Semakin ramai pasang CCTV di luar rumah HDB meski tidak dibenarkan
Bolehkah anda menerimanya jika ada jiran yang mengawasi pergerakan harian anda di sepanjang koridor blok HDB?
Gambar hiasan.
SINGAPURA: Bolehkah anda menerimanya jika ada jiran yang mengawasi pergerakan harian anda di sepanjang koridor blok HDB dengan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di luar rumah mereka?
Itu adalah satu pertanyaan yang diajukan pada 12 Januari di kumpulan Facebook 'Complaint Singapore' (Aduan Singapura). Menurut kumpulan itu, ia adalah wadah bagi orang ramai "melepaskan kemarahan dan rasa tidak puas hati mereka" dan untuk berkongsi pengalaman buruk.
Pertanyaan itu menarik ratusan respons, dengan beberapa orang berkata bahawa itu tidak akan menjadi masalah buat mereka.
Jimmy Lin berkata ia boleh diterima kerana "anda tidak tahu bila anda akan memerlukan rakaman dari jiran anda untuk membantu anda sekiranya berlaku kecurian atau perkara lain".
William Liew pula berkata ia adalah baik, kerana "anda mempunyai pengawasan keselamatan percuma".
Sebilangan yang lain pula menarik perhatian bahawa memasang kamera CCTV di luar rumah HDB tidak dibenarkan.
PERLU MINTA KELULUSAN MAJLIS BANDARAN
Kawasan di luar sesebuah flat adalah ruang bersama dan ruang tersebut di bawah pengurusan dan penyenggaraan Majlis Bandaran masing-masing.
Maka itu, pemasangan CCTV di luar sesebuah flat HDB, misalnya di ruang bersama, tertakluk di bawah bidang kuasa Majlis Bandaran dan dikawal selia oleh undang-undang dan peraturan Majlis Bandaran.
Sebarang permohonan untuk memasang CCTV di ruang bersama perlu dibuat kepada Majlis Bandaran untuk dipertimbangkan dan diluluskan. Ia bukan dalam bidang kuasa HDB untuk menilai atau meluluskan permintaan sedemikian.
Akta Huraian Pertikaian Masyarakat, yang diluluskan pada 2015, menyatakan bahawa setiap individu "tidak boleh" menyebabkan "campur tangan yang tidak wajar" terhadap kesenangan atau penggunaan kediaman oleh jiran mereka. Ini termasuk "pengawasan" terhadap tetangga di tempat kediaman mereka.
Menurut Akta tersebut, jika ada penduduk yang didapati melanggar undang-undang ini, jiran mereka boleh memulakan prosiding sivil di mahkamah terhadap mereka.
Di samping itu, undang-undang kecil majlis bandaran juga mengatur penggunaan kawasan dikongsi, termasuk di luar flat.
"RATUSAN" CCTV DIJUAL SEBULAN
Meskipun adanya sekatan, bilangan orang yang membeli kamera CCTV untuk dipasang di luar flat HDB mereka meningkat sepanjang tahun lalu, kata beberapa peniaga yang menjual CCTV.
Pemilik Choicecycle CCTV Eric Cheong berkata bahawa penjualan CCTV untuk digunakan di luar rumah meningkat sekurang-kurangnya 20 peratus, sambil menambah bahawa dia menjual "ratusan" unit CCTV untuk kegunaan kediaman setiap bulan.
Tan Yi Chong, yang menangani pengembangan perniagaan untuk Surveillance Zone Singapore, berkata terdapat "peningkatan" jumlah orang yang memasang kamera di luar flat mereka sejak hujung tahun lalu.
Dia menambah bahawa dia menjual sekitar 20 hingga 30 CCTV untuk tujuan dipasang di luar flat setiap bulan.
Sebilangan besar orang memasang CCTV di luar kediaman mereka kerana perselisihan tetangga, kecurian barang mereka di luar koridor atau gangguan oleh orang lain, kata pengurus penjualan I-Secure Solution, Derek Peh.
I-Secure Solution menjual sekitar 100 hingga 200 CCTV untuk kegunaan di tempat kediaman setiap bulan.
RAKAMAN CCTV PERNAH DIGUNA UNTUK TANGKAP PENJENAYAH
Sebelum memasang CCTV di luar rumah mereka, seseorang perlu membuat laporan polis dan mendapatkan kelulusan majlis bandaran, kata Encik Tan, sambil menambah bahawa syarikatnya akan memberitahu pembeli mengenai peraturan berkenaan ketika mereka membuat pembelian.
"Biasanya sebelum mereka memasang, mereka sudah membuat laporan polis dan meminta persetujuan daripada majlis bandaran," tambahnya.
Pada 2019, seorang lelaki didenda S$5,000 setelah dia ditangkap dua kali dalam rakaman video melakukan perkara tidak senonoh dengan kasut wanita yang diambil dari flat HDB.
Kejadian pertama berlaku pada 22 Jan 2019. Seorang jiran yang melihat kasut wanita itu memberitahu suami wanita tersebut, yang memeriksa rakaman CCTV dari kamera yang dipasang di luar unitnya. Suami itu lalu membuat laporan polis.
Kejadian kedua berlaku pada 28 Jul pada tahun yang sama. Semasa diikat jamin atas kesalahan pertama, lelaki itu mengulangi perbuatan itu. Seorang jiran memberi tahu pemilik flat HDB, dan rakaman CCTV sekali lagi menangkap lelaki itu melakukan aksi tersebut.
Lelaki itu ditangkap tiga hari selepas itu, dan pada Oktober mengaku bersalah atas dua tuduhan melakukan perbuatan lucah di tempat awam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.