Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Selesa beraya dengan pelitup meski SOP sudah dilonggarkan

Anggaran Waktu Membaca:
Selesa beraya dengan pelitup meski SOP sudah dilonggarkan

Gambar: BERNAMA

Diterbitkan : 04 May 2022 08:52PM Dikemas Kini : 04 May 2022 08:56PM

SHAH ALAM: Rakyat Malaysia memilih untuk kekal memakai pelitup di luar bangunan meskipun kerajaan sudah melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pemakaiannya sejak 1 Mei lalu.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa kawasan tumpuan di sekitar Shah Alam mendapati rata-rata mereka lebih selesa untuk memakai pelitup walaupun menyambut Hari Raya Aidilfitri di tempat terbuka.

Fadhil Misbari, 42 tahun, misalnya berkata, dia sekeluarga lebih memilih untuk terus memakai pelitup kerana negara masih lagi berdepan dengan ancaman wabak COVID-19.

Menurutnya, walaupun berada dalam fasa peralihan endemik, namun negara belum bebas sepenuhnya daripada COVID-19.

“Jadi, saya lebih memilih untuk kekal beraya dengan memakai pelitup muka kerana ia lebih selamat dan saya juga tidak mahu mengambil risiko mendedahkan anak-anak kepada virus ini.

“Lagipun, ia lebih bahaya untuk kanak-kanak walaupun mereka sudah divaksin tetapi imun dalam badan mungkin tidak sesuai lagi.

“Kita sokong saranan kerajaan tetapi keadaan sekarang adalah lebih kepada inisiatif sendiri,” katanya ketika ditemui pada Selasa (3 Mei).

Pendapat sama turut diutarakan seorang guru, Dzaty Adlin, 30 tahun, yang mengakui dia lebih selesa memakai pelitup walaupun beraya di tempat terbuka terutamanya di kawasan yang sesak untuk mengelak jangkitan wabak COVID-19.

“Lagipun kita dah terbiasa memakai pelitup muka dan sudah menjadi rutin harian rakyat Malaysia sejak munculnya COVID-19.

“Sudah dua tahun kita pakai, nak bercakap dengan orang pun dah terbiasa bertutup (dengan pelitup muka),” katanya.

Pembantu rumah, Zamri Marzuki, 33 tahun, pula akui lebih memilih untuk menjaga SOP dengan mengamalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup meskipun menyambut lLebaran di luar bangunan.

“Memanglah tidak wajib pakai di tempat terbuka tetapi kalau keadaan sesak saya masih akan pakai pelitup muka untuk keselamatan diri sendiri,” ujarnya.

Sementara itu, Mohammad Shukri Suling, 44 tahun, berkata, dia dan keluarga akan terus memakai pelitup kerana bimbang terhadap pandemik COVID-19 yang masih belum pulih.

“Kita kena jaga diri dan keluarga sendiri. Virus ini tidak boleh dilihat dengan mata kasar, jadi kita tidak tahu siapa pembawa dan sesiapa sahaja berisiko terdedah kepada wabak ini terutamanya apabila berada di luar rumah,” jelas pengawal keselamatan itu.

Bagaimanapun katanya lagi, ia juga terpulang kepada pilihan individu itu sendiri, apatah lagi kelonggaran sudah diberikan.

Dalam pada itu, seorang kerani, Geeta Yolanda, 27 tahun, yang berkunjung ke pusat riadah di sekitar Shah Alam bersama dua anaknya juga memilih untuk memakai pelitup kerana sudah terbiasa dengan keadaan itu.

“Sekiranya berada di tempat lapang dan tidak ramai orang, baru saya yakin untuk membukanya,” katanya lagi.

Sumber : Agensi berita/AW/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan