Skip to main content

Gaya Hidup

Senaman ikut peringkat usia kunci kekal cergas, elak kecederaan

Senaman bukan sekadar kegiatan untuk membakar kalori atau membina otot.

Anggaran Waktu Membaca:
Senaman ikut peringkat usia kunci kekal cergas, elak kecederaan

Senaman ikut peringkat usia kunci kekal cergas. (Gambar: Tirachard Kumtanom)

Diterbitkan : 29 Sep 2025 11:04PM Dikemas Kini : 29 Sep 2025 11:06PM
  • Senaman bukan sekadar kegiatan untuk membakar kalori atau membina otot.
  • Ini penting, kerana senaman yang dilakukan tanpa mengambil kira faktor usia atau keupayaan boleh mendatangkan risiko kecederaan.
  • Pada usia muda, seseorang lazimnya cenderung untuk memilih kegiatan lasak seperti larian jauh atau sukan berintensiti tinggi.
  • Sekurang-kurangnya 150 minit seminggu.
Dijana oleh AI
MALAYSIA: Senaman bukan sekadar kegiatan untuk membakar kalori atau membina otot. Ia juga merupakan "ubat semula jadi" yang memberi manfaat menyeluruh kepada tubuh dan minda seseorang.

Daripada meningkatkan tahap tenaga, mengurangkan tekanan, sehinggalah memperbaiki mutu tidur, senaman ialah rahsia kehidupan yang lebih sihat dan seimbang, lapor BH Online.

Senaman juga boleh menjadi tabiat jika seseorang itu memilih kegiatan yang digemarinya.

Namun, setiap peringkat usia mempunyai keperluan dan kemampuan tubuh yang berbeza.

Ini penting, kerana senaman yang dilakukan tanpa mengambil kira faktor usia atau keupayaan boleh mendatangkan risiko kecederaan. Malah, ia membuat seseorang itu cepat berputus asa, menurut BH Online.

Justeru, adalah penting untuk memahami jenis senaman yang selaras dengan usia dan tenaga supaya manfaatnya benar-benar dapat dirasai. Selain kekal cergas, senaman juga boleh membantu seseorang mencapai keseimbangan hidup yang lebih sihat dan bermutu.

Pada usia muda, seseorang lazimnya cenderung untuk memilih kegiatan lasak seperti larian jauh atau sukan berintensiti tinggi. Namun, apabila usia meningkat, tubuh memerlukan pendekatan yang lebih sesuai dengan tahap tenaga dan kesihatan.

Sebagai panduan, Bahagian Pendidikan Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia berkongsi garis panduan atau saranan kegiatan fizikal mengikut usia yang boleh diamalkan:

KEGIATAN FIZIKAL BAGI USIA LIMA HINGGA 17 TAHUN

Kegiatan fizikal yang dicadangkan:


Bermain atau beriadah, bersukan, melakukan kerja rumah, melakukan rekreasi sama ada di rumah, di sekolah atau dalam masyarakat.

Tempoh masa:

Lakukan sekurang-kurangnya 60 minit pada tahap sederhana atau tahap tinggi setiap hari.

KEGIATAN FIZIKAL BAGI USIA 18 TAHUN HINGGA 64 TAHUN

Kegiatan fizikal yang dicadangkan:

Boleh dibahagikan mengikut domain seperti kegiatan fizikal waktu senggang (contoh: membasuh kereta atau berkebun), perjalanan (contoh: berjalan atau berbasikal), pekerjaan, melakukan kerja rumah, bermain, rekreasi luar dan bersukan sama ada bersama keluarga, rakan atau masyarakat.

Tempoh masa:

Sekurang-kurangnya 150 minit seminggu. Konsep kumulatif 150 minit seminggu merujuk kepada jumlah masa dicampurkan dengan kegiatan fizikal yang dilakukan sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari secara berterusan, lapor BH Online. Contohnya, 30 minit kegiatan fizikal tahap sederhana buat lima hari seminggu.

Individu dewasa tidak aktif pula, lebih baik melakukan sedikit kegiatan daripada tidak melakukan sebarang kegiatan fizikal.

Individu dewasa yang tidak mencapai tahap kegiatan fizikal yang disarankan pula perlu menumpukan lebih perhatian dalam meningkatkan tempoh masa, kekerapan dan intensiti.

KEGIATAN FIZIKAL BAGI USIA 65 TAHUN KE ATAS

Kegiatan fizikal yang dicadangkan:

Domain kegiatan fizikal termasuklah kegiatan fizikal pada masa senggang (contohnya berkebun), perjalanan (contohnya berjalan atau berbasikal), pekerjaan (bagi individu yang masih bekerja), melakukan kerja rumah, kegiatan rekreasi, senaman (contohnya regangan, joging, tai-chi) dan bersukan.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita