Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Seni hiasan Kokedama dari Jepun tarik minat penggemar berkebun

Anggaran Waktu Membaca:
SHAH ALAM: Berbekalkan bahan-bahan mudah diperoleh, seperti lumut kering, sabut kelapa, dan kompos, pokok hiasan yang biasanya ditanam di dalam pasu kini boleh tampil lebih menarik dengan menggunakan teknik kokedama atau seni tanaman tanpa pasu sebesar saiz bola mini dan boleh digenggam dengan sebelah tangan.

Pelbagai pokok hiasan seperti ‘lidah jin’, photos, photos (epipremnum aureum), philodendron, bangun-bangun dan spider plant boleh dijadikan sebagai tanaman hiasan secara gantung atau diletakkan pada bekas termasuk barangan terpakai seperti tempurung dan sabut kelapa.

Pengasas Kokedama Kit Malaysia Norani Samsudin, 64 tahun, berkata kokedama adalah seni bonsai dari Jepun, dibuat menyerupai bola dan diselaputi dengan lumut lalu diikat bagi menggantikan penggunaan pasu.

“Teknik ini menjadi pilihan kerana tidak menggunakan tanah, menghasilkan tanaman yang bersih dan organik serta tidak memerlukan penjagaan rapi,” katanya kepada Bernama.

Pada masa sama, beliau yang juga tenaga pengajar teknik itu turut memperkenalkan kit kokedama seberat 250 gram, yang boleh dibeli dengan harga RM35 (S$10.75), mengandungi kompos yang bertindak sebagai media tanaman, sphagnum moss (lumut kering), sabut kelapa dan tali guni.

“Saya diperkenalkan dengan kokedama pada 2017, selepas anak membelinya, namun hanya bertahan dalam tempoh dua bulan. Atas dasar minat berkebun dan rasa ingin tahu, saya membuka media tanaman dan mendapati ia hanya dibuat menggunakan sabut kelapa,” katanya.

Susulan itu, Cik Norani melakukan beberapa kajian dan penyelidikan (R&D) terutamanya dalam penggunaan campuran kompos agar pokok hiasan yang ditanam mampu bertahan lama dan hidup segar walaupun tanpa perlu meletakkan baja dan menyiramnya setiap hari.

“Saya menggunakan kompos yang diperbuat daripada sekam padi yang dicampur dengan zeolite dan top soil. Sekam padi mengandungi effective mikrob (EM) daripada tumbuhan yang baik untuk menyuburkan tanah.

“Zeolite pula adalah mineral semula jadi kerana kebolehannya untuk menyerap dan menukar pelbagai bahan kimia, nutrien dan ion mengikut keperluan semasa,” katanya.

Pengasas Bersama Integrated Islamic School Shah Alam itu berkata melalui teknik ini, akar pokok dibalut dengan media tanaman kemudian dilitupi lumut sebelum diikat menggunakan tali dan mengubahnya menjadi bentuk arca mengikut kreativiti masing-masing.

“Sebelum itu, lumut perlu direndam kira-kira 10 ke 15 minit supaya menyerap air dan campuran kompos juga perlu digaul dengan air sehingga boleh dibentuk bulat,” katanya.

Bagaimanapun Cik Norani berkata, cabaran utama bagi menjayakan teknik itu adalah proses membahagi campuran kompos kepada dua bahagian tanpa menyebabkan bebola itu pecah.

“Kemudian, tekapkan akar pokok pada media tanaman bersekali dengan lumut yang diperah sehingga menutupi keseluruhannya yang sudah dibulatkan.

“Akhir sekali, media tanaman yang sudah dibalut dengan lumut itu perlu dililit dengan tali guni sehingga kemas dan mengikut kreativiti masing-masing sama ada ia sesuai digantungkan atau diletakkan di dalam bekas,” katanya sambil memberitahu proses itu biasanya mengambil masa 30 minit untuk disiapkan.

Kejayaannya menghasilkan kit itu membolehkan beliau menerima Sijil Penarafan Produk Industri Asas Tani dalam Seminar Galakan Pasaran Tempatan dan Antarabangsa Agropreneur Negeri Selangor oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) pada 2018.

“Kokedama juga hanya memerlukan penjagaan minimum, disiram dengan secara semburan air halus pada lumut yang membalut tanah atau merendam seketika bebola ke dalam air,” katanya yang menyifatkan kerjayanya sebagai tenaga pengajar kokedama sebagai satu terapi minda selepas penat seharian di tempat kerja.
Sumber : Bernama/SU/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan