Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Risiko penyakit kardiovaskular lebih tinggi bagi wanita lebih tua yang duduk lama

Kajian baru yang dijalankan di Amerika Syarikat mendapati bahawa wanita lanjut usia yang banyak duduk sepanjang hari mungkin berisiko lebih tinggi mengalami penyakit kardiovaskular seperti penyakit jantung dan serangan angin ahmar.  

Anggaran Waktu Membaca:
Risiko penyakit kardiovaskular lebih tinggi bagi wanita lebih tua yang duduk lama

(Gambar fail: AFP/Behrouz Mehri)

Diterbitkan : 13 Mar 2019 09:40PM Dikemas Kini : 13 Mar 2019 09:44PM

CALIFORNIA: Kajian baru yang dijalankan di Amerika Syarikat mendapati bahawa wanita lanjut usia yang banyak duduk sepanjang hari mungkin berisiko lebih tinggi mengalami penyakit kardiovaskular seperti penyakit jantung dan serangan angin ahmar.

Bagaimanapun, jika tabiat duduk terlalu lama ini dapat dikurangkan, walaupun hanya setakat sejam saja setiap hari, ia berupaya mengurangkan risiko itu.

Kajian yang diterajui oleh para penyelidik dari Universiti California di San Diego itu meninjau seramai 5,638 wanita yang berusia antara 63 tahun dengan 97 tahun yang tidak mempunyai sejarah penyakit jantung atau angin ahmar.

Para wanita itu diminta memakai alat yang diberi nama 'accelerometer' selama empat hingga tujuh hari untuk memantau pergerakan mereka dan tempoh mereka tidak melakukan sebarang aktiviti, 24 jam sehari untuk tujuh hari berturut-turut.

Para pengkaji kemudian memantau keadaan para wanita itu selama hampir lima tahun, sambil mencatat sebarang kegiatan kardiovaskular.

Hasil kajian itu yang diterbitkan dalam jurnal Circulation, menunjukkan bahawa para wanita yang paling lama tidak melakukan sebarang aktiviti, iaitu sekitar 11 jam setiap hari atau lebih menghadapi risiko paling tinggi bagi penyakit kardiovaskular berbanding mereka yang tidak banyak duduk, iaitu sekitar sembilan jam sehari atau kurang dari itu.

Secara purata, tambahan sejam jika tidak melakukan sebarang aktiviti boleh meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular sebanyak 12 peratus.

Malah, jika ia turut melibatkan terlalu banyak duduk, maka risikonya 52 peratus lebih tinggi berbanding mereka yang kerap bangun dan bergerak.

Bagaimanapun, berita baiknya adalah risiko tersebut boleh dikurangkan dengan berdiri dan bergerak.

Ini meskipun sekadar buat seketika dan dilakukan dengan kerap sepanjang hari.

Kumpulan pengkaji itu turut mendapati bahawa dengan mengurangkan masa duduk walaupun setakat hanya sejam setiap hari, ia boleh mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular sebanyak 12 peratus dan penyakit jantung sebanyak 26 peratus.  

Sumber : Agensi berita/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan