Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

'Saya tidak kesal masa silam saya sebagai seorang penagih dadah', kata pengasas Eighteen Chefs

Selepas 14 tahun menjadi ikon bagi rangkaian restoran Eighteen Chefs dan juga lambang harapan bagi bekas banduan, Benny Se Teo kini bersara.

Anggaran Waktu Membaca:
'Saya tidak kesal masa silam saya sebagai seorang penagih dadah', kata pengasas Eighteen Chefs

Benny Se Teo di rumahnya. (Gambar: Try Sutrisno Foo)

Diterbitkan : 10 Dec 2021 09:08PM Dikemas Kini : 10 Dec 2021 09:16PM

SINGAPURA: Selepas 14 tahun menjadi ikon bagi rangkaian restoran Eighteen Chefs dan juga lambang harapan bagi bekas banduan, Benny Se Teo kini bersara.

Encik Se Teo, yang dahulu seorang penagih dadah heroin itu, dikenali kerana berjaya mengubah hidupnya dan juga atas usaha-usaha beliau untuk memberi peluang kepada bekas banduan yang lain untuk bekerja. Semua ini sewaktu peluang-peluang seumpamanya jarang dilihat.

KISAH KEHIDUPAN BENNY SE TEO

"Saya tidak menyesali masa silam saya sebagai seorang penagih dadah. Jika saya tidak melalui detik-detik sukar seperti itu, saya tidak dapat menolong mereka yang juga sedang mengharungi masa-masa sukar ini," kata Encik Benny sambil mengimbas kembali perjalanannya sejauh ini.

"Mungkin Tuhan memilih saya untuk menempuhi cabaran-cabaran ini supaya saya boleh menolong ramai orang yang sedang melaluinya."

Encik Se Teo pernah keluar masuk penjara bertahun-tahun lamanya sehinggalah satu pengalaman, di mana beliau hampir-hampir mati, merubah dirinya. Akhirnya, pada 1993, Encik Se Teo dibebaskan dan beliau tidak lagi menoleh kebelakang.

Namun, beliau berdepan satu lagi cabaran - iaitu sukar mendapat pekerjaan.

"Saya berasa sangat bertuah kerana diberikan peluang untuk melalui semua ini - dari seorang yang sukar untuk mendapatkan kerja, sekarang saya yang menawarkan kerja," kata beliau di rumahnya di Depot Road pada Jumaat (3 Dis) .

Satu perkara yang beliau belajar daripada pengalaman menggajikan bekas banduan adalah: "Jangan menghakimi seseorang hanya pada luaran".

Lantaran itu, beliau mendapati penampilan seseorang semasa sesi temu duga tidak memberi gambaran terbaik tentang prestasi kerja mereka, kata Encik Se Teo.

Mereka yang terdesak, yang tiada tempat bersandar, akan berjaya, tambah beliau.

PELUANG KEDUA

Meskipun beliau bertekad untuk membantu golongan muda yang berisiko - iaitu satu inisiatif yang beliau anggap sebagai pencapaian paling bermakna bagi dirinya - prosesnya tidak selalu lancar. Beliau pernah terpaksa membayar ikat jamin untuk para pekerjanya. Malah, restorannya pernah dikunjungi Biro Narkotik Pusat (CNB).

"Ada pekerja yang pernah berkali-kali menghampakan saya," kata beliau. Namun, mereka yang ikhlas dan kembali sentiasa diberikan satu lagi peluang.

"Kenapa? Kerana saya sendiri menerima banyak peluang. Kalau tidak, saya mungkin tidak akan berjaya," kata beliau lagi.

Perjalanan perniagaan Eighteen Chefs juga bukanlah tanpa cabaran. Sejurus selepas memulakan perniagaan beliau sekitar tahun 2007 atau 2008, Encik Se Teo berdepan keadaan yang menguji kesungguhannya.

Perniagaan beliau belum membawa untung, katanya. Beliau pula sedang mengalami kemurungan dan ia adalah detik paling rendah dalam kehidupannya.

Pada waktu itu, sedang beliau pulang ke rumahnya di tingkat sembilan, beliau ternampak straw yang mengandungi heroin di dalam lift.

"Saya terfikir, wah syaitan, awak betul-betul datang kepada saya pada masa yang tepat," kata Encik Se Teo. Walaupun bergelut keinginan begitu kuat untuk menyedut heroin tersebut, beliau akhirnya membuang straw itu ke tapak binaan di mana kerja-kerja mengorek sedang dijalankan.

Encik Se Teo yakin detik itu adalah detik paling penting dalam hidupnya.

"Saya tidak termakan dengan godaan pada masa itu dan saya tidak menggunakan dadah sebagai jalan keluar bagi masalah saya. Saya berdepan dengan masalah itu sendiri."

Mujurlah perniagaannya mula berkembang maju setahun selepas kejadian tersebut, kata beliau. Pada masa itu, beliau tidak mempunyai sebarang rancangan gah dan berasa akan "berpuas hati" hanya dengan satu gerai "kecil" sahaja.

"Tak pernah terlintas dalam fikiran saya yang ia akan berjaya sebegini. Langsung tidak pernah," kata beliau lagi.

KEHIDUPAN SELEPAS BERSARA

Benny Se Teo menunggang motosikal Harley Davidson beliau. (Gambar: Try Sutrisno Foo)

Apabila ditanya tentang keputusannya untuk bersara, Encik Se Teo tidak dapat memberikan tempoh tertentu semasa beliau membuat keputusan tersebut.

Namun, segalanya seperti sudah termaktub dan tertulis dengan baik untuknya.

Baru-baru ini, beliau berpindah ke rumahnya yang "jauh dari hiruk-pikuk" bandar. Isterinya juga bersara November ini.

Encik Se Teo juga sudah membeli sebuah motosikal Harley Davidson.

Kegembiraan Encik Se Teo adalah apabila beliau dapat padamkan semua kumpulan-kumpulan sembang WhatsApp yang berkaitan kerja - sesuatu yang dilakukannya kira-kira dua minggu lalu.

"Saya kini sudah bebas," kata beliau.

Akhir sekali, beliau juga berkongsi tipnya untuk berjaya: "Percaya kepada kerja anda. Pasti ada ramai yang mengkritik anda, namun anda tetap harus teruskan perjuangan."

"Jika anda lakukannya dengan sepenuh hati, sepenuh jiwa raga, anda akan berjaya."  

Sumber : CNA/NY/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan