Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Sajian asli aneka makanan laut ditawarkan di restoran Mutiara Seafood di Wisma Geylang Serai

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Tepat dengan nama yang diberi, restoran ini ibarat sebutir mutiara yang berkilauan. Manakan tidak, sajian yang ditawarkan merangkumi pelbagai hidangan laut - dari ketam, sotong, udang dan pelbagai jenis ikan - pasti sahaja menarik perhatian ramai!
Restoran Mutiara Seafood, yang terletak di Wisma Geylang Serai, baru berusia lebih kurang dua bulan. Ia merupakan restoran makanan laut Halal yang pertama di bawah naungan jenama restoran seafood terkemuka di kota Singa, iaitu Jumbo Restaurant yang sudah terkenal dengan sajian laut yang bermutu sejak berdekad lamanya.

Sajian berasaskan aneka makanan laut sering menjadi pilihan untuk dinikmati bersama keluarga dan teman-teman pada bila-bila masa tidak ikut musim. Namun untuk mendapatkan pilihan makanan laut halal yang bermutu, segar, enak dengan harga yang berpatutan mungkin agak terhad di kota Singa ini.

Berpegang pada prinsip untuk menghidangkan hidangan yang segar dan bermutu, tidak hairanlah jika restoran ini akan memastikan setiap makanan yang disajikan adalah dari mutu terbaik bagi mengekalkan rasa dan keenakannya.
Secara ringkas, sajian yang ditampilkan di Mutiara Seafood merupakan sajian laut warisan turun temurun . Restoran ini mengutamakan kesegaran pada setiap hidangan laut agar ia dapat menghasilkan rasa puas, menepati selera setiap pelanggan yang datang.

Lantas tidak hairanlah jika setiap sajian yang ditawarkan mempunyai rasa unik yang tersendiri selain penampilan yang membuka selera.

Bagi yang meminati hidangan laut seperti ketam, bolehlah mencuba ketam yang berbeza-beza seperti ketam Alaska, ketam lumpur dan sebagainya. Harganya juga berbeza-beza ikut pada pilihan anda.

Apabila menikmati ketam, kekapis (scallop) atau kerang dan ikan kod pula, anda pasti tidak akan berasa hampa dengan sajian yang ditawarkan di restoran ini. Bukan sahaja makanan lautnya segar tapi isinya juga ‘kaw-kaw’ atau padat.

Sekalipun demikian, restoran dua tingkat ini tidak setakat menyediakan makanan laut saja, bagi yang gemarkan ayam dan daging anda juga boleh menikmat pelbagai pilihan sajian di sini.
 
ANEKA HIDANGAN LAUT

Selain ketam di masak dengan sos cili, lada hitam, telur asin, terdapat juga versi yang lebih sihat seperti ketam kukus dengan putih telur. Apa saja pilihan anda yang pasti rasanya semua ada 'oomph'.

Bagi yang tidak minat dengan ketam, terdapat alternatif lain seperti udang kera Boston dan Australia yang dimasak dengan pelbagai cara. Antaranya, ia direbus dengan kuah istimewa atau ditumis dengan telur asin selain mentega dan keju. Pada masa yang sama, terdapat juga sajian bihun dan udang kera yang dimasak dengan sos istimewa dan disajikan di dalam claypot.

Bagi peminat ikan pula, anda boleh tersenyum lebar bila melihat menunya. Ikan-ikan hidup seperti tilapia, kerapu, siakap dan soon hock atau marble goby menanti anda dan akan disajikan dalam pelbagai cara dan rasa.

Antaranya, ikan kukus dengan kicap atau bawang putih atau digoreng dengan sos pilihan. Setiap sajian disajikan panas-panas dan boleh diratah begitu saja.

Sajian udang hidup juga ada dan pasti akan menjadi pilihan mereka yang gemarkannya. Jadi, bagaimana untuk menikmati hidangan ini? Buat pilihan sendiri sama ada anda ingin udang direbus atau digoreng dengan pilihan wasabi Mayo, telur asin dan sos masam manis, antara lain.

LAIN-LAIN HIDANGAN

Bagi yang ingin menikmati nasi atau mi, anda juga mempunyai pelbagai pilihan. Antaranya, Nasi Goreng Ayam dan Ikan Bilis, Hor Fun Goreng Seafood, Mee Goreng Renyah dan banyak lagi.

Pendek kata, apabila ingin membuat tempahan makanan anda pasti rambang mata. Sebelum membuat pesanan bagi sajian utama, apa kata anda mencuba 'appetizer', yang terdiri daripada pelbagai makanan ringan, sebagai pembuka selera.

Cumi Goreng Garing, Char Kuay Seafood dan Krim Salada merupakan hidangan yang dapat menepati citarasa semua. Begitu juga rangkaian menu sup seperti Sup Labu Kuning dan Makanan Laut, Sup Ketam dan Perut Ikan, Sup Bening Perut Ikan dan Ayam.

Untuk lengkapkan sajian yang dinikmati, pelbagai minuman berperisa buah-buahan segar turut ditawarkan di sini. Contohnya, Air Kelapa Muda Siam, Just Epal, Yuzu, Limau Bali Merah Ais dan Buah Pic Muscat yang menyegarkan tekak dan dapat legakan kehausan.

Satu lagi, jangan balik dulu selagi belum mencuba pencuci mulut seperti Sago Mangga Sejuk dengan Limau Bali dan Aiyu Jeli dengan Limau dan Lidah Buaya.

Tunggu apa lagi? Jika anda bercadang untuk ‘open table’ bersama keluarga atau rakan-rakan, inilah antara pilihan restoran makanan laut terkini yang mesti dikunjungi.

Bukan sahaja sajiannya enak dan bermutu, harganya berpatutan dan yang penting anda akan pulang dengan hati senang!

Sebelum ke sini pastikan anda telefon dan buat tempahan terlebih dahulu. Restoran di buka setiap hari. Waktu operasi dari pukul 11.00 pagi – 3.00 petang dan 5.30 petang – 10.00 malam. Tel: 68163030

Mutiara Seafood, 1 Engku Aman Turn #01-02 & #02-02/03 Wisma Geylang Serai S408528
 
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan