Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

"Saya ikut rombongan pertama VTL ke Bintan. Ini pengalaman saya…"

Anggaran Waktu Membaca:
"Saya ikut rombongan pertama VTL ke Bintan. Ini pengalaman saya…"

Pemandangan dari resort Banyan Tree Bintan. (Gambar: Izzah Imran)

SINGAPURA: Apabila saya menerima kiriman WhatsApp daripada editor saya yang mengatakan bahawa saya telah ditugaskan untuk mengikuti rombongan pertama ke Bintan di bawah Laluan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTL), saya mengakui saya mula panik.

Ini kerana persiapan yang harus dilakukan jika mahu berwisata di tengah-tengah pandemik COVID-19 bukan hanya satu dua perkara yang harus diberikan perhatian. Lebih-lebih lagi, saya hanya mempunyai dua hari untuk menyediakannya semua.

Dengan segera, saya menempah slot untuk ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) yang perlu dijalani dalam tempoh 72 jam sebelum berangkat dari Singapura. Saya juga bergegas menyediakan dokumen-dokumen yang diperlukan seperti sijil vaksinasi, insurans pelancongan serta pengesahan tempahan feri dan tempat penginapan di Bintan.

PROSES NAIK FERI TIDAK BANYAK BEZA BERBANDING SEBELUM PANDEMIK

Pada hari pertama pelaksanaan VTL Singapura-Bintan pada Jumaat (25 Feb), rombongan kami diminta berkumpul di Terminal Feri Tanah Merah sekitar sejam setengah sebelum feri berangkat pada pukul 11.10 pagi.

Hanya dua pelayaran antara Singapura dan Terminal Feri Bandar Bentan Telani di Lagoi, Bintan disediakan setiap hari, antara Jumaat hingga Isnin di bawah aturan VTL tersebut. Sebagai permulaan, bilangan pelawat yang dibenarkan dihadkan kepada 350 orang sahaja dalam seminggu.

Selain pasport dan tempahan feri yang lazimnya diperlukan ketika mendaftar masuk, saya juga diminta supaya menunjukkan hasil negatif ujian PCR, sijil vaksinasi serta polisi insurans pelancongan yang memberi perlindungan sekurang-kurangnya S$30,000 terhadap jangkitan COVID-19.

Proses pelepasan imigresen sehingga menaiki feri selepas itu berjalan lancar dan tidak banyak berbeza berbanding sebelum wabak melanda.

Di atas feri pula, pelaksanaan langkah-langkah pengurusan selamat (SMM) COVID-19 amat ketara – dari aturan duduk berjarak hingga ke penggantungan khidmat menghidang makanan dan minuman panas. Malah, terdapat juga zon serta tandas berasingan bagi kes COVID-19 yang perlu dihantar pulang.

ROMBONGAN PERTAMA VTL DISAMBUT MERIAH

Setibanya di Terminal Feri Bandar Bentan Telani, rombongan kami disambut meriah dengan paluan gendang dan kru media.

Kami diarahkan mendaftar masuk dengan mengimbas kod QR menerusi aplikasi PeduliLindungi, yang serupa dengan TraceTogether di Singapura. Selepas itu, beberapa pegawai memeriksa dokumen-dokumen kami sebelum kami dihalakan ke arah para pegawai kesihatan untuk menjalani ujian PCR sebaik tiba di sana.

Saya sudah terbiasa dengan ujian swab pada hidung, tetapi belum pernah menjalani ujian pada tekak yang dilakukan buat pertama kali di sana.

Setelah itu, kami diberi Pas Biru iaitu token kecil yang perlu dipakai di leher setiap masa ketika dalam kawasan gelembung pelancongan Bintan. Di kaunter imigresen, saya diminta menunjukkan tempahan feri dan hotel penginapan, serta polisi insurans.

Seluruh proses itu mengambil masa sekitar 30 minit dan kami dibawa terus ke hotel untuk menantikan hasil ujian.

Setelah berehat dan makan tengah hari di bilik hotel masing-masing, hasil ujian dikirimkan melalui emel sekitar dua jam kemudian dan kami akhirnya dibenarkan keluar bersiar-siar.

TIDAK DIBENAR KELUAR DARI GELEMBUNG PELANCONGAN BINTAN RESORTS

Di bawah aturan yang dipersetujui antara pemerintah Singapura dengan Indonesia, para pelawat VTL hanya dibenarkan meneroka sekitar kawasan Bintan Resorts yang telah diperuntukkan sebagai zon hijau bebas COVID-19.

Kawasan seluas 18,000 hektar itu merangkumi 19 resort, empat padang golf dan beberapa daya tarikan seperti Safari Lagoi dan permainan air di Chill Cove @ Treasure Bay.

Peta yang menunjukkan seluruh kawasan gelembung pelancongan di Bintan. (Ihsan: Bintan Resorts)

Ini bermakna para pelawat di bawah aturan VTL Singapura-Bintan tidak berpeluang mengunjungi kawasan lain di luar Bintan Resorts seperti ibu kota Tanjung Pinang yang dahulu popular dalam kalangan pelancong.

Namun, menurut Pengurus Besar Kumpulan Bintan Resort Cakrawala, Abdul Wahab, terdapat beberapa pengecualian yang sedia dipertimbangkan.

“Kalau mereka datang ke Bintan Resorts, mereka berasa tidak sihat dan harus dihantar ke hospital, itu pasti dibenarkan. Kedua, kalau mereka mahu keluar atas sebab-sebab berkaitan ekonomi, mungkin mereka ingin membuat pelaburan di Indonesia dan mereka harus keluar untuk berjumpa dengan pihak pentadbir, atau gabenor, itu juga dibenarkan.

“Tetapi pada saat ini, kalau mereka ingin keluar hanya untuk berwisata di luar Bintan Resorts, ia tidak akan dibenarkan,” kongsi beliau.

Pergerakan pelawat yang ingin keluar masuk gelembung pelancongan itu dikawal menerusi dua pintu gerbang di laut dan darat – iaitu Terminal Feri Bandar Bentan Telani bagi pelawat yang menaiki feri dari Singapura dan Pos 1 bagi pelawat warga tempatan dan asing yang menaiki kenderaan dari kawasan lain di Bintan.

Pemeriksaan di Pos 1 dijalankan ke atas pelawat warga tempatan dan asing yang menaiki kenderaan dari kawasan lain di Bintan. (Gambar: Izzah Imran)

Mereka yang menggunakan laluan darat juga dikehendaki lengkap divaksin dan menjalani ujian ART atau PCR sebelum memasuki kawasan Bintan Resorts.

HOTEL SEDIAKAN KEMUDAHAN COVID-19, UTAMAKAN KESELAMATAN PELAWAT

Dalam program lawatan yang disertai, saya serta rakan-rakan media lain dibawa mengunjungi beberapa hotel dan daya tarikan yang terdapat dalam gelembung pelancongan itu.

Berdasarkan perkongsian oleh pihak pengurusan hotel yang ditemui, banyak usaha telah dilakukan untuk melindungi kesihatan dan keselamatan para pengunjung bagi mencegah penularan COVID-19. Banyan Tree Bintan, misalnya, menyediakan vila khusus bagi tujuan kuarantin.

“Kami mematuhi piawai (standard) yang ditetapkan pemerintah, baik pemerintah Indonesia mahupun pemerintah Singapura. Dari Indonesia, kami sudah mempunyai pensijilan CHSE. Kebetulan, Banyan Tree Bintan turut merupakan hotel yang pertama di Indonesia yang mengiktirafnya. Kami juga memastikan aturan-aturan yang ditetapkan SG Clean turut dipatuhi,” jelas Pengurus Besar hotel tersebut, Alpha Eldiansyah.

Sijil CHSE merujuk kepada pengiktirafan yang diberikan kepada para penyedia khidmat, destinasi atau produk pelancongan yang mematuhi protokol kesihatan dan pengurusan COVID-19 di Indonesia.

Sehubungan itu, apa pula yang akan berlaku sekiranya pelawat VTL dijangkiti COVID-19 semasa berada di Bintan?

Encik Abdul Wahab menerangkan: “Kalau seseorang itu terjangkit COVID-19 di Indonesia, ia terbahagi kepada tiga bahagian iaitu ringan, sederhana dan berat. Kalau ringan, protokol Indonesia membolehkan mereka mengasingkan diri di bilik sendiri. Tiga hari kemudian, dia boleh diperiksa lagi oleh pegawai perubatan.

“Tetapi kalau berat, (warga) Singapura boleh meminta untuk pulang ke Singapura tetapi setelah dinilai oleh doktor sama ada dia boleh dibenarkan pulang. Jika orang itu mahu dihantar ke hospital yang terletak berdekatan dengan Bintan Resorts, ia juga dibenarkan,” tambah beliau.

Meskipun lega sempadan sudah mula dibuka sedikit demi sedikit dan mampu menampung lebih ramai pelancong ke pulau Bintan, pihak pengurusan hotel yang ditemui rata-rata berharap had pelawat boleh disemak dan dinaikkan secepat mungkin.

“Memang kalau kita lihat 350 orang seminggu itu sangat minimum kerana dibahagikan dengan beberapa resort. Sebagai permulaan, ia cukup tetapi mudah-mudahan setelah ada perkembangan yang baik dan semuanya berjalan dengan lancar, tentunya harus disemak sehingga mendapatkan lebih ramai pelancong untuk semua resort yang ada,” kata Encik Alpha.

EMPAT UJIAN COVID-19 KESELURUHANNYA BAGI PENUMPANG VTL

Setelah semalaman sahaja di Bintan, kami bersiap sedia untuk pulang ke Singapura. Untuk memasuki Singapura, para pelawat antara lain dikehendaki mengisi Kad Ketibaan secara online dan menjalani ujian RT-PCR atau ujian pantas antigen (ART) dalam tempoh 48 jam sebelum berangkat.

Oleh kerana kami tiba hanya sehari sebelum itu, kami dibenarkan menggunakan hasil ujian yang dijalani sebaik tiba di Bintan.

Seperti biasa, pelepasan imigresen di Singapura sangat lancar dan kami pulang ke rumah masing-masing menaiki hanya teksi atau kereta privet.

Namun bagi penumpang VTL seperti saya, jalan cerita tidak berakhir di situ sahaja. Saya perlu menjalani ART kendiri yang diselia di mana-mana Pusat Ujian Pantas (QTC) atau Pusat Ujian Gabungan (CTC) dalam tempoh 24 jam sebelum percutian saya boleh dikatakan benar-benar sudah berakhir.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan