Robot lelaki pertama Saudi cetus kontroversi kerana sentuh wartawan wanita
Robot tersebut yang membuat kemunculan pertama di khalayak umum seakan menghulurkan tangannya dan cuba 'menyentuh' seorang wartawan wanita.
Gambar: Tangkapan skrin dari X
RIYADH: Sebuah robot lelaki di Arab Saudi mencetuskan kontroversi, gara-gara membuat 'sentuhan' tidak wajar pada seorang wartawan wanita ketika satu program siaran langsung.
Rakaman ketika acara DeepFest pada 4 Mac itu menunjukkan robot tersebut yang membuat kemunculan pertama di khalayak umum menghulurkan tangannya dan dikatakan cuba 'menyentuh' wartawan tersebut, yang kelihatan terkejut dan bertindak balas selepas 'disapa' sedemikian.
Setakat 8 Mac, klip sepanjang tujuh saat itu telah meraih lebih sejuta tontonan di media sosial dan turut mengundang pelbagai reaksi.
Ada yang mendakwa robot yang juga penutur dwibahasa itu melakukan 'gangguan secara fizikal' dan menggelarnya sebagai 'robot gatal'.
Meskipun berdepan banyak komen negatif, terdapat juga pengguna media sosial yang mempertahankan robot berkenaan.
Seorang netizen percaya robot itu "diprogramkan sebegitu rupa dan wartawan berkenaan telah berdiri di tempat yang salah".
Malah, beliau memuat naik video robot itu berdiri sendirian dan mengangkat tangan kirinya, seperti yang dilakukan dengan tangan kanannya dalam video yang tular.
Ada juga netizen menganggapnya mungkin ada kaitan dengan masalah teknikal hingga ia bertingkah-laku sedemikian.
"Pereka robot itu perlu mengenal pasti isu sebenar," kata seorang netizen.
Robot itu dihasilkan QSS Systems di bawah inisiatif negara untuk menunjukkan kemajuan membanggakan Riyadh dalam teknologi kecerdasan buatan (AI).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.