‘Saya seorang yang gigih’: Ikon industri pengantin SG Fatimah Mohsin kongsi pengalaman sebagai usahawan serba boleh
Berniaga sudah menjadi darah daging Fatimah Mohsin.
Cik Fatimah Mohsin memulakan pelbagai perniagaan yang merangkumi industri perkahwinan, hiasan rumah dan F&B. (Gambar: CNA/Kelvin Chia)
Semasa kecil, Cik Fatimah sering menemani bapanya untuk berniaga, dan dengan penuh semangat melaungkan frasa 'Lelong! Lelong!' di sisi bapanya. Beliau masih ingat pada satu ketika, mereka pulang ke rumah dengan baldi penuh berisi wang. "Semasa saya muda, jika orang tanya apa cita-cita saya, saya katakan bahawa saya ingin menjadi seorang peniaga," kata beliau.
Berbekalkan minat dalam bidang kreatif, Cik Fatimah sentiasa berhasrat untuk bekerja dalam industri itu. "Saya suka potong seluar jeans, pakaian, apa sahaja yang saya tidak suka, dan mengubahnya menjadi sesuatu yang baharu," ujar beliau. Selepas tamat sekolah menengah, beliau memilih untuk mempelajari biadang pemasaran fesyen di Maktab Seni LASALLE.
Beliau menjalani latihan industri di syarikat Puma dan terus bekerja sepenuh masa di sana selepas itu. Pada 1990an, Puma adalah pembekal pakaian rasmi pasukan bola sepak Singapura. "Saya dapat bekerja rapat dengan Fandi Ahmad dan semua pemain bolasepak yang lain," kata Cik Fatimah.
Cik Fatimah kemudian beralih kepada bidang solekan. Beliau mendaftarkan diri untuk menjalani kursus di Akademi CosmoProf, dan pengalaman itu mengubah laluan kerjayanya secara tuntas.
IKON DALAM ARENA PENGANTIN
Sebagai jurusolek bebas, Cik Fatimah berjaya mencipta nama dalam bidang solekan pengantin Melayu tidak lama kemudian. Solekannya yang lebih moden dan lembut menonjolkan ciri perbezaannya, walapun ia tidak dapat diterima semua pihak. “Saya selalu kena marah,” ujarnya sambil ketawa. “Mak pengantin akan masuk bilik dan tanya kenapa saya pakai gincu warna lembut atau kenapa solekan mata terlalu ringan. Tapi saya tetap dengan prinsip saya.”
Cik Fatimah kemudian mengembangkan perniagaannya kepada khidmat perkahwinan secara menyeluruh, termasuk perancangan, hiasan lokasi dan pakaian pengantin 'couture' yang direka khas olehnya.
Beliau menamakan perniagaannya Fatimah Mohsin - The Wedding Gallery, nama yang kini menjadi ikon dalam industri tersebut. Namun, Cik Fatimah mengaku sambil ketawa, "Saya tidak suka nama Fatimah - nama yang lapuk, sedangkan saya gemar mengikuti trend terkini."
Setelah 25 tahun menceburi perniagaan itu, Cik Fatimah kini mengembangkan sayapnya ke Perth, pasaran yang dilihatnya sebagai batu loncatan untuk menembusi pasaran antarabangsa.
"Saya rasa kita tidak perlu mengehadkan diri kita kepada pasaran tempatan," katanya, sambil menyatakan permintaan global semakin meningkat untuk pakaian pengantin yang sopan dan bermutu. "Salah satu langkah awal saya adalah untuk memasuki pasaran pakaian sopan di Perth sebelum cuba menembusi negara-negara lain selepas itu."
"Industri perkahwinan ada pasang surutnya," kongsi beliau. "Seperti sesiapa sahaja yang bekerja dalam bidang yang sama selama lebih 10 tahun, ia boleh terasa agak membosankan. Saya tidak mahu merombak kerjaya saya, jadi saya cari perkara lain yang membahagiakan diri saya."
Semasa ke luar negara untuk mencari bahan bagi perniagaannya, beliau menemui barang-barang hiasan rumah yang cantik. Pada mulanya, beliau hanya membeli untuk rumahnya sendiri. Selepas berkongsi di media sosial, peminatnya mula bertanya di mana dia mendapatkan perhiasan itu. Dari situ,tercetusnya inspirasi untuk perniagaan baharu. Pada 2016, Cik Fatimah memulakan perniagaan hiasan rumah, Prop Up Store. Ia bermula sebagai perniagaan sampingan untuk Bazar Ramadan, tetapi kemudian menjadi kedai online yang maju berkembang.
Perniagaan tersebut membantu Cik Fatimah dan pasukannya bertahan semasa pandemik COVID-19, semasa industri pengantin menghadapi gangguan besar. Tetapi, Cik Fatimah tidak berpeluk tubuh. Bersama dengan kakaknya, beliau buka pula kedai tata rias rambut.
Peluang untuk menceburi bidang F&B kemudian muncul, dan Cik Fatimah membuka restoran pertamanya, 555 Halal Thai, pada 2020. "Saya seorang yang gigih berniaga (hustler) dan saya rasa ia adalah peluang yang baik pada masa itu," kata Cik Fatimah. Terletak di dalam Gallop Kranji Farm Resort, 555 Halal Thai menawarkan suasana kampung dan menawarkan destinasi makanan yang unik bagi rakyat Singapura, ketika perjalanan ke luar negara tidak dibenarkan. Restoran itu ditutup pada awal 2023 kerana "kenaikan sewa yang melampau".
Cik Fatimah turut memulakan pakaian siap pakai seperti gaun yang sopan, abaya dan tudung. Baru-baru ini, beliau memulakan usaha F&B keduanya bersama beberapa rakan kongsi dengan pembukaan restoran Cina halal Loong Dim Sum di Boat Quay.
"Di Singapura, anda boleh mengira jumlah restoran dim sum halal dengan satu tangan - ada kurang dari lima - dan orang bahkan pergi ke Malaysia [untuk mendapatkannya]. Jadi kami fikir, mengapa tidak buka satu di sini? Ini adalah batu loncatan pertama kami dalam menawarkan masakan Cina halal yang bermutu. Kami mempunyai rancangan yang lebih besar," ujar Cik Fatimah.
Merenung keputusannya untuk mempelbagaikan perniagaannya, Cik Fatimah mengiktiraf iktibar penting dari pandemik COVID-19: "Anda tidak boleh meletakkan semua telur anda dalam satu bakul. Tetapi jika anda kumpulkan semuanya, ia lebih sukar untuk pecah," katanya.
Selepas lebih dua dekad membina perniagaannya di Singapura, Cik Fatimah baru-baru ini mengumumkan penghijrahan besar ke Kuala Lumpur, Malaysia, di mana beliau berharap untuk mengembangkan kedua-dua syarikat perkahwinan dan hiasan rumahnya. Penghijrahan itu telah difikirkannya lebih sedekad yang lalu, tetapi ketika itu Cik Fatimah belum bersedia memindahkan dua anak perempuannya yang masih kecil.
Walaupun Cik Fatimah kini berulang-alik antara Singapura dengan Kuala Lumpur, beliau berharap untuk menghabiskan lebih banyak masa di Kuala Lumpur tidak lama lagi, setelah membina pasukan yang kukuh di Singapura. Namun, beliau mengakui bahawa pertumbuhan perniagaannya di Singapura sudah mendatar.
"Industri perkahwinan di Singapura, sejujurnya, telah menjadi agak statik. Ia tidak lagi seperti dahulu, di mana pelanggan lebih kreatif dan ingin mengadakan perkahwinan mereka di tempat-tempat yang menarik. Kita terhad dari segi ruang di Singapura, dengan terlalu banyak tempat perkahwinan yang sama," kongsi Cik Fatimah.
Sebagai seseorang yang berjiwa keusahawanan, beliau mencari semangat dalam perubahan. "Saya sentiasa suka meneroka idea-idea baharu. Ia memberi saya dorongan apabila sesuatu yang baharu berlaku."
Seperti perniagaannya yang terkenal di Singapura, beliau berharap untuk mencipta nama di Malaysia juga. Namun, Cik Fatimah tahu ia bukan perjalanan yang mudah. Malah, beliau bersedia untuk bermula dari bawah semula, dan antara tempahan awalnya di Kuala Lumpur adalah solekan bagi sebuah pesta sekolah.
"Saya akan mencapai usia 50 tahun tidak lama lagi dan ia sentiasa menjadi impian saya untuk berpindah ke Malaysia. Jadi saya memberitahu diri sendiri, jika saya tidak melakukannya sekarang, bila lagi?" kata Cik Fatimah. "Saya percaya bahawa apabila kita meletakkan hati dan jiwa kita ke dalam sesuatu, dengan izin Tuhan, kita boleh berjaya."
CIRI-CIRI USAHAWAN YANG BAIK
Melangkah ke hadapan, Cik Fatimah berharap untuk berkongsi pengalaman dan membimbing usahawan baharu.
Apabila ditanya tentang ciri-ciri seorang usahawan berjaya, Cik Fatimah berkata, “Semua orang akan sebut: kesabaran, daya tahan dan semangat kental, sebab ia bukan laluan yang mudah."
Tambahnya, “Untuk mulakan sesuatu perniagaan memang senang, tapi untuk kekal, bertahan dan berkembang, itu yang paling susah.”
Meskipun menempuhi suka duka dalam dunia berniaga, Cik Fatimah tetap bangga dengan pencapaian beliau dan pasukannya. “Kami pernah jadi yang terbaik antara yang terbaik. Kami hadapi persaingan, tetapi kami tetap mara, sebab kami sentiasa mahu jadi perintis dalam apa jua yang kami lakukan.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.