Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Santan perah, serbuk & kotak: Mana satu paling sesuai untuk masakan anda?

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Banyak masakan Melayu dan lauk pauk kampung mengandungi santan. Contohnya rendang, lontong, lodeh, lemak ayam, gulai, sambal goreng dan bermacam lagi. Bahan santan bukan sahaja digunakan dalam masakan seharian, tapi ia juga digunakan untuk membuat kuih muih tradisional dan juga pencuci mulut.

Walaupun rasanya berlemak, santan mengandungi pelbagai khasiat dan kebaikan untuk kesihatan yang tidak diketahui ramai. Antaranya, ia boleh membantu untuk mengurangkan berat badan, mengatasi masalah rambut seperti kelumumur dan gatal pada kulit kepala.

Dalam masakan pula, penting untuk menggunakan pilihan santan yang tepat agar masakan anda rasa lebih enak, kuahnya tidak terlalu cair atau pekat. Bagi yang baru berjinak-jinak dalam masakan pula atau kurang pasti untuk membuat pilihan untuk menggunakan santan yang tepat, berikut kami kongsikan jenis-jenis santan yang terdapat di pasaran, perbezaan dan cara penggunaannya.
Gambar hiasan: Unsplash
JENIS-JENIS SANTAN

Santan segar


Santan jenis ini sering digunakan dalam masakan berkuah seperti lemak ayam cili padi kerana ia dapat menghasilkan tekstur yang lebih pekat. Ramai pakar masak yang lebih suka membuat santan segar sendiri di rumah kerana dapat mengawal penggunaan air agar ianya lebih pekat.

Rasanya tidak sukar untuk membuat santan sendiri. Anda hanya memerlukan kelapa parut dan campurkan dengan sedikit air untuk mendapatkan perahan santannya. Selain itu, anda juga boleh masukkan kelapa parut ke dalam alat pengisar bersama dengan sukatan campuran air yang sama dengan kelapa parut. Kemudian kisar beberapa kali dan tapiskannya.

Jika anda ingin mendapatkan tekstur santan yang lebih baik, gunakan penapis jenis kain. Perah dan ramas kelapa yang dikisar untuk mendapatkan perahan santan yang segar. Jika tidak ingin untuk menggunakannya segera, simpan perahan santan segar itu di dalam bekas dan letakkan di peti ais bahagian beku. Ini penting kerana ia dapat mengelakkan santan menjadi basi dalam waktu yang singkat.
Gambar hiasan: Unsplash
Santan kotak

Mudah didapati di kedai runcit serta pasaraya dan tampil dalam pelbagai jenama. Sesuai bagi yang baru nak belajar masak dan mereka yang inginkan kemudahan dalam masakan, terutama bagi golongan ibu bekerja yang perlu masak untuk keluarga apabila pulang dari pejabat.

Santan kotak tampil dalam dua jenis – yang cair dan pekat. Bergantung pada jenis lauk atau sajian yang ingin dimasakan, pastikan untuk membuat pilihan yang tepat. Setiap jenama santan ternyata mempunyai keunikan dan ciri-ciri yang berbeza dari segi rasa, tekstur dan kepekatan yang berbeza.

Jika anda menyimpan santan kotak di dalam peti sejuk bahagian beku, pastikan untuk keluarkannya dulu dan biarkan cair. Jika langsung digunakan, santan akan tampil berketul dan walaupun ia sebati dalam masakan, ia akan menjejas tekstur sajian anda.

Jika berlakunya sedemikian, pakar masak menyarankan agar anda kisar semula santan beku ini dengan air panas dengan anggaran airnya mengikut kepekatan yang diingini. Pastikan santan tidak lagi berketul dan barulah boleh digunakan dalam masakan anda.

Santan serbuk

Ada ramai juga yang gemar dan memilih untuk menggunakan santan jenis ini kerana ianya mudah untuk disimpan, boleh tahan lama, berlemak dan harganya juga sangat berbaloi. Santan jenis serbuk ini dikatakan lebih tepat untuk digunakan dalam masakan seperti pencuci mulut. Contohnya, kek, agar-agar dan puding.

Santan serbuk juga didapati sesuai untuk masakan seperti nasi lemak kerana ianya lebih lemak berkrim dengan aroma yang harum. Ia boleh digunakan langsung dalam masakan atau dicampurkan dengan dengan sedikit air sebelum dicampurkan dalam masakan anda.

Selain itu, santan serbuk juga dikatakan dapat menghuraikan masakan lauk yang tercair. Anda hanya perlu masukkan sedikit serbuk santan ke dalam masakan atau gaulkannya ia dulu dengan campuran sedikit kuah yang dimasak.
Gambar hiasan: Unsplash
AGAR KELAPA PARUT DAPAT TAHAN LAMA...

Kelapa parut bukan sahaja merupakan antara bahan yang diperlukan dalam lauk pauk, ia juga sering digunakan untuk membuat kuih tradisional seperti onde-onde, pulut panggang serunding dan sebagainya.

Oleh itu, jika kelapa parut yang ingin digunakan tidak disimpan dengan betul, ia akan cepat basi dan membuat makanan rosak. Lantas, penting untuk memastikan cara penyimpanan yang betul agar ia tidak bau tengik dan dapat bertahan lebih lama dalam peti sejuk.
 
Sebelum simpan kelapa parut yang baru dibeli, pastikan untuk meletakkannya dalam bekas yang kering dan bersih. Kemudian taburkan sedikit garam antara dua hingga tiga sudu kecil pada kelapa itu.
Garam bertindak sebagai pengawet semula jadi dan sekaligus dapat membantu untuk merencatkan kehadiran bakteria yang boleh merosakkan kelapa dengan mudah.

Kemudian, panaskan periuk kukus sehingga air mendidih dan masukkan kelapa dalam periuk dan kukus anggaran 15 minit. Untuk elakkan wap air jatuk ke kelapa, balutkan kain pada penutup periuk kuku itu. Selepas 15 minit, keluarkan parutan kelapa dari periuk kukus dan biarkan ia sejuk.

Selepas itu, letakkan ia di dalam bekas yang kering dan bersih sebelum simpan di dalam peti sejuk bahagian beku. Jika disimpan dengan betul, ia dapat bertahan hingga lebih kurang enam bulan dan apabila ingin menggunakannya, keluarkan daripada peti sejuk dan kukus semula.
Gambar hiasan: Unsplash
Penting untuk pastikan ia tidak berbau tengik dan basi. Sebab itu, penting untuk tidak membungkus kelapa yang masih hangat atau berwap kerana ia akan membuatnya cepat rosak. Jika kelapa parut menunjukkan tanda-tanda sudah rosak walaupun ia disimpan di dalam bahagian beku, pastikan untuk tidak menggunakannya.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan