Skip to main content

Gaya Hidup

Restoran Sederhana rasmi dibuka di SG; warisan nasi padang terus dipertahankan

Restoran Sederhana di Singapura secara rasminya dibuka petang tadi (14 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 14 Jun 2026 10:36PM Dikemas Kini : 14 Jul 2026 08:45PM
SINGAPURA: Restoran Sederhana di Singapura secara rasminya dibuka petang tadi (14 Jun).

Restoran terkenal dari Indonesia itu membuka cawangan pertamanya di Singapura di lokasi yang sebelum ini menempatkan Warong Nasi Pariaman, sebuah nama yang cukup sinonim dengan sejarah kulinari masyarakat Melayu setempat.

Majlis perasmian restoran itu dihadiri sekitar 100 tetamu undangan, termasuk tetamu kehormat, Anggota Parlimen GRC Jalan Besar Dr Wan Rizal Wan Zakariah.

SEDERHANA SG HIDUPKAN SEMULA LEGASI NASI PADANG DI KAMPONG GELAM

Patah tumbuh, hilang berganti.

Jika dahulu, pelanggan beratur untuk menikmati hidangan Warong Nasi Pariaman, yang selama hampir lapan dekad menjadi antara ikon nasi padang di Singapura.

Suasana yang sama kembali dirasai di premis bersejarah di North Bridge Road itu apabila digantikan oleh Restoran Sederhana SG.

Namun ada yang menganggap, pembukaan restoran baharu itu bukan sekadar pertukaran nama, tetapi kesinambungan tradisi makanan yang telah lama menjadi sebahagian daripada identiti kawasan tersebut.

Pemilik-Bersama yang juga menguruskan Restoran Sederhana SG, Encik Asyraf Rasheed berkata: "Makanan Padang itu makanan warisan di Singapura terutamanya. Jadi kita cuba sambung legasi itu dengan makanan Padang juga, yang autentik, dari sana, supaya kita dapat terus kekalkan makanan warisan di Singapura. Tidak terputus dengan cara itu."

"Untuk meneruskan legasi itu kita harus membawa jenama yang betul-betul autentik. Tak ada yang lebih autentik daripada membawa Restoran Sederhana dari Indonesia ke sini," ujar beliau lagi.
SAJIAN MINANG AUTENTIK DIKEKAL, PENGALAMAN MAKAN DIPERTINGKAT

Encik Asyraf menjelaskan, rasa autentik Sederhana tidak diubah mengikut citarasa Singapura.

Sementara itu, cara sajiannya sedang diusahakan agar dapat lebih menyerupai cara hidangan restoran-restoran di Sederhana Indonesia.

"Cabaran yang kita ada selama ini untuk menyerupai perkhidmatan yang di Indonesia. Apabila di Padang, Nasi Padang dihidangkan dalam pinggan-pinggan kecil. Jadi, kita sedang menghubungi, merancang dan cuba mendapatkan pinggan-pinggan kecil itu."

Dalam masa seminggu lagi, Encik Asraf berkata bahawa Restoran Sederhana akan menerapkan konsep makan di kedai yang berbeza di aras satu dan dua.

"Di lantai satu, kita buat macam cara makan yang ringkas dan cepat - orang boleh pilih lauk, duduk, makan pada waktu makan tengah hari, kerana orang bekerja. Tapi di lantai dua, kita buat betul macam Indonesia di mana mereka duduk, kita hidang untuk mereka. Supaya mereka boleh merasa menyerupai pengalaman makan di Indonesia dan Minang, terutama budaya Padang," kata Encik Asyraf.

LEBIH 200 CAWANGAN BUKTIKAN WARISAN KELUARGA TERUS BERKEMBANG

Warisan juga yang diperjuangkan rangkaian Restoran Sederhana Indonesia yang bermula dengan perniagaan kereta sorong di pasar dan jalanan.

Kerja keras Haji Bustamam dan isteri, Hajjah Fatimah, sejak tahun 1972, yang kini terus dipertahankan dan dikembangkan oleh anak-cucunya.
Related article image
Potret pengasas rangkaian Restoran Sederhana. (Gambar: BERITA Mediadcorp/Roslinda Rahmat)
Jenama restoran itu kini sudah menjangkau lebih 200 cawangan di Indonesia, Malaysia, Singapura dan Australia.

Pemilik Generasi Kedua, Cik Melva Yulita berkata: "Kerana ini perjuangan orang tua saya - generasi pertama (pemilik Restoran Sederhana). Saya generasi kedua. Perjuangan yang begitu hebat. Banyak yang sudah dialami - suka-dukanya.Jadi kita sebagai generasi penerusnya wajib untuk menjaga perjuangan bagi mempertahankan dan mengembangkan niaga."

"Kerana kita mulai dari kosong. Sudah sebesar ini, sayang kalau tidak dilanjutkan perjuangannya. Kemudian saya lanjutkan lagi ke anak saya untuk generasi ketiga, untuk melestarikan perjuangan 'Opah-Omah' (datuk-nenek)nya," kongsi Cik Melva.

Beliau mengucap syukur apabila mengetahui penerimaan baik terhadap jenama yang diperjuangkannya, "Lebih bersyukur kita boleh buka pengembangannya di Singapura. Alhamdulillah, melihat waktu pembukaan awal kelmarin, kami lihat semangat masyarakat Singapura - begitu baik, ya, bagus. Belum waktunya tutup, kita sudah tutup kerana masakan sudah habis!"

Menerusi hidangan Ayam Pop, Rendang, dan Gulai Kikil, yang membentuk antara menu popularnya; pembukaan Restoran Sederhana di Kampong Gelam diharap bukan satu-satunya cawangan di Singapura.
Related article image
(Mengikut arah jam) Antara menu popular Sederhana: Ayam Pop, Gulai Tunjang/Kikil dan Rendang Daging. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
Rangkaian restoran itu juga mendedahkan sedang mencari lokasi bagi membuka cawangan di Makkah, Arab Saudi.
Sumber : BERITA Mediacorp/RL/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita