Skip to main content

Gaya Hidup

Rumah terbuka Istana diadakan 1 Nov sempena Deepavali, bergantung pada keadaan jerebu

Orang ramai boleh mengunjungi Istana pada 1 November menjelang sambutan Deepavali.

Anggaran Waktu Membaca:
Rumah terbuka Istana diadakan 1 Nov sempena Deepavali, bergantung pada keadaan jerebu

Para pengunjung di acara Rumah Terbuka Istana pada 2022. (Gambar fail: Nadia Jansen Hassan)

Diterbitkan : 28 Oct 2026 12:04AM
Istana open house to be held on Nov 1 for Deepavali, depending on haze conditions
  • Istana Singapore will hold an open house for Deepavali on Nov 1, from 10am to 8pm; the event may be cancelled if the 24-hour PSI reaches the very unhealthy level.
  • Visitors can watch the Changing of the Guard, performances by the SAF and SPDS, concerts and cultural activities, including performances by local artists and community groups.
  • The programme also includes an SBF market showcasing inclusive employment, a reading corner, the Istana Stamp Rally and tours; the Main Building is closed for restoration.
  • Admission is free for Singaporeans, permanent residents and accompanying domestic foreign workers, while other visitors will be charged; proceeds support the President's Challenge programmes, and entry may be restricted depending on the weather or visitor numbers.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Orang ramai boleh mengunjungi Istana pada 1 November menjelang sambutan Deepavali. Bagaimanapun, acara rumah terbuka tersebut mungkin dibatalkan sekiranya Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam mencapai paras sangat tidak sihat.

Para pengunjung digalakkan supaya menyemak nasihat terkini mengenai jerebu serta laman web Istana untuk mendapatkan maklumat terkini sebelum menghadiri acara tersebut, menurut Pejabat Presiden pada Selasa (27 Okt).

Acara rumah terbuka itu akan berlangsung dari 10.00 pagi hingga 8.00 malam, dengan kemasukan terakhir pada 6.30 petang.

Buat julung-julung kalinya, acara rumah terbuka Istana akan diadakan bersama upacara Pertukaran Pengawal yang disertakan dengan penerangan.

Para pengunjung juga boleh menikmati persembahan oleh Pancaragam Istiadat Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) serta pertunjukan kawad senapang oleh Skuad Dril Kepersisian Senyap (SPDS).

Acara rumah terbuka itu turut menampilkan konsert luar bangunan pada sebelah malam serta pelbagai persembahan dan kegiatan kebudayaan.

Antara acara menarik termasuk persembahan penyanyi dan penulis lagu tempatan Ahmadul Amin dan Heema Izzati, serta kumpulan persembahan daripada Project #JalanJalan, Extraordinary People, Micron dan Quantedge.

Sebuah pasar masyarakat anjuran Yayasan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) akan turut diadakan bagi mengetengahkan sokongan dan amalan pekerjaan inklusif. Antara pertubuhan yang mengambil bahagian termasuk Inclus, New Hope Community Services dan Caregiving Welfare Association.

Selain itu, sebuah ruang membaca khas yang disediakan oleh Lembaga Perpustakaan dan Arkib Negara akan menampilkan pilihan buku-buku yang disarankan oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam dan Puan Jane Ittogi.

Para pengunjung boleh melihat-lihat koleksi buku yang disarankan serta menyertai kegiatan berkaitan pembacaan. Kedai buku bebas, The Book Bar, turut menawarkan buku untuk dijual.

Kegiatan 'Istana Stamp Rally' juga akan kembali dengan reka bentuk setem baharu untuk dikumpulkan oleh para pengunjung. Inisiatif yang diterajui pelajar dan dibangunkan dengan kerjasama Politeknik Singapura itu menggalakkan para pengunjung meneroka pelbagai kawasan di pekarangan Istana menerusi kegiatan-kegiatan di lokasi persinggahan yang ditetapkan, di mana mereka boleh mengumpulkan setem.

Para pengunjung turut dipelawa meneroka kawasan Istana, termasuk seni bina serta kepelbagaian flora dan faunanya.

Lawatan tanpa pemandu ke Vila Istana membolehkan para pengunjung melihat koleksi hadiah negara yang diberikan kepada para pemimpin Singapura. Lawatan tersebut diadakan dari 10.00 pagi hingga 5.30 petang, dengan kemasukan terakhir pada 5.00 petang.

Mereka yang telah mendaftar terlebih dahulu bagi Lawatan Warisan Istana berpandu boleh meneroka kawasan tersebut mengikut slot masa yang dipilih, bermula pada 10.30 pagi.

Gerai makanan dan minuman turut disediakan, namun pembayaran hanya boleh dibuat tanpa menggunakan wang tunai.

Bangunan utama Istana ditutup bagi kerja-kerja pemulihan dan tidak dibuka kepada orang ramai sehingga dimaklumkan kelak, menurut Pejabat Presiden.

Kemasukan ke pekarangan Istana adalah percuma bagi warga Singapura, penduduk tetap dan pekerja hijrahan domestik yang menemani keluarga.

Pengunjung lain perlu membayar S$20 bagi setiap orang dewasa dan S$10 bagi kanak-kanak berusia antara empat dengan 12 tahun.

Bayaran tambahan dikenakan bagi kegiatan tertentu, seperti kemasukan ke Vila Istana dan lawatan warisan berpandu.

Semua bayaran yang dikumpulkan akan disalurkan kepada program-program penerima manfaat yang disokong oleh Cabaran Presiden.

Para pengunjung boleh masuk melalui pintu utama di Orchard Road, dengan stesen MRT Dhoby Ghaut sebagai stesen yang terdekat. Kemasukan mungkin dihadkan bergantung pada jumlah pengunjung atau keadaan cuaca.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita