Skip to main content

Gaya Hidup

Sambutan Songkran: cerminan keharmonian masyarakat Siam di Kelantan

Masyarakat berketurunan Siam di Kampung Terbok, Tumpat, Kelantan tidak melepaskan peluang meraikan Pesta Songkran, atau lebih dikenali sebagai “pesta air”, yang disambut meriah di pekarangan Wat Pikulthong.

Anggaran Waktu Membaca:
Sambutan Songkran: cerminan keharmonian masyarakat Siam di Kelantan

Songkran merupakan perayaan Tahun Baharu tradisional bagi masyarakat Thai dan beberapa negara di Asia Tenggara. (Gambar: Bernama/Kenny Teng Khoon Hock)

Diterbitkan : 14 Apr 2025 01:35PM Dikemas Kini : 14 Apr 2025 01:39PM
TUMPAT: Masyarakat berketurunan Siam di Kampung Terbok, Tumpat, Kelantan tidak melepaskan peluang meraikan Pesta Songkran, atau lebih dikenali sebagai “pesta air”, yang disambut meriah di pekarangan Wat Pikulthong.

Songkran merupakan perayaan Tahun Baharu tradisional bagi masyarakat Thai dan beberapa negara di Asia Tenggara, termasuk masyarakat Siam di Malaysia. Ia lazimnya disambut pada April setiap tahun, dengan tarikh perayaan utama antara 13 hingga 15 April.

Tinjauan Bernama mendapati lebih 500 penduduk berbangsa Siam hadir bersama anggota keluarga mereka memeriahkan pesta tahunan tiga hari itu, yang bermula semalam (13 Apr) sempena sambutan Tahun Baharu Siam.

Seorang pengunjung, Rajoo Natrapong, 40 tahun, dari Jubakar Darat, Kelantan, berkata beliau membawa tiga anaknya untuk turut serta dalam kemeriahan pesta yang amat dinanti-nantikan saban tahun oleh masyarakat Siam tempatan.

“Setiap tahun, masyarakat Siam di sini tidak sabar menunggu ketibaan Songkran. Kanak-kanak dan remaja paling teruja kerana mereka bebas bermain dan menyimbah air tanpa dimarahi.

"Kini, ramai memilih menggunakan senapang air kerana lebih mesra, malah air yang digunakan turut dicampur dengan bedak bagi menghasilkan bau yang wangi,” katanya kepada baru-baru ini.

Sementara itu, seorang guru, Mei Ling, 50 tahun, menyifatkan sambutan Songkran kali ini amat bertepatan dengan keadaan cuaca panas yang sedang melanda Malaysia.

“Saya lihat ramai pengunjung dari luar Kelantan turut hadir dan mereka begitu teruja melihat keharmonian masyarakat Siam di sini yang hidup aman serta bergaul mesra dengan kaum lain.

“Sesetengah orang memilih untuk menyambut Songkran di Thailand, namun bagi saya, lebih bermakna jika diraikan di tanah air sendiri,” katanya.

Semalam (13 Apr), Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim turut menyampaikan ucapan sempena sambutan Tahun Baharu Siam, menyeru masyarakat Siam agar terus memperkukuh perpaduan serta semangat kasih sayang dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama.

Dalam satu catatan Facebook, beliau menegaskan pentingnya rakyat menolak fitnah, prejudis dan sentimen perpecahan yang hanya akan merugikan semua pihak.
Sumber : Bernama/RY/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita