Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Sambutan bagi sesi memanah Traditional Archers S'pore lonjak 40% pada cuti sekolah tahun ini

Jika anda berkunjung ke Punggol East Container Park pada hujung minggu, anda pasti akan terlihat ramai keluarga memanah di suatu kawasan terbuka. 

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Jika anda berkunjung ke Punggol East Container Park pada hujung minggu, anda pasti akan terlihat ramai keluarga memanah di suatu kawasan terbuka.

Kegiatan itu sebenarnya dianjurkan sekumpulan pemanah yang menubuhkan Traditional Archers Singapore.

(Gambar: Facebook/Traditional Archers Singapore) 

(Gambar: Facebook/Traditional Archers Singapore)

Sejak 2011, kumpulan itu menganjurkan pelbagai sesi dan bengkel memanah di mana orang ramai boleh mempelajari teknik-teknik 'lama' melepaskan anak panah.

Sambutan yang diterima begitu menggalakkan sehingga untuk bulan ini sahaja, tempahan bagi kesemua hampir 50 sesi memanah yang dianjurkan, sudah penuh.

Bilangan pelanggannya juga meningkat walaupun orang ramai kini mempunyai pilihan untuk melancong menerusi skim VTL.

"Kalau kita bandingkan antara Disember tahun lalu dan Disember tahun ini, kita nampak ada peningkatan yang ketara. Pada tahun ini, boleh dikatakan dalam 40 peratus peningkatannya," kongsi Encik Fachruddin Dzaki selaku Setiausaha Traditional Archers Singapore.

Harga bagi setiap sesi 'Fun Shoot' anjuran kumpulan itu bermula dari S$10. Kanak-kanak berumur enam tahun ke atas juga boleh menyertai aktiviti-aktiviti ini.

APA MAKSUDNYA MEMANAH MENGIKUT CARA TRADISIONAL?

Hakikatnya, kegiatan memanah sudah menjalani satu evolusi.

Encik Dzaki menjelaskan bahawa kaedah memanah "moden" memerlukan penggunaan pelbagai peralatan tambahan selain busur dan anak panah.

"Tapi para pemanah tradisional perlu ada kemahiran memanah hanya dengan menggunakan busur dan anak panah, dengan gaya berjalan, melompat, berguling, menunggang kuda dan sebagainya," terang Encik Dzaki.

Jadi kemahiran memanah ikut cara tradisional tidak mudah dan inilah menjadi antara daya tarikan bengkel-bengkel yang ditawarkan Traditional Archers Singapore.

Ini diakui sendiri oleh seorang belia bernama Adly Rayian, 14 tahun, yang sebelum ini pernah mencuba kegiatan memanah 'moden' di luar negeri.

"Aktiviti ini seperti suatu senaman untuk saya," katanya.

Dalam program 'Archery Experience' yang ditawarkan Traditional Archers Singapore pula, para peserta turut diperkenalkan kepada sejarah memanah.

"Kita memberikan perincian berkaitan dengan peralatan memanah, sejarah memanah, teknik-teknik yang kita boleh tunjukkan secara asas. Peserta akan dapat mencuba semua teknik-teknik yang kita ajarkan secara ringkas pada hari itu juga, dalam masa sejam," menurut Encik Dzaki.

Yuran untuk menyertai 'Archery Experience' ini adalah S$40 sejam.

LEBIH RELA LAKUKAN AKTIVITI MEMANAH DARIPADA MELANCONG

Yang pasti, kegiatan memanah kini lebih disukai daripada melancong. Seorang pelanggan, Encik Saleem Abdul Rahim, 35 tahun berkongsi sebabnya:

"Saya lebih suka meluangkan masa melakukan kegiatan memanah. VTL ada kos tambahan bagi ujian dan sebagainya. Lebih baik tunggu musim VTL berlalu, baru ke luar negeri."

Encik Saleem Abdul Rahim (tengah) ketika mengikuti kegiatan memanah.

Kegiatan memanah tradisional ini juga menurutnya, merupakan cara yang terbaik untuk meluangkan masa daripada menggunakan alat-alat elektronik dengan kerap.

"Oleh kerana ia (memanah) mengikut cara tradisional, tumpuannya lebih kepada memperbaiki diri sendiri secara mental dan fizikal," tambah beliau lagi.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan