Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Rezeki anak 3 tahun menang kereta di bazar Ramadan

Anggaran Waktu Membaca:
Rezeki anak 3 tahun menang kereta di bazar Ramadan

Gambar: Agensi berita/ MalaysiaGazette

MELAKA: “Mungkin ini rezeki anak sebab saya hanya berbelanja RM150 (S$47.40) untuk beli baju raya anak di bazar Ramadan ini dua minggu lalu, tak sangka pula boleh menang kereta bernilai hampir RM50,000 (S$15,799.60),” kata Muhammad Rozairen Hairuddin.

Jurupulih perubatan anggota (fisioterapi) berusia 30 tahun itu diumumkan sebagai pemenang hadiah utama cabutan bertuah Melaka Grand Ramadan Bazaar (Melgrab)@Jalan Hang Tuah di Melaka, yang melayakkannya membawa pulang sebuah Proton Saga 1.3 AT Premium, lapor MalaysiaGazette.

Menurutnya, dia tidak menyangka kunjungannya ke bazar terkenal itu dua minggu lalu bersama isteri Siti Nadiah bt Zulkifly, 30 tahun, membawa tuah memandangkan ia adalah kali pertama mereka berkunjung ke bazar berkenaan untuk membeli baju raya anak sulungnya, Firaz Nadhif, 3 tahun.

“Sebelum ini, memang saya ada terbaca bazar ini menawarkan hadiah cabutan bertuah kereta tapi tidak pernah meletakkan harapan untuk menang sebab saya difahamkan terdapat lebih 200,000 kupon cabutan bertuah yang layak.

“Tapi selepas berbelanja RM150 (S$47.40) semuanya untuk beli baju raya anak di dua gerai di sini, isteri mencuba nasib dengan mengisi lima kupon cabutan kerana syarat minimum satu kupon adalah RM30 (S$9.48) tanpa meletakkan harapan yang tinggi untuk menang.

“Tiba-tiba, sekitar jam 10.45 malam kelmarin ketika sedang menonton televisyen, saya dapat panggilan daripada penganjur memaklumkan telah menang hadiah utama cabutan bertuah dan perlu datang malam ini untuk mengambil hadiah,” katanya.

Tambah MalaysiaGazette lagi, dia berkata demikian ketika ditemui wartawan selepas majlis penyerahan replika kunci Proton Saga 1.3 AT Premium yang disampaikan Exco Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri, Ab. Rauf Yusoh di Melgrab@Jalan Hang Tuah pada Ahad malam (24 April).

Bercerita lanjut Encik Muhammad Rozairen yang berasal dari Kampung Semabok, berkata, dia dan isteri juga sememangnya ada merancang untuk membeli kereta baru yang lebih sesuai menggantikan kereta kompak jenis Perodua Viva dan Axia yang digunakannya bersama isteri.

“Memang itu ada dalam perancangan, tapi ternyata rancangan Allah lebih sempurna dan mungkin inilah rezeki anak yang akan menyambut ulang tahun hari kelahirannya yang ketiga 10 Julai ini,” katanya seperti dinukil oleh MalaysiaGazette.

Sumber : Agensi berita/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan