Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Semakin ramai warga SG sedar, mampu kenal pasti isu mental

Anggaran Waktu Membaca:
Semakin ramai warga SG sedar, mampu kenal pasti isu mental

(Gambar: ThitareeSarmkasat/iStock)

Diterbitkan : 19 Nov 2024 07:42PM Dikemas Kini : 19 Nov 2024 11:00PM
SINGAPURA: Satu kajian kesihatan mental nasional mendapati, lebih ramai rakyat Singapura kini sedar dan mampu mengenal pasti keadaan kesihatan mental biasa.

Kejadian-kejadian stigma juga banyak berkurangan.

Para penganalisis menyatakan, kadar kecelikan kesihatan mental yang tinggi ini akan membolehkan mereka yang menghadapi isu-isu mental untuk mendapatkan rawatan tanpa dibebani perasaan akan dikenakan stigma.

Menurut kajian Institut Kesihatan Mental (IMH) itu, yang didedahkan selepas lapan tahun dijalankan, hampir 4,200 penduduk diuji tentang sama ada mereka boleh mengenal pasti simptom-simptom seseorang yang ada kesihatan mental seperti nyanyuk, penyalahgunaan arak dan kemurungan.

Hampir enam daripada setiap 10 responden dapat mengenalinya.

Ini suatu peningkatan berbanding empat daripada setiap 10 semasa kajian sebelum ini.

Lebih tujuh daripada setiap 10 responden juga dapat mengenal pasti dengan tepat keadaan gangguan perjudian dan kemurungan yang membawa kepada berfikir untuk melakukan bunuh diri.

Isu stigma mengenai kesihatan mental juga mencatat hasil lebih baik berbanding kajian sebelum ini.

Pengurus projek kajia bagi divisyen penyelidikan IMH Shazana Shahwani berkata: "Kami juga mendapati bahawa dalam kumpulan usia lebih berumur dan juga yang lebih rendah pendidikan, ada paras stigma lebih tinggi dan kurangnya paras pengiktirafan.

"Jadi lebih banyak intervensi boleh dilakukan bagi kumpulan ini, contohnya dengan memberitahu masyarakat dan bercakap kepada mereka, serta mungkin juga melakukan sedikit intervensi menerusi bahasa dialek atau bahasa kedua lainnya."

Berucap di satu persidangan mengenai kesihatan mental, Menteri Negara Pembangunan Sosial dan Keluarga, Sun Xueling berkata, Singapura sedang memberi fokus kepada pencegahan awal bagi penyakit mental.

Contohnya, penggunaan peranti digital secara berlebihan di kalangan belia boleh membawa kepada ketagihan dan gangguan.

Lantaran itulah pada bulan-bulan mendatang, langkah-langkah baharu akan dilancarkan demi menangani penggunaan peranti.

Cik Sun berkata: "Menangani ketagihan tingkah laku memerlukan kerjasama seluruh agensi awam, sekolah-sekolah, penyedia jagaan kesihatan dan masyarakat lebih luas.

"Dengan menyepadukan strategi-strategi pendidikan, pencegahan dan rawatan, kita boleh melaksanakan respons lebih berkesan kepada ketagihan. Pengesanan awal dan intervensi yang tepat pada masanya penting dalam mengecah isu-isu ini daripada merebak."
Sumber : CNA/DY/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan