Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Sayangi kulit anda, elakkan penuaan sebelum tiba masanya

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Wajah bersih dan penampilan kemas mencerminkan diri sebenar setiap individu. Tambahan lagi kedua-dua aspek ini selalu diberi perhatian bagi mereka yang mahu tampil lebih yakin dan menyerlah dalam kalangan khalayak.

Namun, ada juga yang sebaliknya dan langsung tidak menghiraukan tentang penampilan dan penjagaan kulit.

Lantas pelbagai masalah kulit akan timbul jika kita tidak ambil peduli tentang rutin kecantikan.

Antaranya masalah kulit kering,yang kerap berlaku. Jika tidak ditangani awal, ia bukan saja akan merangsang garisan halus dan kedutan. Malah, wajah anda akan tampil lebih matang daripada usia yang sebenar.

(Gambar: Pexel)

Kekeringan adalah antara punca kulit muka cepat menipis. Masalah penghidratan boleh menjejas semua jenis kulit.

Tidak kira usia dan jantina, jika masalah itu tidak diberi perhatian awal, kulit akan terus menipis dan akan mewujudkan garisan halus, kulit menggelupas, kedutan yang tidak diingini selain membuat wajah kelihatan kusam.

Pelbagai faktor sering dikaitkan dengan masalah kulit kering. Antaranya, penggunaan produk yang tidak sesuai dengan kulit, kurang minum air, sering berjemur di bawah mentari, penjagaan kulit yang tidak menentu dan sering berada di dalam ruang yang berhawa dingin.

Antara tanda-tanda awal yang menunjukkan kulit kering adalah garisan halus yang tiba-tiba muncul pada bahagian dahi, di sekeliling mata dan tulang pipi atau 'cheekbone'. Ada kalanya, seluruh muka akan mengalami masalah kedutan atau tiba-tiba menjadi gatal, kulit rasa ketat dan merah-kemerahan.

Namun masalah kulit kering boleh dicegah awal jika anda mengamalkan rutin asas penjagaan kulit dan melakukannya secara konsisten.

Berkongsi tentang tip kecantikan kulit, Pengurus Jenama Terkemuka Chanel, Nadira Nezamuddin berkata, “Kulit kita ibaratkan seperti diri sendiri. Bila rasa haus kita minum air. Begitu juga dengan kulit, ia juga rasa ‘haus’ tapi dari mana ia perolehi air? Pastinya dari pelembap dan serum yang kita gunakan untuk kulit.

"Tanpa ‘air’ ini, kulit akan menjadi kering lama kelamaan dan akan muncul garisan halus.”

Menurut satu kajian, kulit kita kehilangan lebih kurang segelas air setiap hari melalui peluh dan aktiviti-aktiviti yang dilakukan.

Kehilangan itu harus digantikan agar air dapat diserap ke dalam kulit demi kesihatan menyeluruh.

    (Gambar: Pexel)

    Selain minum sekurang-kurangnya lapan gelas air setiap hari, anda harus membelai kulit secara rutin dengan menggunakan bahan pelembap, serum dan sebagainya jika inginkan kulit yang sihat, lembut, bersih bebas dari segala masalah yang tidak diingini.

    Wanita khususnya mendambakan kulit yang bersih, lembut, licin dan mulus bebas daripada sebarang masalah. Namun ramai yang masih ambil lewa dalam penjagaan kulit secara rutin.

    Apabila tiba-tiba timbul masalah kulit barulah kelam-kabut ingin mencari produk yang dapat membantu menanganinya.

    Kata Cik Nadira, “Tidak sukar untuk menjaga kulit. Jika kerap melakukannya, ia akan menjadi rutin dan apabila tidak atau terlepas melakukannya anda akan berasa janggal. Kita harus rajin bersihkan muka setiap hari.

    "Selain itu anda juga perlu menggunakan serum dan pelembap pada siang dan malam hari. Sementara skrub pula bolehlah diamalkan satu atau dua kali seminggu,”

    Menggunakan produk penjagaan kulit secara rutin sangat digalakkan pada sebelah malam setelah pulang dari pejabat dan sebagainya.

    “Waktu malam adalah waktu yang paling sesuai untuk menggunakan produk kecantikan kulit. Apabila kita sedang nyenyak tidur, itulah masa yang paling tepat untuk merawat kulit. Ia dapat menyerap serum dan krim, contohnya, dengan baik,” kongsi Cik Nadira yang berpengalaman 16 tahun dalam industri kecantikan.

    (Gambar: Pexel)

    Apa juga jenama atau pilihan produk yang digunakan, penting untuk memastikan ia sesuai dengan kulit anda. Amalkan rutin yang tetap untuk merawat kulit dan pastinya dalam jangka masa tertentu anda pasti dapat melihat keberkesanannya dan yang penting lagi, kulit tampil lebih lembut, mulus dan awet muda!

    PETUA KULIT CANTIK CARA TRADISIONAL

    Selain menggunakan produk-produk kecantikan di pasaran untuk menangani masalah kekeringan dan penuaan kulit, terdapat juga beberapa cara tradisional yang boleh dicuba. Ikuti tiga tip berikut:

    1. Pastikan anda minum air putih yang secukupnya setiap hari. Ia dapat meningkatkan kelembapan di dalam kulit. Inilah cara yang paling mudah dan amat berkesan. Ia merupakan kunci kecantikan kulit secara semula jadi dan yang paling mudah.
    2. Selain krim pelembap, anda juga boleh cuba oleskan minyak zaitun yang diperkaya dengan vitamin E dan dapat melembapkan kulit serta mengatasi masalah cela pada kulit.
    3. Jaga pemakanan. Lebihkan makanan protein termasuk makanan yang tinggi kandungan sulfur seperti bawang putih, bawang merah, telur dan sayuran asparagus. Diet yang mengandungi vitamin A dan C didapati baik untuk kulit. Oleh itu banyakkan makan aprikot dan lobak merah!

    6 CARA MUDAH ELAKKAN KULIT KERING

    • Hentikan mencuci muka dengan sabun yang mengandungi bahan seperti alkohol yang dapat menanggalkan minyak asli yang ada di kulit.
    • Amalkan proses pengelupasan kulit seminggu sekali.
    • Tidak kira jenis kulit, gunakan 'masker' untuk hidratkan kulit dua kali seminggu.
    • Sapukan losen pelembap setiap hari untuk mempebaiki kelembapan kulit. Biarkan lebih kurang tiga minit sebelum menyapukan bedak atau cecair asas pada kulit.
    • Elak daripada makan makanan berlemak dan mengandungi kadar gula yang tinggi.
    • Elakkan daripada merokok dan minum kopi yang berlebihan.
    Sumber : BERITA Mediacorp/nk
    Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

    Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

    Langgani buletin emel kami

    Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

    Iklan

    Lebih banyak artikel Berita

    Iklan