Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Sebelum beli minyak masak, ketahui dan fahami fungsinya

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Minyak masak adalah antara barangan dapur yang penting. Jenamanya juga pelbagai. Minyak masak apa yang baik dan berkhasiat? Jenama yang mana dapat membuat masakan lebih enak?

Pelbagai soalan yang mungkin pernah bermain di fikiran bila ingin membeli minyak masak.

Apa juga jenama, setiap pengeluar minyak masak semestinya inginkan produk pengeluaran yang bermutu lagi menyihatkan.

Apabila berada di kedai atau pasar raya untuk membeli minyak masak, anda pasti pernah terbaca label produk minyak yang tertera perkataan seperti Omega-9 atau Omega-2, sifar lemak, minyak sudah melalui dua kali proses penyaringan selain mengandungi pelbagai vitamin dan sebagainya.

Label-label ini ada kalanya boleh membuat pengguna keliru dan kurang pasti.

Minyak masak. (Gambar: Unsplash)

Tidak kira jenama, khasiat minyak masak sebenarnya tidak mempunyai banyak perbezaan yang ketara. Rata-rata minyak makan yang dijual di pasaran sudah dihasilkan darpada bahan atau sumber seperti kacang tanah, kelapa sawit, kelapa, jagung dan sebagainya.

Walaupun berbeza sumber jika diteliti hampir semua minyak masak mempunyai fungsi yang sama di mana ia direka sebagai bahan pemanas untuk memasak. Namun cara penghasilannya berbeza-beza dengan ciri-cirinya agar ia dapat disesuaikan dengan penggunaannya. Tidak kiralah untuk menumis lauk pauk, menggoreng ikan dan ayam atau dinikmati dengan aneka salada.

Agar anda tidak keliru, informasi berikut boleh dijadikan sebagai panduan semasa membuat pilihan atau pertimbangan secara bijak ketika ingin membeli minyak masak.

JENIS-JENIS MINYAK MASAK

1. Minyak kanola

Inilah antara minyak yang popular di pasaran. Ia didapati mempunyai nisbah genap Omega-6 hingga Omega-3 dan terbukti dapat membantu memerangi penyakit seperti barah, semput dan artritis.

Tidak hairanlah jika ia menjadi pilihan yang baik dan popular untuk masakan seharian. Ia mempunyai sifat yang dapat bertahan dalam tahap panas yang tinggi selain mempunyai rasa yang seimbang dan tidak akan mengatasi sajian.

2. Minyak sayuran

Ia merupakan minyak masak yang popular. Bila melihat perkataan sayur secara tidak langsung pengguna mempunyai tanggapan ia baik untuk kesihatan. Banyak jenama minyak sayuran yang diproses dengan mutu yang tinggi.

Namun bahan yang menjadi tanda tanya adalah yang menyebabkan ketidakseimbangan dalam nisbah yang disarankan antara Omega-3 dengan Omega-6 yang boleh menjadi punca penyakit seperti barah dan lain-lain.

3. Minyak kacang

Mempunyai rasa manis dan tinggi kalori tetapi rendah lemak tepu. Kalau boleh elak
daripada menggunakan minyak ini secara keterlaluan.

Ia boleh menyebabkan punca masalah kesihatan. Namun minyak kacang popular dan sering digunakan dalam masakan Asia kerana ianya versatil. Boleh digunakan untuk menggoreng, menumis dan macam-macam lagi.

4. Minyak kelapa

Bukan saja digunakan untuk masakan, minyak kelapa mempunyai pelbagai kegunaan untuk kecantikan kulit dan rambut.

Minyak kelapa. (Gambar: Unsplash)

Lemak yang hadir di dalam minyak kelapa didapati dapat membantu untuk meningkatkan metabolisme, mengurangkan selera makan dan sekaligus menurunkan berat badan.

Minyak kelapa didapati sesuai untuk memanggang dengan api yang sederhana selain itu, ia juga merupakan minyak masak yang boleh digunakan untuk menumis.

Namun minyak ini tidak boleh digunakan dalam campuran yang mempunyai cuka kerana ia akan membuatnya pekat apabila berada dalam suhu bilik.

5. Ghee

Ia merupakan sejenis mentega. Ia mempunyai sumber vitamin larut lemak yang hebat and mengeluarkan aroma wangi apabila ditumis semasa memasak. Aromanya membangkitkan selera dan akan membuat anda terliur tidak sabar ingin menikmati sajian. Tapi oleh kerana kandungannya yang berlemak, apabila menggunakannya pastikan secara sederhana.

Ghee. (Gambar: Unsplash)

Selain menumis untuk masakan, anda boleh oleskan kuali dengan ghee dan bakar ikan atau ayam. Rasanya pasti berbeza daripada anda menggunakan minyak biasa. Ghee juga enak dijadikan sebagai bahan untuk membuat bubur lemak pada bulan Ramadan nanti! Tapi, pastikan untuk menggunakannya dengan berpada-pada jangan sampai menjejas kesihatan!

6. Minyak Avokado

Juga dikenali sebagai minyak alpukat, ia lebih berlemak dan dihasilkan daripada krim yang sama untuk membuat guacamole. Minyak ini ternyata baik untuk kesihatan jantung dan mempunyai sifat antiradang. Minyak avokado versatil dan enak dijadikan sebagai 'mayo' buatan sendiri untuk dinikmati dengan sajian seperti sandwic.

7. Minyak zaitun tanpa campuran minyak lain

Terkenal dengan khasiat dan kandungannya yang menyihatkan. Sering digunakan untuk sajian pasta, hidangan Timur Tengah dan sebagainya. Minyak zaitun juga tampil dalam pelbagai gred dan jenis.

Minyak masak. (Gambar: Pexel)

Minyak zaitun yang bermutu dikatakan dapat memberikan gambaran zaitun yang sebenarnya. Minyak asli ini tidak dicampuri dengan bahan kimia atau haba dan mengandungi lebih banyak vitamin dan mineral semula jadi.

8. Minyak biji labu

Pernah dengar atau nampak minyak ini di pasar raya?

Dikategorikan dalam makanan yang bertenaga dan diperkaya dengan vitamin A,K, E serta asid lemak Omega-3 dan Omega-6.

Warnanya hijau pekat dan rasa kacang dapat melengkapkan sesebuah hidangan membuatnya lebih enak.

Pakar masak menyarankan minyak ini sesuai digunakan untuk tumisan ringan atau memanggang dengan menggunakan api yang kecil.

Jika apinya terlalu besar ia boleh menghilangkan nilai pemakanan semasa dipanaskan. Minyak ini tepat untuk sajian seperti cecahan salada.

9. Minyak walnut

Sarat dengan kandungan asid lemak Omega-3 selain zat besi, zinc, kalsium dan magnesium, minyak ini diperkaya dengan khasiat.

Juga dikenali sebagai minyak kenari, ia dapat membantu tubuh bertindak balas dengan baik terhadap tekanan darah.

Apabila memasak menggunakan minyak ini pastikan ia tidak digunakan pada suhu yang tinggi kerana rasanya akan menjadi sedikit pahit setelah dimasak. Namun, minyak ini tepat dipadankan dengan salada dan pasta.

10. Minyak bijan

Sarat dengan bahan antioksidan. Ia didapti dapat menurunkan tekanan darah, gula darah dan baik untuk kulit wajah. Rasa minyak ini amat berbeza dengan minyak-minyak yang lain. Ia dikatakan dapat memberi sokongan tulang dan mencegah pembekuan darah.

11. Minyak biji bunga matahari

Satu lagi jenis minyak yang baik untuk kesihatan. Ia dapat menyumbang kepada kesihatan jantung, melawan barah dan menurunkan kolesterol jahat selain membantu untuk tingkatkan tenaga.

Seperti minyak yang lain, ia juga sesuai untuk digunakan untuk panggang ayam dan ikan.

Antara 11 jenis minyak makan yang disenaraikan, yang mana satu yang digemari atau menjadi pilihan anda?

Semuanya terpulang kepada citarasa masing-masing. Tiada yang betul atau salah. Yang penting pastikan untuk menggunakannya dengan cara yang tepat dan amalkan pemakanan seharian yang sihat secara sederhana.

 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan