Skip to main content

Gaya Hidup

Scoot umum penerbangan ke Belitung dan Pontianak; tambah penerbangan jelang cuti sekolah pertengahan tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Scoot umum penerbangan ke Belitung dan Pontianak; tambah penerbangan jelang cuti sekolah pertengahan tahun

Dengan penambahan destinasi baharu ini, Scoot kini mengendalikan penerbangan ke 85 destinasi merentasi 18 negara dan wilayah di rantau Asia Pasifik, Timur Tengah dan Eropah. (Gambar: Scoot)

Diterbitkan : 10 Apr 2026 02:58PM
SINGAPURA: Sekiranya anda berminat untuk meneroka lebih banyak destinasi menarik di Asia Tenggara, ini peluang anda - Scoot kini menambah lebih banyak destinasi di seluruh rantau ini.

Anak syarikat tambang jimat Singapore Airlines (SIA) itu mengumumkan khidmat penerbangan baharu ke Belitung dan Pontianak di Indonesia, selain meningkatkan kekerapan penerbangan dalam rangkaiannya.

DESTINASI BAHARU DI INDONESIA

Penerbangan ke Belitung akan bermula pada 3 Mei, yang beroperasi dua kali seminggu. Tambang sehala kelas Ekonomi bermula dari S$99.

Terletak di luar pantai timur Sumatra, Belitung terkenal dengan pantai pasir putih, formasi batu granit, dan aktiviti melawat dari pulau ke pulau (island-hopping).

Pulau ini juga merupakan habitat kepada kera hantu (tarsier) Belitung, iaitu primat nokturnal yang hanya terdapat di pulau tersebut.

Scoot juga akan melancarkan penerbangan ke Pontianak bermula 29 Jun, sebanyak tiga kali seminggu. Tambang sehala kelas Ekonomi bermula dari S$129.

Pontianak terletak tepat di garisan khatulistiwa dan terkenal dengan mercu tanda seperti Tugu Khatulistiwa, di mana pengunjung boleh berdiri antara hemisfera utara dan selatan.

Bandar ini juga terletak di sepanjang Sungai Kapuas dan terkenal dengan warisan budaya serta pelbagai jenis makanan.

PENERBANGAN LEBIH KERAP

Selain laluan baharu, Scoot turut menawarkan lebih banyak penerbangan ke beberapa destinasi, terutama sekali menjelang cuti sekolah pertengahan tahun.

Mulai April:
  • Penerbangan ke Phuket meningkat daripada 17 kepada 21 kali seminggu
  • Penerbangan ke Sibu meningkat daripada tiga kepada empat kali seminggu

Bagi Indonesia:
  • Bali dan Jakarta naik 35 kali seminggu berbanding 28 (mulai Jun)
  • Labuan Bajo: Tiga kali seminggu berbanding dua
  • Lombok: 10 kali seminggu berbanding empat
  • Manado: Setiap hari berbanding enam kali seminggu

Di luar Asia Tenggara:
  • Okinawa: Empat kali seminggu berbanding tiga
  • Changsha: Lima kali seminggu berbanding empat
  • Vienna: Empat kali seminggu berbanding tiga (mulai Jun)

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Scoot, Leslie Thng, berkata penambahan penerbangan ke Belitung dan Pontianak bukan sahaja memperluaskan kehadiran Scoot di Indonesia, tetapi juga mengukuhkan rangkaian kumpulan SIA melalui Singapura.

“Dengan meningkatkan kekerapan penerbangan ke banyak destinasi popular, ia akan menyokong permintaan perjalanan, sedang kita memasuki musim cuti sekolah.

"Kami kekal komited untuk menyediakan lebih banyak pilihan perjalanan kepada pelanggan kami serta pengalaman perjalanan yang menyeronokkan bersama Scoot," kata beliau.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita