Roti Ayang - sarapan penuh kasih sayang
Bayangkan menikmati sekeping roti tebal lembut yang dibakar, kemudian disapu dengan kaya dan diletakkan telur goyang di atasnya... tentunya enak sekali kan?
KOTA BAHRU: Bayangkan menikmati sekeping roti tebal lembut yang dibakar, kemudian disapu dengan kaya dan diletakkan telur goyang di atasnya... tentunya enak sekali kan?
Inilah antara juadah terbaru yang menjadi viral baru-baru ini.
Menu yang diberi nama 'Roti Ayang' itu dijual dengan harga RM5 (S$1.65) di Ayang Cafe yang terletak berhadapan Masjid Diraja Long Yunus, Langgar.
Ayang Cafe baru dibuka empat bulan lalu, namun ia sering dibanjiri pelanggan yang gemar menikmati kelazatan Roti Ayang.
Kafe yang dimiliki Cik Nor Hazelizan Mamat itu menarik pandangan mata kerana penggunaan warna tema merah jambu dan berada redup di bawah pohon yang besar, selain memulakan operasinya dalam suasana dingin seawal 6.00 pagi.
Sinar Harian menukil Cik Nor Hazelizan sebagai berkata bahawa segala pengalaman selama lebih 10 tahun bekerja di sebuah kopitiam terkenal dahulu dicurahkan sepenuhnya kepada kafe itu.
Malah, Roti Ayang kini berjaya mendapat tempat di hati pelanggannya serta menjadi kegemaran setiap yang datang bersarapan di kafe berkenaan.
(Gambar: Ayang Cafe)
Menceritakan keenakan Roti Ayang, Cik Nor Hazelizan berkata, beliau memilih roti yang paling lembut dihasilkan di sebuah kilang di daerah ini selain turut menggunakan kaya yang berkualiti tinggi serta telur gred terbaik.
ROTI AYANG
Sinar Harian difahamkan nama Roti Ayang itu diberi oleh imam masjid, Khairul Azizi Mokhtar, yang berkata bahawa Ayang itu bermaksud sayang bersesuaian dengan Cik Nor Hazelizan sendiri yang gemar membahasakan pelanggan dan kenalan dengan panggilan itu.
“Selain “Roti Sayang” ini, kafe ini juga menyediakan roti kukus cicah susu dan 'Roti Thick Toast' iaitu roti bakar mentega kacang yang disapu dengan susu pekat manis. Bagi yang mahukan sarapan berbeza boleh menikmati nasi tumpang; nasi himpit, nasi Air Dingin atau nasi bungkus dengan pelbagai jenis lauk pauk yang disediakan mengikut selera Kelantan.
“Minuman istimewa di kafe ini pula sudah tentunya kopi 'kaw' dan terdapat juga teh tarik madu atau boleh cuba minuman bali madu lemon atau madu lemon bagi menyegarkan tubuh sebelum memulakan hari masing-masing,” kata beliau kepada Sinar Harian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.