Sebuah kompleks unik untuk semua agama di Rusia
Sebuah masjid, gereja dan saumaah dibina di bawah satu bumbung. Jarang didengar tetapi hakikatnya, bangunan seperti itu wujud dan dinamakan 'Temple of All Religions' (Tempat Ibadat bagi Semua Agama).
(Gambar: cinzanaaa/Instagram)
KAZAN: Sebuah masjid, gereja dan saumaah dibina di bawah satu bumbung.
Jarang didengar tetapi hakikatnya, bangunan seperti itu wujud dan dinamakan 'Temple of All Religions' (Tempat Ibadat bagi Semua Agama). Ia terletak di Kazan, di republik Tatarstan sekitar 800 kilometer dari Moscow - persimpangan yang sekian lama menghubungkan agama Islam dan Kristian.
Pembinaan kompleks itu bermula pada 1992, dipercayai selepas seorang jurubina yang dermawan, Ildar Khanov mendakwa beliau bertemu dengan Jesus Christ.
Saudara lelakinya, Encik Ilgis Khanov berkata: "Ildar datang dan memberitahu saya 'Ilgiz, kamu tahu, ayah mengimpikan untuk membina sebuah masjid'. Tetapi kerana negara kami (Rusia) terdiri daripada penganut dua agama, termasuk Buddha, Ildar memutuskan untuk menghubungkan (kesemuanya)."
Bangunan itu masih dalam proses dibina dan bergantung kepada sumbangan para pengunjung ke tempat itu.
Pengasasnya, Ildar Khanov, meninggal dunia pada 2013 dan saudara lelaki itu meneruskan hajatnya menyiapkan bangunan tersebut.
Di Tatarstan, Ildar Khanov dikenali ramai sebagai seorang yang boleh merawat para penagih dadah dan pemabuk.
Mendiang membiayai keseluruhan projek 'Temple of All Religions' sendiri dan bergantung kepada derma pembekal binaan serta bantuan para pesakitnya untuk melakukan kerja binaan.
Sebuah kompleks yang unik, juga dikenali sebagai 'Universal Temple', ia menampilkan pelbagai jenis seni bina agama utama serta agama-agama lain seperti yang tidak lagi dianuti dari zaman silam Mesir.
(Gambar: m_arisu/Instagram)
Ruang-ruang yang sudah siap termasuk Dewan Jesus Christ, Dewan Katolik, Bilik Buddha dan Dewan Mesir.
Kemudahan itu juga dilengkapi dengan sebuah panggung, galeri seni dan bilik minum teh.
Pengurus 'Temple', Encik Farid Khairillin, berkata: "Ia satu hasil seni dan pada masa yang sama rumah privet. Anda datang ke sini sebagai seorang pengunjung. Anda melawat rumah keluarga Khanov. Anda datang untuk melihat apa yang mereka lakukan.
Encik Khairillin menjelaskan mengapa bangunan itu menjadi satu daya tarikan:
"Orang ramai ke tempat ini kerana ia lain daripada lain. Tiada lain seperti ini di dunia. Ada tempat-tempat serupa, seperti kuil di Bali yang berpegang kepada lima kepercayaan berbeza, tetapi ia kuil yang beroperasi. Juga di Eropah, di Amsterdam, saya fikir, atau di Belanda, di mana satu rumah ibadat dibina bagi dua agama berbeza. Tetapi di sini berlainan sedikit, (kami) menyampaikan satu lagi mesej," katanya.
Antara para pengunjungnya ialah Rafita Pandiagan, dari Indonesia.
Beliau berkata: "Kita tidak perlu rasa janggal antara satu sama lain meskipun kita berbeza dan mempunyai agama berbeza. Dan tempat ini mengajar saya supaya kita perlu bertolak ansur."
Hari ini, struktur itu secara rasmi dipanggil Pusat Antarabangsa bagi Perpaduan Budaya (International Centre for Cultural Unity). Ia menjadi sebuah pusat budaya dan kediaman bagi keluarga Khanov tetapi bukan sebagai tempat ibadat yang aktif untuk mana-mana agama.
Ia bermatlamat untuk menggalak pemahaman antara agama atau "menjadi sebuah rumah budaya dan kebenaran", seperti yang disifatkan pengasasnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.