Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Seni batik blok di Malaysia mungkin terkubur meski permintaannya masih tinggi

Permintaan bagi kain batik blok masih tinggi namun penghasilannya semakin berkurangan berikutan proses pembuatan dijalankan secara manual yang memerlukan tenaga manusia sepenuhnya.

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA NERUS: Permintaan bagi kain batik blok masih tinggi namun penghasilannya semakin berkurangan berikutan proses pembuatan dijalankan secara manual yang memerlukan tenaga manusia sepenuhnya.

Menurut salah seorang pengusahanya, Maimun Zainab Chik, 72, yang berasal dari Seberang Takir,  Terengganu kain batik blok masih mendapat tempat dalam kalangan masyarakat setempat dan pengunjung luar.

Menurut Cik Maimun hambatan utamanya adalah tenaga kerja kerana golongan muda tidak begitu berminat untuk melakukan kerja tangan seperti itu.

Selain itu harga bahan mentah bagi membuat kain batik yang semakin meningkat juga  menyebabkan ada pengusaha tidak meneruskan pengeluarannya.  

"Arwah suami, Wan Azhar Wan Awang, yang meninggal dunia 17 tahun lalu mengusahakan perusahaan membuat kain batik blok sejak tahun 1970an dan permintaan terhadap kain sarung itu masih tinggi hingga kini.

"Namun, kekurangan tenaga kerja menyebabkan pengeluaran kain batik blok  terpaksa dihadkan dan kini hanya seorang pekerja yang membantu menyiapkan kerja di bengkel," katanya seperti dinukil BH Online.

Menurutnya, batik buatan tangan itu sememangnya berbeza dengan batik yang dihasilkan dengan menggunakan mesin dan ketahanannya juga terbukti.

Pekerjanya, Mohd Fuad Musa, 55, berkata sehari beliau  hanya mampu menyiapkan 30 hingga 40 helai kain batik blok, itu pun bergantung kepada tahap kesukaran corak bunganya yang ditekap pada kain.

"Sehelai kain batik perlu melalui proses tertentu sebelum ia siap dan proses berkenaan menggunakan tenaga manusia sepenuhnya.

"Saya akui, masa depan pembuatan batik blok  semakin malap.  Sebagai contoh tempat kerja saya ini satu ketika dahulu begitu meriah kerana mempunyai hampir 20 pekerja.  Namun, semakin hari tiada lagi pelapis ingin meneruskan kerja membuat batik ini hingga tinggal saya seorang di bengkel ini meneruskannya," katanya seperti dinukil BH Online.

Golongan muda tidak begitu minat mempelajari dan mendalami ilmu membuat kain batik blok dan tidak mustahil perusahaan ini bakal terkubur sekiranya bakat pelapisnya  sukar dicari.

Kerumitan menghasilkan sehelai kain batik blok menyebabkan mereka kurang berminat bekerja di sektor ini.

Proses menghasilkan sehelai kain batik termasuk mencelup kain putih dengan pewarna, menekap blok yang mempunyai lilin ke atas kain, membuang warna, membuang lilin, merebus kain dan menjemur.

Setiap bunga pada kain memerlukan penggunaan dua hingga tiga blok berasingan sebelum motif bunga dapat ditonjolkan pada sehelai kain.

"Begitu juga dengan blok yang digunakan diperbuat daripada tembaga dan besi dengan harga blok melebihi RM300 (S$91) seunit.

Sehelai kain batik blok pula dijual dengan harga tidak kurang RM30 (S$9),  bergantung kepada mutunya.

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan