Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Royal Caribbean buka tempahan pesiaran 2022 dari S'pura ke M'sia, Thailand & Vietnam

Royal Caribbean sudahpun membuka tempahan bagi pesiaran dari Singapura ke Malaysia, Thailand dan Vietnam menaiki kapal Spectrum of the Seas.

Anggaran Waktu Membaca:
Royal Caribbean buka tempahan pesiaran 2022 dari S'pura ke M'sia, Thailand & Vietnam

Spectrum of the Seas belayar di Hong Kong. (Gambar Royal Caribbean)

Diterbitkan : 29 Sep 2021 03:54PM Dikemas Kini : 29 Sep 2021 04:50PM

SINGAPURA: Royal Caribbean sudahpun membuka tempahan bagi pesiaran dari Singapura ke Malaysia, Thailand dan Vietnam menaiki kapal Spectrum of the Seas.

Kapal pesiaran itu dijadualkan belayar dari 21 Oktober 2022 dengan perjalanan sepanjang tiga hingga sembilan malam, menurut Royal Caribbean dalam satu kenyataan media hari ini (29 Sep).

Pelayaran itu tertakluk pada kelulusan daripada pihak berkuasa Singapura berdasarkan keadaan kesihatan serta langkah-langkah sempadan semasa.

Musim pelayaran kapal Quantum of the Seas juga dilanjutkan sekali lagi sehingga 7 April 2022, tambah Royal Caribbean.

Syarikat itu turut mengumumkan hari ini (29 Sep) bahawa tetamu berusia 12 tahun dan ke atas perlu lengkap divaksin bagi semua tempahan baru yang dibuat mulai 1 Oktober tahun ini.

Dilancarkan pada 2019, kapal Spectrum of the Seas direka bagi pasaran pesiaran Asia dan boleh menampung sehingga 4,246 tetamu serta 1,551 anak kapal, menurut laman Royal Caribbean.

Ia juga menyediakan penginapan suit peribadi di kawasan-kawasan tertentu di bahagian hujung depan kapal tersebut, 19 pilihan tempat makan dan kegiatan yang "belum pernah disaksikan di laut".

Naib Presiden Royal Caribbean International di Singapura, Angie Stephen, berkata: “Kami teruja untuk memperkenalkan seluruh spektrum kembara baru bersama Spectrum of the Seas... Kami sudah menyaksikan lonjakan dalam jumlah tetamu yang berulang mengikuti pesiaran serta bilangan besar tetamu kapal pesiaran dan menantikan untuk membawakan pengalaman Royal Caribbean yang terbaik kepada para tetamu kami."

Antara daya tarikan atas kapal Spectrum of the Sea adalah 'Sky Pad' iaitu sebuah kembara trampolin bungee secara realiti maya. Di tarikan itu, tetamu yang diikat dan memakai fon kepala seolah-olah dibawa ke planet dan masa lain.

Daya-daya tarikan Sky Pad (kiri), FlowRider (tengah) dan RipCord oleh iFly di atas kapal Spectrum of the Seas. (Gambar: Royal Caribbean)

(Daya-daya tarikan Sky Pad (kiri), FlowRider (tengah) dan RipCord oleh iFly di atas kapal Spectrum of the Seas. Gambar: Royal Caribbean)

Selain itu, terdapat juga 'SeaPlex' yakni sebuah ruang aktif tertutup paling besar di laut, yang menyediakan kegiatan-kegiatan kereta laga atau 'bumper car', meluncur roda, 'laser tag', lawan pedang, memanah dan banyak lagi.

Kapal itu juga mempunyai sebuah tempat karaoke yang dipanggil 'Star Moment'.

Spectrum of the Seas menyediakan pelbagai kabin khas termasuk 'Ultimate Family Suite' dua tingkat yang dilengkapi dengan gelongsor atau 'ensuite slide' serta sebuah pawagam yang juga boleh digunakan sebagai pentas karaoke.

Kapal Quantum of the Seas, yang sudah mengendalikan pelayaran tanpa destinasi ke luar Singapura sejak Disember lalu, sebelum ini melanjutkan musim pesiarannya sehingga Oktober 2021 dan sekali lagi sehingga Februari 2022.

Royal Caribbean menyatakan ia akan terus menilai dan mengemas kini langkah-langkah untuk melindungi kesejahteraan diri para penumpang serta anak kapalnya sedang keadaan COVID-19 berubah-ubah.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan