Segala tentang burung kakaktua di hujung jari peminat 'tegar' ini
Setiap hujung minggu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, sekawan burung kakaktua pelbagai warna akan ‘berlibur’ di pinggiran sebuah kawasan perumahan di Cyberjaya dengan ditemani pemilik masing-masing.
CYBERJAYA: Setiap hujung minggu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, sekawan burung kakaktua pelbagai warna akan ‘berlibur’ di pinggiran sebuah kawasan perumahan di Cyberjaya dengan ditemani pemilik masing-masing.
Pelbagai spesies burung kakaktua seperti jenis Macaw, antaranya Hahn’s Macaw dan Blue and Gold Macaw, yang ketinggiannya hampir mencecah satu meter serta jenis Cockatoo akan terbang bebas dalam aktiviti 'free fly' yang dilakukan oleh pemilik burung.
Tidak ketinggalan menyertai aktiviti terbang bebas itu adalah Coco iaitu burung jenis Blue and Gold Macaw dan Betto jenis Indian Ringneck milik Encik Masri Mahmud, seorang jurutera teknologi maklumat yang begitu serius dengan dunia ‘kakaktua’ sejak 2018.
“Dulu masa kecil saya suka tengok gambar kakaktua atas kotak pensil warna dan di televisyen namun sumber untuk membela terhad," katanya kepada Bernama. Beliau kini membela 13 burung kakaktua termasuk Coco dan Betto.
TATANG BAGAI MINYAK YANG PENUH
Menyifatkan penjagaan burung kakaktua seperti menjaga bayi, bapa kepada tiga anak itu menjaga Coco dan Betto ‘bagai menatang minyak yang penuh’ kerana aspek kesihatan serta cara pemakanannya amat dititikberatkan memandangkan burung tersebut turut mempunyai pantang larangnya.
“Mungkin ramai tidak tahu burung kakaktua tidak boleh makan buah avokado kerana ia boleh mengakibatkan maut. Makanan atau minuman berasaskan susu dan juga coklat tidak boleh diberikan langsung,” kongsi Encik Masri.
Menurut beliau, burung kakaktua mempunyai jangka hayat lingkungan 50 hingga 80 tahun jika dipelihara dengan baik.
Coco dan Betto memakan pelet burung, kekacang, buah-buahan dan sayur-sayuran antaranya brokoli, sawi, labu, mangga, betik dan uniknya, burung kakaktua juga suka makan cili padi kerana tiada deria rasa yang sensitif terhadap makanan pedas seperti manusia, katanya.
Berkongsi mengenai aktiviti Coco dan Betto, Encik Masri berkata burung juga mempunyai ‘tekanan’ yang tersendiri apabila terperap sahaja dalam sangkar atau tiada aktiviti sampingan dilakukan bersama burung berkenaan.
“Kalau mereka stres, mereka akan mula mencabut bulu menggunakan paruh. Itu indikasi mereka kebosanan dan kita perlu melayan dengan bermain atau bawa untuk 'free fly' kerana burung kakaktua merupakan jenis aktif,” jelasnya.
Encik Masri berkata Coco dan Betto pandai 'berkata-kata' dengan perkataan yang seringkali diungkapkan ialah ‘kakak’ terutamanya ketika mahu makan, selain ‘abah’, hai dan helo.
ASPEK KESIHATAN
Mengenai aspek kesihatan pula, Encik Masri berkata seekor burung kakaktua dewasa seharusnya mempunyai berat lingkungan 900 gram hingga 1.2 kilogram sahaja dan sekiranya lebih, ia dikira obesiti.
"Pemeriksaan kesihatan berkala juga dibuat setiap enam bulan sekali bagi memastikan tiada jangkitan fungus, masalah penghadaman atau penyakit lain berpunca daripada salah makan," katanya.
Encik Masri turut menyimpan hasrat untuk memiliki burung kakaktua jenis Green-Winged Macaw yang harganya mencecah RM20,000 (S$ 6,400) atas sebab minat dan tertarik dengan warnanya.
Menurut Encik Masri, pelaksanaan kawalan pergerakan dalam negara mengekang aktiviti terbang bebas burung kakaktua dan rakan-rakan pemilik burung kakaktua tinggal di daerah lain tidak dapat berkumpul seperti biasa.
“Kami juga mempunyai kumpulan sokongan Free Fly Parrot Malaysia dalam laman Facebook sebagai satu pasukan besar pemilik burung kakaktua dalam negara. Pelbagai tips dan perkongsian mengenai penjagaan burung boleh didapati daripada kumpulan itu,” ungkapnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.