Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Sebilangan pemilik di S'pura ambil langkah pertama klon haiwan peliharaan tersayang

"Bila ia mati, seolah-olah secebis jiwa saya juga mati bersama.": Beberapa penduduk S'pura ambil langkah untuk hasilkan klon haiwan peliharaan mereka setelah ia tiada nanti. Ini penjelasan doktor haiwan tentang pertimbangan etika dan sains...

Anggaran Waktu Membaca:
Sebilangan pemilik di S'pura ambil langkah pertama klon haiwan peliharaan tersayang

Garlic (bawah) adalah anak kucing klon pertama dihasilkan di China (Gambar fail: AFP/STR)

Diterbitkan : 07 Dec 2021 12:02AM Dikemas Kini : 07 Dec 2021 12:09AM

SINGAPURA: "Bila ia mati, seolah-olah secebis jiwa saya juga mati bersama."

Demikian kesedihan yang diluahkan doktor haiwan Jean-Paul Ly mengenai anjing peliharaannya yang dinamakan Khan.

Khan menjadi teman Dr Ly semasa beliau berduka. "Ia akan duduk dan merenung anda. Dan bila ia melihat anda, seolah-olah ia faham," kongsi Dr Ly.

Sekitar tujuh atau lapan bulan sebelum Khan mati pada usia 17 tahun, Dr Ly mengambil sel kulit anjing itu dan membekukan sampelnya.

Apabila Khan mati pada Ogos, Dr Ly memutuskan untuk cuba mengklon haiwan kesayangannya itu di sebuah kemudahan luar negara.

Sinogene, sebuah syarikat China itu mendapat sorotan pada 2019 apabila menghasilkan kucing klon pertama China. Harga untuk menghasilkan klon di kemudahan Beijing itu: Sekitar AS$50,000 (S$68,500).

Jika berhasil, klon Khan mungkin adalah haiwan peliharaan yang pertama seumpamanya untuk diimport ke Singapura.

Di negara-negara di mana haiwan peliharaan sudah berjaya diklon, amalan itu hangat diperbahaskan. Penyanyi Barbra Streisand, misalnya, mencetuskan pelbagai reaksi pada 2018 apabila dia mendedahkan dua anjingnya adalah klon seekor anjing bernama Samantha.

Terdapat tiga kemudaha di dunia yang melakukan pengklonan haiwan peliharaan. Selain Sinogene, Sooam Biotech di Korea Selatan yang mana khidmat itu dilaporkan menelan belanja sekitar AS$100,000 (S$137,000) untuk seekor anjing dan ViaGen Pets and Equine yang berpangkalan di Texas, Amerika Syarikat.

SIMPAN DNA HAIWAN PELIHARAAN DI LUAR NEGARA

Di Singapura, beberapa doktor haiwan telah melihat pelanggan yang ingin mengambil sampel kulit haiwan peliharaan mereka, seandainya mereka mahu mengklonnya pada masa hadapan. Namun belum jelas sama ada mana-mana pelanggan telah meneruskan dengan pengklonan itu.

ViaGen Pets memberitahu Mediacorp bahawa "beberapa pelanggan di Singapura" menyimpan DNA dengan syarikat itu, tetapi tiada seorang pun daripada mereka adalah pelanggan pengklonan haiwan peliharaan.

Pemeliharaan genetik berharga AS$1,600 (S$2,191) di ViaGen, menurut syarikat itu. Ia mengenakan bayaran AS$35,000 (S$47,932) untuk mengklon kucing, AS$50,000 (S$68,474) untuk anjing dan AS$85,000 (S$116,407) untuk mengklon kuda.

Dr Ly, yang kini bertugas di Animal Wellness Centre berkata beliau menemui enam pelanggan sedemikian sepanjang tempoh lapan tahun yang lalu.

Dr Jean-Paul Ly bersama anjing kesayangannya, Khan (Gambar ihsan: Dr Jean-Paul Ly)

Dr Jean-Paul Ly bersama anjing kesayangannya, Khan (Gambar ihsan: Dr Jean-Paul Ly)

Cathy Chan, pengasas bersama dan pengarah The Animal Doctors, melihat "beberapa" pemilik haiwan peliharaan bertanyakan tentang sampel kulit untuk tujuan ini. Klinik doktor haiwan itu yang mempunyai dua cawangan di Ang Mo Kio dan Tiong Bahru, menerima pertanyaan pertamanya pada Januari, kata beliau.

PERTIMBANGAN SUDUT ETIKA

Meskipun The Animal Doctors telah memenuhi permintaan dan menghormati keputusan pelanggan yang mungkin ingin mengklon haiwan peliharaan mereka, "kami menasihatkan pelanggan supaya mempertimbangkan dari sudut etika ketika berbuat demikian", tambah Dr Chan.

"Kami menjelaskan bahawa terdapat perkara-perkara yang tidak diketahui apabila berurusan dengan pengklonan. Kami juga cuba mengekalkan sudut pandangan bahawa haiwan yang diklon itu tidak mungkin sama dengan haiwan peliharaan sebelum ini, dari segi tingkah laku mahupun kesihatan."

Beliau menarik perhatian implikasi etika dan kebajikan haiwan. "Secara saintifik, ia masih belum diketahui, dan tiada bukti yang kukuh untuk menyokong amalan ini, terutamanya berkenaan dengan jangka hayat dan kesihatan haiwan sedemikian," katanya.

“Syarikat pengklonan selalunya bersifat komersil dan memberi janji/harapan palsu kepada pemilik yang mungkin bersedih (atas pemergian) haiwan kesayangan mereka. Amalan ini amat diragui.”

Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar di bawah Lembaga Taman Negara (NParks) tidak menyimpan rekod sama ada terdapat haiwan peliharaan klon di Singapura. Syarat import yang ditetapkan tidak termasuk mengisytiharkan sama ada haiwan peliharaan itu adalah klon.

Bagaimanapun, Dr Ly dan seorang lagi doktor haiwan Dr Lee Yee Lin berpendapat kemungkinannya adalah rendah haiwan peliharaan sedemikian diimport setakat ini.

PERSATUAN VETERINAR "BANTAH KERAS"

Sementara itu, Persatuan Veterinar Singapura (SVA), "membantah keras" pengklonan haiwan peliharaan. Kos dan implikasi negatif terhadap kebajikan haiwan jauh melebihi manfaat pengklonan haiwan peliharaan, jika manfaatnya wujud pun sama sekali, tegasnya.

SVA menyatakan ia "sangat menyokong" kemajuan saintifik dan boleh bersimpati dengan pemilik haiwan peliharaan yang mungkin tertarik dengan kemungkinan menggantikan haiwan peliharaan mereka melalui pengklonan haiwan.

"Bagaimanapun, secara keseluruhan, pengklonan haiwan peliharaan tidak memperbaiki kebajikan haiwan, kesihatan haiwan mahu pun mempunyai nilai sosial sebenar dalam memupuk hubungan manusia-haiwan," tambahnya.

Persatuan itu menyifatkan janji menghasilkan klon yang merupakan replika salin tak tumpah haiwan peliharaan sebagai janji palsu, kerana penzahiran genom seekor haiwan "secara keseluruhannya" adalah di luar kawalan mana-mana makmal.

"Sama seperti manusia, pengalaman dan persekitaran di mana haiwan peliharaan itu dibela membentuk identiti dan kelakuan keseluruhan haiwan kesayangan itu," tambahnya.

SVA juga menentang kemudahan pengklonan menggunakan haiwan yang dibiak "semata-mata untuk tujuan menuai telur dan/atau penggantian".

"Memandangkan terdapat kemungkinan besar kegagalan termasuk banyak embrio yang rosak, keguguran dan kecacatan janin, proses itu diulang-ulang sehingga 'haiwan yang boleh diterima' berjaya dihasilkan," jelasnya.

Beribu-ribu anjing, kucing dan haiwan lain di Singapura memerlukan rumah, dan pengklonan haiwan peliharaan mungkin "memburukkan pengurusan jumlah haiwan secara keseluruhan, terutamanya jika ia memberi kesan buruk kepada kadar pengambilan haiwan dari tempat perlindungan", tambah SVA. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan