Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Sebilangan ahli optik tidak periksa mata sebelum jual kanta lekap

Bagi Cik Jasmine Chee, proses membeli kanta lekap sebelum ini amat ringkas. Beliau akan pergi ke kedai, beritahu ahli optik butiran tentang masalah rabun yang dialaminya, bayar untuk kanta lekap kemudian pulang.

Anggaran Waktu Membaca:
Sebilangan ahli optik tidak periksa mata sebelum jual kanta lekap

(Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 15 Oct 2018 10:53AM Dikemas Kini : 15 Oct 2018 10:58AM

SINGAPURA: Bagi Cik Jasmine Chee, proses membeli kanta lekap sebelum ini amat ringkas. Beliau akan pergi ke kedai, beritahu ahli optik butiran tentang masalah rabun yang dialaminya, bayar untuk kanta lekap kemudian pulang.

Begitulah rutin beliau sejak mula memakai kanta lekap sekitar 10 tahun lalu, sehinggalah pada satu hari beliau mendapat tahu beliau menghidapi neovascularisasi kornea - satu masalah mata yang boleh mengakibatkan beliau menjadi buta.

Masalah tersebut disebabkan oleh kornea yang kekurangan oksigen yang mungkin berpunca daripada kanta lekap yang tidak tepat saiznya. Cik Chee percaya keadaan ini boleh dielakkan sekiranya ahli optik beliau melakukan pemeriksaan sewajarnya.

"Bila anda membeli kanta lekap di Singapura, mereka akan tanya kuasa rabun anda dan anda beli saja dari kedai. Mereka tidak akan meminta anda untuk mencubanya untuk melihat sama ada ia sesuai dengan anda," kata beliau.

PEMERIKSAAN MATA, UKURAN JARANG DIAMALKAN

Meskipun kod tatalaku Lembaga Ahli Optik dan Juru Optik (OOB) memerlukan ahli optik berlesen untuk menilai kesesuaian pesakit untuk menggunakan kanta lekap, tinjauan Mediacorp mendapati tidak semua yang memamatuhinya.

Hanya satu daripada empat kedai optik yang dikunjungi Mediacorp memastikan pemeriksaan mata dilakukan sebelum kanta lekap dijual.

Pemeriksaan di Pusat Optometri Politeknik Ngee Ann mendapati bahawa kanta-kanta lekap yang dibeli dari tiga kedai yang tidak menjalankan pemeriksaan itu dalam ukuran dan bentuk yang salah dan tidak sesuai dan selesa digunakan.

Malah, satu daripada kanta lekap itu kerap bergerak-gerak apabila dipakai mengakibatkan penglihatan kabur.

Hakikatnya terdapat kes-kes yang lebih teruk. Cik Kellyn Tan, 20 tahun, yang membeli kanta lekap berwarna daripada kedai optik di pusat beli-belah, mengalami ketidakselesaan yang mengakibatkan kesakitan sehingga beliau tidak dapat melihat selepas dua bulan.

Satu siri pemeriksaan oleh seorang ahli optik mendapati beliau mengalami konjunktivitis papilari, satu kondisi yang disebabkan oleh kanta lekap yang tidak sesuai.

TINDAKAN PERLU DIAMBIL KE ATAS PENJUAL TIDAK BERTANGGUNGJAWAB

Terdapat 1,159 ahli optik dan 21 pengamal kanta lekap berdaftar di Singapura yang bertauliah untuk mengendalikan penjualan kanta lekap, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

MOH menambah bahawa kedua-dua jenis kanta lekap berkuasa dan tidak, perlu dijual secara preskripsi oleh ahli optik atau pengamal kanta lekap yang berdaftar.

Sepanjang tempoh tiga tahun lalu, 12 orang didenda kerana mengamalkan bidang optometri tanpa pentauliahan. MOH menerangkan, separuh daripada mereka menjual kanta lekap secara online manakala yang lainnya melibatkan penjualan di kedai optik oleh individu tidak bertauliah.

Pensyarah kanan bidang optometri di Politeknik Ngee Ann Dr Martin Kwan berpendapat bahawa MOH dan OOB patut mengenakan tindakan tegas terhadap penjual kanta lekap yang tidak bertanggungjawab.

"Semasa pelanggan membeli cermin mata atau kanta lekap, mereka mungkin tidak menerima pemeriksaan lengkap," kata Dr Kwan.

"Ini tidak cukup kerana anda mungkin tidak akan tahu sama ada anda menghidapi sebarang penyakit mata yang boleh mengakibatkan masalah."

Bagi kes Cik Chee dan Cik Tan, tambah beliau, kondisi mereka mungkin dapat dicegah jika mata mereka diperiksa semasa membeli kanta lekap.

Bagi pembeli yang mendapati kanta lekap mereka kurang selesa, ahli optik Jed Koh menyarankan supaya mereka "kembali ke kedai dan minta menukarnya". Atas dasar muhibah, sebahagian kedai mungkin membenarkan pertukaran.

Namun untuk mengelakkan ketidaktentuan, adalah lebih baik untuk membuat ukuran kanta lekap sebelum membeli, kata Encik Koh. Beliau menyarankan pengguna kanta lekap membuat ukuran sekurang-kurangnya setahun sekali.

Sumber : CNA/TQ/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan