SHIELA RUSLY

Shiela Rusly bukan nama asing dalam industri seni Malaysia.

Pelakon, pengacara dan penerbit terkenal itu kerap mengongsikan air tangan dan resepi masakan, bukan sahaja pada bulan Ramadan tetapi juga pada hari-hari biasa.

Malah, kehebatan pengacara program 'Ketuk-Ketuk Ramadan' itu dalam bidang masakan tidak boleh disangkal.

Kelebihan yang dimilikinya dalam penghasilan drama menonjolkan lagi sisi kreatifnya dalam menghasilkan video-video masakan.

Lebih istimewa lagi, Shiela yang berusia 50 tahun, kini mempunyai lebih 2.9 juta pengikut di Instagram dan terkenal dengan masakan kegemaran anak-anak dan suaminya, Azman Yahya.

Bagi mereka yang ketandusan idea bagi juadah berbuka, boleh sahaja kunjungi akaun media sosial Shiela Rusly untuk mendapatkan ilham.

2. KHAIRUL AMING

'Hey what's up guys' - itu kata sapaan wajib setiap kali anda menonton video yang dimuat naik oleh personaliti popular, Khairul Aming.

Berasal dari Kota Bharu, Khairul mencipta fenomena sejak 2016 melalui penghasilan video yang memaparkan pelbagai resipi masakan.

Pemilik nama sebenar Khairul Amin Kamarulzaman menempa populariti di media sosial atas keunikan video tutorial masakan yang dikongsinya sehingga tular dan menjadi bualan ramai.

Setiap kali Ramadan, beliau akan tampil dengan menu-menu tersendiri.

Untuk Ramadan tahun ini, Khairul menyajikan pelbagai video masakan berkonsepkan '30 hari 30 resepi'.

Buat pertama kali juga, Khairul memuat naik video masakan secara langsung di Instagram dan TikTok pada waktu petang sepanjang bulan Ramadan tahun ini.

3. BANGMAN

Teknologi dan media sosial membuka ruang dan peluang kepada sebilangan individu untuk tampil bergiat aktif dan membina kumpulan peminat atau "fan base" sendiri.

Seorang lagi personaliti yang menarik tumpuan ramai adalah Bangman atau nama sebenarnya, Muhammad Aiman Salim.

Dengan seramai sejuta pengikut di aplikasi TikTok, Bangman juga mempunyai kelainan dalam mencipta video-video masakan.

Antara lain, beliau berupaya menyajikan menu masakan mudah sehingga menu juadah ala 'western', semuanya khas untuk tatapan para pengikutnya.

Dengan berbaki kurang dua minggu untuk berpuasa, anda bolehlah cuba menu-menu masakan yang dikongsi oleh para personaliti ini.

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan