Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Senaman & COVID: 5 soalan bersama Dr Fadzil Hamzah

Seseorang yang sedang dijangkiti COVID-19 atau baru pulih daripada koronavirus itu mungkin mengadu berasa lelah atau sukar bernafas. Ini memandangkan COVID-19 adalah jangkitan yang menyebabkan keradangan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seseorang yang sedang dijangkiti COVID-19 atau baru pulih daripada koronavirus itu mungkin mengadu berasa lelah atau sukar bernafas. Ini memandangkan COVID-19 adalah jangkitan yang menyebabkan keradangan.

Lantaran itu, bagi anda yang prihatin tentang kecergasan dalam konteks penularan COVID-19, kami membawakan nasihat pakar dalam edisi 5 Soalan Bersama Dr Fadzil Hamzah.

Beliau adalah Pendaftar Staf Kanan, Jabatan Perubatan Sukan dan Senaman, Hospital Besar Changi (CGH) serta di Pusat Perubatan Sukan dan Senama Singapura, Institut Sukan Singapura (SSMC@SSI).

1. Adakah senaman kerap dapat membantu dalam melindungi diri terhadap COVID-19?

Senaman dapat membantu dalam melindungi tubuh daripada jangkitan COVID. Ini kerana senaman yang kerap membantu untuk meningkatkan tahap imuniti.

exercise
Gambar: Active Health

Kajian juga menunjukkan jika anda dijangkiti COVID tetapi kerap bersenam sewaktu anda sihat, gejala yang anda alami tidak begitu teruk jika dibandingkan dengan seseorang yang tidak bersenam.

Risiko mengalami gejala teruk sehinggakan perlu dirawat di unit jagaan rapi (ICU) dalam kalangan mereka yang kerap bersenam sekiranya ketika dijangkiti COVID juga lebih rendah.

2. Bolehkah saya bersenam jika saya sedang dijangkiti COVID-19?

Semasa tubuh kita mengalami jangkitan, seperti COVID, tubuh kita seolah-olah berada dalam satu "peperangan" sedang ia mencuba untuk melawan jangkitan.

Jika kita bersenam ketika tubuh kita berada di "medan perang", kita akan menambah tekanan bukan saja kepada kecergasan tubuh, malah ia boleh menjejas tahap imuniti.

mask art test kit
Gambar: Guido Hoffman/Unsplash

Sekalipun kita diuji positif COVID-19 tetapi tidak mengalami sebarang gejala, ia tidak bermakna kita tidak mengalami jangkitan.

Secara "senyap-senyap", tubuh kita sedang melawan virus. Tubuh kita berdepan dengan tekanan untuk melawan jangkitan, meningkatkan imuniti dan mengelakkan daripada jangkitan yang lebih memudaratkan.

3. Bagaimanakah saya dapat mengekalkan kecergasan ketika dijangkiti COVID-19?

Walaupun kita tidak digalakkan bersenam ketika melawan jangkitan, kita boleh meregangkan otot supaya kita tidak berada dalam keadaan tidak aktif atau sekadar beristirehat sepanjang masa. Jika kita tidak menggerakkan tubuh, sendi kita boleh menjadi tegang dan otot-otot kita menjadi semakin lemah.

dr fadzil 1
Gambar: Dinah Danisyah Mazli

Cuba melakukan pergerakan intensiti rendah. Antara pergerakan yang boleh dilakukan adalah untuk membina fleksibiliti dengan meregangkan otot dan menggerakkan pergelangan tulang, seperti menggerak-gerakkan bahu dan kaki. Kita juga boleh mengemas rumah atau berjalan di dalam rumah.

dr fadzil
Gambar: Dinah Danisyah Mazli

Senaman yang menguatkan otot tidak digalakkan. Senaman yang menguji daya tahan (resistance exercises) memerlukan intensiti yang lebih tinggi. Adalah lebih baik untuk kita menunggu sehingga kita pulih daripada jangkitan.

4. Mampukah saya mengembalikan kecergasan saya seperti dahulu selepas saya pulih daripada COVID-19?

Dalam menempuhi tempoh pemulihan daripada sebarang jangkitan, kita lazimnya tidak melakukan pergerakan intensiti tinggi. Kita akan mengalami tahap prestasi yang begitu rendah jika dibandingkan dengan masa kita masih sihat.

Besar kemungkinan otot-otot ketika berada dalam keadaan lemah (deconditioned), di mana saiz otot-otot kita menguncup. Otot-otot kita juga mungkin menjadi tegang atau kejur. Fleksibiliti dan daya tahan (endurance) kita juga terjajas.

Selain membawa kesan kepada sistem rangka otot (musculoskeletal system), COVID juga adalah jangkitan yang unik kerana ia menjejas sistem pernafasan dengan mendatangkan keradangan paru-paru.

lung model
Gambar: Robina Weermeijer/Unsplash

Paru-paru kita akan menghasilkan lebih banyak cecair atau lendir berbanding sewaktu tubuh kita sihat. Apabila kita menarik nafas semasa paru-paru kita dalam keadaan radang, adalah sukar bagi paru-paru kita untuk berkembang. Maka itu, ia sudah tentu akan menjejas pernafasan, lebih-lebih lagi semasa bersenam.

COVID juga unik kerana ia berpotensi menjejas otot-otot jantung yang juga menghadapi keradangan. Ini berpotensi mendatangkan komplikasi miokarditis, yang mana otot-otot jantung menjadi bengkak dan ini menjejas degupan jantung.

Bagaimanapun, ia tidak bermakna kecergasan kita akan terus kekal pada tahap rendah. Kita boleh kembali bersenam secara beransur-ansur untuk memulihkan tahap kecergasan seperti sebelum jangkitan.

5. Apakah nasihat doktor tentang pemakaian pelitup muka semasa bersenam di tengah-tengah pandemik?

Walaupun seseorang pernah dijangkiti COVID atau sudah lengkap divaksin berserta dos penggalak, ia tidak bermakna seseorang tidak boleh dijangkiti COVID atau penyakit pernafasan yang lain.

Jika ditanya, sama ada kita harus memakai pelitup muka atau mengekalkan jarak selamat di kawasan di mana terdapat ramai orang atau rakan yang lain, saya rasa ia suatu pilihan peribadi: Tepuk dada, tanya selera.

man exercise
Gambar: Syahrin Seth/Unsplash


Jika kita berada dalam persekitaran di mana terdapat ramai orang lain, di mana kita berinteraksi dengan dekat, ia menimbulkan potensi dijangkiti COVID dan penyakit pernafasan yang lain. Pada saya, lebih baik untuk memakai pelitup dan menjaga jarak selamat serta menjaga kebersihan.

Anda mungkin berasa kurang selesa jika memakai pelitup ketika melakukan kegiatan fizikal intensiti tinggi, seperti lari pecut, kerana ia menjejas saluran oksigen dan pernafasan.

Menurut kajian, pemakaian pelitup ketika bersenam tidak mendatangkan sebarang kesan kepada tahap kecergasan seseorang itu.

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan