Sanggup bayar harga tinggi untuk minuman berfungsi? Berikut adalah 5 perkara yang perlu anda ketahui terlebih dahulu
Minuman berfungsi, kategori yang hampir tidak wujud beberapa tahun lalu, kini merupakan sebahagian daripada pasaran yang berkembang pesat di Singapura.
- Minuman berfungsi di Singapura semakin popular kerana didakwa memberi manfaat kesihatan seperti kesihatan usus, melegakan tekanan, dan meningkatkan tenaga.
- Pakar pemakanan mendapati kebanyakan produk mengandungi bahan aktif pada kadar rendah, menyebabkan manfaat sebenar sukar dicapai tanpa pengambilan berlebihan.
- Risiko seperti pengambilan pemanis tiruan, asid yang boleh merosakkan gigi, dan kafein berlebihan turut dibincangkan, selain kemungkinan kesan plasebo.
- Pengguna digalakkan meneliti ramuan, dos dan khasiat sebelum memilih minuman berfungsi, kerana manfaatnya memerlukan pengambilan konsisten dan tidak serta-merta.
Popularitinya semakin meningkat sedang lebih ramai pengguna memilih gaya hidup yang mengutamakan kesejahteraan diri. Namun, adakah minuman ini benar-benar mempunyai manfaat kesihatan?
Mediacorp memilih lapan produk merentasi empat kategori dan meminta para pakar pemakanan untuk menganalisis bahan aktifnya. Berikut adalah lima perkara yang perlu diketahui.
1. APAKAH SEBENARNYA MINUMAN BERFUNGSI?
Minuman berfungsi mengandungi bahan bioaktif yang didakwa memberi manfaat kepada tubuh.
Empat kategori yang dikaji ialah kesihatan usus, melegakan tekanan, kecergasan mental dan tenaga bebas kafein. Bahan-bahan biasa termasuk probiotik, ashwagandha, L-theanine, yerba mate dan paraxanthine.
Selain dakwaan kesihatan, minuman ini juga menarik minat orang ramai yang mencari alternatif kepada alkohol atau minuman bergula.
Pasaran minuman tanpa alkohol Singapura diunjurkan berkembang sebanyak 7 peratus setiap tahun antara 2026 hingga 2032.
2. BERAPAKAH JUMLAH YANG SEBENARNYA AKAN MEMBERI MANFAAT KEPADA ANDA?
Pakar pemakanan Shania Khialani mendapati bahawa banyak produk mengandungi kadar bahan aktif yang rendah atau tidak begitu berkesan.
Satu minuman probiotik mengandungi 200 juta unit pembentuk koloni, berbanding dos harian berkesan antara satu bilion hingga 10 bilion. Pengguna mungkin memerlukan lima tin setiap hari selama enam hingga lapan minggu untuk meraih sebarang manfaat.
Minuman melegakan tekanan mengandungi 312mg ashwagandha, kurang daripada kadar 500mg hingga 600mg yang disyorkan, manakala minuman merangsang kecergasan mental mengandungi 45mg kafein, yang mungkin tidak mencukupi untuk pengguna kafein biasa.
Satu minuman tenaga bebas kafein hanya mengandungi 12 kilokalori, berbanding dengan 80 hingga 120 kkal yang diperlukan untuk peningkatan tenaga metabolik yang bermakna.
Dos yang lebih rendah boleh membantu pengeluar mengelakkan kesan sampingan dalam kalangan pengguna yang sensitif dan mengekalkan kos pengeluaran yang rendah.
3. APAKAH RISIKO JIKA DIAMBIL SECARA BERLEBIHAN?
Meminum beberapa tin untuk mencapai dos yang berkesan boleh menimbulkan kebimbangan lain.
Sesetengah minuman mengandungi pemanis tiruan, yang mungkin terus merangsang keinginan untuk makan gula. Asid sitrik dan malik yang digunakan sebagai bahan pengawet juga boleh menyumbang kepada hakisan enamel gigi apabila dimakan dengan kerap.
Walaupun kandungan kafein biasanya rendah, jumlahnya besar apabila seseorang mengambil beberapa minuman dalam sehari dan berpotensi menjejaskan tidur.
4. MENGAPA CENDAWAN TURUT DIGUNAKAN?
Cendawan seperti surai singa dan reishi semakin banyak digunakan dalam minuman berfungsi kerana kandungan sebatian bioaktifnya.
Ekstrak cendawan mungkin lebih mudah diserap berbanding cendawan dalam bentuk asal atau yang berbentuk serbuk kerana bahan aktifnya lebih pekat.
Walau bagaimanapun, keberkesanannya bergantung pada kepekatan dan kaedah pengekstrakan. Seorang pakar berkata kaedah yang diutamakan ialah pengekstrakan menggunakan air dan alkohol.
Pengguna mungkin memerlukan antara 500mg hingga 1,000mg ekstrak cendawan setiap hari selama dua hingga empat minggu sebelum melihat hasilnya.
5. APAKAH YANG ANDA BAYAR SEBENARNYA?
Sesetengah pengguna mungkin merasakan manfaatnya akibat kesan plasebo — iaitu apabila kepercayaan seseorang terhadap sesuatu produk membuatkan mereka berasa lebih baik, walaupun bahan aktifnya mungkin tidak memberi kesan sebenar.
Pembungkusan produk dan dakwaan bahawa sesuatu minuman boleh melegakan tekanan atau meningkatkan fokus mungkin mempengaruhi perasaan pengguna, walaupun bahan aktifnya di bawah paras yang terbukti berkesan.
Minuman berfungsi bukanlah penawar ajaib, dan sebarang manfaat yang diperoleh biasanya memerlukan pengambilan secara konsisten dalam tempoh yang lama.
Namun, ia mungkin masih menjadi pilihan yang lebih baik berbanding minuman beralkohol atau minuman dengan kandungan gula tinggi, asalkan para pengguna meneliti ramuan, dos dan kandungan khasiatnya secara keseluruhan terlebih dahulu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.