Skip to main content

Gaya Hidup

Restoran unik di Thailand ini hidang makanan guna barangan 'tidak masuk akal'

Anggaran Waktu Membaca:
Restoran unik di Thailand ini hidang makanan guna barangan 'tidak masuk akal'

(Gambar: TikTok/@streetfoodjourn3y)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 26 Jul 2024 09:16PM Dikemas Kini : 26 Jul 2024 09:17PM
CHANTHABURI: Mengekalkan pelanggan tetap dan memikat pengunjung baharu ke kedai makan bukanlah satu perkara yang mudah.

Atas sebab itu, sebilangan perniagaan menggunakan taktik pemasaran yang menarik dan unik bagi memancing perhatian orang ramai, terutama sekali menerusi media sosial.

Baru-baru ini, tular satu video di laman TikTok @streetfoodjourn3y, yang menyaksikan keadaan 'lain daripada yang lain' di sebuah kedai makan yang terletak di Thailand.

Menariknya, restoran Pum Kaprao Wat Jai itu tidak menghidangkan makanan menggunakan set pinggan mangkuk biasa.

Sebaliknya ia menggunakan barangan 'tidak masuk akal' untuk menyajikan hidangan mereka, lapor The Rakyat Post.

Menerusi video tersebut, kelihatan nasi goreng bersama telur dadar dihidangkan dalam penyiram pokok bunga.

Malah makanan tersebut juga terletak di bahagian tengah bekas plastik itu, yang telah dipotong.
Bukan itu sahaja, makanan juga dihidangkan dalam penutup saji. Walaupun ia mengambil ruang yang besar, namun kelainan itu membuatkan pelanggan tertarik untuk berkunjung ke sana.

Bahkan sarang burung dan kuali pun tidak terkecuali.

Ini termasuk bakul buah, bekas letak ais, kerusi mini, tong, bekas minuman dan banyak lagi, seperti ditukil The Rakyat Post.

Pelanggan juga diberikan senduk jika makanan mereka dihidangkan dalam sebuah tempayan yang besar.

Walaupun ia dihidang sebegitu rupa, tetapi pengendali akaun TikTok itu memuji restoran tersebut kerana setiap makanan yang dipesan "sangat sedap", menurut The Rakyat Post.

Menjengah ke ruangan komen, ramai orang dilihat terhibur dengan penggunaan barang yang pelbagai untuk menghidangkan makanan itu.

Malah, ada juga individu berseloroh dengan berkata pemilik kedai akan menggunakan segala perkakas dan deko di restoran berkenaan.

“Hujung-hujung, dapur dia kosong sebab semua barang dah jadi pinggan,” kata seorang pengguna.

Sementara itu, ada juga yang berkata pemilik kedai makanan itu menitikberatkan pengalaman positif buat para pelanggan.

“Ia bukan tentang makanan, tetapi pengalaman,” jelas seorang pengguna TikTok.
Sumber : Agensi berita/IM/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita