Skip to main content

Gaya Hidup

Selebriti SG kongsi tip kesihatan sempena pameran bergerak SG Lebih Sihat

Anggaran Waktu Membaca:
Selebriti SG kongsi tip kesihatan sempena pameran bergerak SG Lebih Sihat

(Gambar: chefbob.sg, nitybaizura/Instagram

SINGAPURA: Anda pernah melihat mereka di kaca TV, mendengar mereka di corong radio atau mungkin bertemu mereka di satu-satu acara.

Kebanyakan masanya, selebriti dan personaliti ini cukup bertenaga dan memaparkan semangat positif. Bagaimanakah mereka melakukannya?

Sebagai contoh, bagaimana anda boleh menurunkan berat badan seperti Chef Bob? Dan apakah yang dilakukan Nity Baizura untuk tetap bertenaga melayan anak-anaknya selepas seharian di konti radio?

KURANGKAN DAGING, MAKAN LEBIH BANYAK SAYUR

Siapa yang tidak kenal Shahrizal Salleh, atau lebih dikenali sebagai Chef Bob. Selebriti masakan ini berkongsi tip bagaimana untuk membantu anda makan lebih banyak sayur.
“Sertakan sayur-sayuran ke dalam makanan yang anda gemari. Contohnya, masukkan lobak merah dan kobis ke dalam nasi goreng, atau campurkan bayam dan cendawan dalam telor dadar anda,” katanya.

Jika anda tidak suka tekstur sayur-sayuran tertentu, cuba panggang, tumis, kukus atau microwave.

"Ia mungkin mengambil sedikit masa dan anda perlu cuba untuk mencari sayur-sayuran serta kaedah penyediaan yang anda nikmati, tetapi faedahnya terhadap kesihatan sangat berbaloi," tambah beliau.

Bagi mereka yang gemar makan daging, ini nasihat beliau: "Saya tahu memang sukar untuk lepaskan burger dan steak kerana saya juga menyukainya", kata Chef Bob.

“Anda boleh mulakan dengan mengambil lebih banyak protein berasaskan tumbuhan ke dalam diet anda seperti tahu, tempe dan kacang. Anda juga boleh menggantikan daging dengan cendawan atau terung dalam beberapa resipi kegemaran anda.”

Yang penting juga tambah beliau, jangan langsung berhenti mengambil daging.

"Cuba lakukan sehari dalam seminggu mengambil menu tanpa daging dan secara beransur-ansur menambahnya," ujar beliau.

Chef Bob berpendapat anda tidak perlu hanya makan salad untuk menjadi sihat. Anda masih boleh menikmati hidangan di pusat penjaja atau kedai kopi kegemaran anda.

Apa yang penting ialah memilih makanan lebih sihat dengan banyakkan sayur-sayuran dan protein berbanding daging yang diproses,” katanya.

TINGKATKAN TENAGA ANDA

Bagi DJ Ria 897, Nity Baizura, beliau memastikan dapat makan dengan betul, minum banyak air dan tidur yang cukup supaya tetap bertenaga untuk melayan dua anak lelakinya.

Nity juga bersenam untuk meningkatkan tahap tenaganya.

"Saya cuba bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu selama kira-kira 20 minit setiap sesi. Saya akan menghidupkan beberapa video senaman di YouTube dan ikuti langkah-langkahnya."

Pada hari-hari yang beliau rasa tidak mahu banyak bergerak, "Saya akan ajak suami saya berjalan-jalan. Hasilnya sama, kita akan berpeluh juga."
KURANGKAN TEKANAN

Bagi hos yang tidak asing lagi, Najip Ali, untuk membantu menangani tekanan "terutamanya apabila membuat persembahan secara langsung atau mana-mana rancangan di mana saya bersemuka dengan penonton", beliau memastikan cukup berehat sebelum setiap gig.

“Selain itu, kelilingi diri anda dengan orang baik, yang menggalakkan, mengambil berat dan menyokong anda dalam usaha anda,” katanya.

Apa yang anda makan atau tidak makan juga penting, kata Najip.

Beliau mendapat tenaga daripada makanan tambahan seperti madu manuka.

“Dan saya tidak pernah makan berlebihan; Saya hanya makan sehingga 80 peratus kenyang. Ia satu disiplin yang baik untuk dimiliki.”

Beliau yang meminati senaman kardio juga gemar berbasikal "selalunya di sekitar kawasan kejiranan saya".

"Saya menggunakan mesin berjalan dua kali seminggu selama setengah jam. Saya mengamalkan senaman regangan otot dan pernafasan pada waktu pagi," katanya.
Untuk butiran lanjut tentang pameran bergerak SG Lebih Sihat, anda boleh lungsuri www.healthiersg.gov.sg/roadshows/about/
Sumber : CNA/SU/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita