Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Ryan, baru berusia 6 tahun, raih lebih S$15 juta setahun menerusi YouTube

Amerika Syarikat: Baru berusia 6 tahun tetapi sudah menjadi jutawan.

Anggaran Waktu Membaca:
Ryan, baru berusia 6 tahun, raih lebih S$15 juta setahun menerusi YouTube

Gambar petikan skrin: Ryan ToysReview/YouTube

Diterbitkan : 13 Dec 2017 05:04PM Dikemas Kini : 23 Dec 2017 10:21PM

Amerika Syarikat: Baru berusia 6 tahun tetapi sudah menjadi jutawan.

Itulah Ryan, bintang "Ryan ToysReview", yang menduduki tangga kelapan dalam senarai Forbes bagi jutawan YouTube.

Siapa sangka dengan video ulasan mainan sahaja, kanak-kanak itu dan keluarganya boleh meraih lebih AS$11 juta (S$15 juta) dalam tempoh setahun!

Lebih menarik lagi, laman YouTube itu pada awalnya dimulakan hanya kerana Ryan ingin mengikut-ikut ikon EvanTubeHD dan Hulyan Maya yang juga merupakan kanak-kanak sepertinya membuat video.

"Pada satu hari, dia tanya saya: 'Kenapa saya tidak ada laman YouTube tetapi kanak-kanak lain ada?' Jadi kami buat keputusan - kami boleh juga. Selepas itu, kami membawanya ke kedai mainan untuk mendapatkan mainan pertamanya - ia merupakan set kereta api Lego - dan semuanya bermula dari situ," kata ibunya kepada TubeFilter.

Pada awalnya, video pertamanya yang dimuat naik Mac 2015, menurut laporan Verge, tidak ditonton sesiapa pun. Namun, empat bulan kemudian, video Ryan membuat ulasan 100 mainan serentak menjadi viral. Video “100+ cars toys GIANT EGG SURPRISE OPENING Disney Pixar Lightning McQueen kids" itu memacu jumlah pengikutnya.

Bilangan penonton bagi video-video yang dimuat naik berlipat ganda setiap bulan sehingga mencapai satu juta pengikut pada Januari 2016. Setahun kemudian, kanak-kanak itu mempunyai seramai lima juta pengikut dan sekarang ini jumlah tersebut menjangkaui 10 juta.

Jun lalu, YouTube menyenaraikan "Ryan ToysReview" sebagai laman YouTube yang paling banyak ditonton di Amerika Syarikat untuk 40 minggu berturut-turut.

Dengan jumlah penonton yang begitu ramai, ulasan Ryan membawa kesan yang besar kepada industri mainan.

"Sekiranya sesuatu produk itu mendapat 10 juta ataupun 20 juta penonton, terutama sekali sekiranya Ryan benar-benar menggemarnya ataupun kanak-kanak lain suka (dengan produk itu), ia mempunyai kesan besar kepada jualannya," kata Encik Jim Silver, Ketua Pegawai Eksekutif laman ulasan Toys, Tots, Pets and More kepada Verge.

Dalam laporan Washington Post, seorang ibu kepada kanak-kanak 5 tahun, Lindsay Weiss berkata: "Ia (laman YouTube Ryan) hanyalah satu-satunya yang ditonton anaknya di YouTube."

"Saya juga harus berterima kasih kepada Ryan atas kesemua TIGA BELAS mainan yang anak saya minta sebagai hadiah hari jadinya minggu lalu," tambah Cik Weiss dalam catatan blognya.

Meskipun laman YouTube berkenaan boleh mendatangkan hasil yang banyak dengan pengaruhnya yang kuat, ibu bapa Ryan memberitahu The Sun bahawa mereka akan henti memuat naik video-video apabila anak mereka sudah penat membuatnya.

Sumber : Agensi berita/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan