Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Segelas bubble tea setiap hari boleh sebabkan gout?

Banyak yang sudah diperkatakan berkenaan kesan minuman itu terhadap kesihatan - sama ada disebabkan kandungan gula yang tinggi atau kadar kalori yang tinggi pada bebola ubi itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Segelas bubble tea setiap hari boleh sebabkan gout?
Diterbitkan : 12 Jun 2021 10:30PM Dikemas Kini : 12 Jun 2021 10:32PM

SINGAPURA: Adakah anda dalam kalangan penggemar minuman "bubble tea"?

Berasaskan teh, resipi air minuman itu termasuk susu dengan pilihan ditambah gula.

Namun, paling penting, ia semestinya mengandungi bijian 'pearl' atau bebola ubi kayu yang juga boleh digantikan dengan jeli atau puding.

Banyak yang sudah diperkatakan berkenaan kesan minuman itu terhadap kesihatan - sama ada disebabkan kandungan gula yang tinggi atau kadar kalori yang tinggi pada bebola ubi itu.

Sememangnya, anda harus berjaga-jaga.

Selain menjejas diet anda, minuman kegemaran ramai itu mungkin juga boleh menyebabkan penyakit gout.

"Saya merawat empat atau lima pesakit setiap bulan secara purata kerana masalah gout," dedah Dr Victor Seah, pakar bedah ortopedik dari Hospital Parkway East.

Pesakit-pesakit tersebut berkongsi bahawa mereka minum bubble tea secara kerap walaupun tidak dapat dipastikan jumlah dan kekerapan yang tepat.

RASA SEPERTI DITUSUK JARUM

Serangan gout kerap bermula dengan rasa seperti ditusuk jarum tajam yang pesat berubah kepada kesakitan yang melampau pada sendi.

"Rasa sakit yang amat sangat, seperti ditusuk jarum tajam dan ada kalanya sendi-sendi anda rasa seperti terbakar, kata Dr Seah.

"Ada pesakit menyifatkannya seperti dicucuk banyak jarum. Rasa sakit itu terus berulang, malah tidak ada leganya meskipun sedang berehat," tambahnya lagi.

Serangan gout juga mungkin mempunyai tanda-tanda ini:

Kemerahan, rasa panas, bengkak dan sakit yang melibatkan satu atau beberapa sendi.
Ibu jari kaki, lutut atau sendi buku lali kerap yang terkesan.
Rasa sakit itu berlaku secara tiba-tiba, kerap kali pada waktu malam.
Mungkin juga ada yang kemudian demam.

"Gout yang tidak terkawal juga boleh menyebabkan batu karang dan dalam kes yang teruk, kerosakan ginjal," tambah Dr Seah.

KAITAN DENGAN BUBBLE TEA

Jadi apa kaitan gout dengan bubble tea? Bukankah gout biasanya berpunca daripada banyak makan daging merah, kacang dan makanan laut?

Memang benar makanan dan minuman yang menyebabkan gout mengandungi asid amino yang dikenali sebagai glutamat.

Apabila dihadam, glutamat membentuk purina yang kemudian dipecahkan menjadi asid urik, jelas pakar diet sukan dan klinik serta pengasas Aptima Nutrition and Sports Consultant, Jaclyn Reutens.

Sementara itu, fruktosa yang ditemui dalam bijirin 'pearl', gula, sirap, madu, perisa buah-buahan, buah-buahan segar dan puri buahan boleh menyebabkan kadar purina meningkat dalam tubuh badan apabila dihadam, tambah Cik Reutens.

"Berdasarkan anggaran, satu gelas biasa hingga gelas besar bubble tea yang mempunyai bebola pearl akan mengandungi 15 gram hingga 42 gram sukrosa yang menghasilkan 7.5 gram hingga 21 gram fruktosa," kata Cik Reutens.

Jumlah itu mungkin kurang daripada perisa bubble tea menggunakan gula perang yang mempunyai 92 gram sukrosa tetapi hampir cecah had harian anda sebanyak 45 gram hingga 55 gram seperti disarankan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB).

"Terlalu banyak bubble tea juga boleh menyebabkan anda menambah berat badan. Minta dikurangkan atau jangan guna gula atau kurang atau tanpa bebola pearl," jelas Cik Reutens. 

Sumber : CNA/RU/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan