Restoran Sabar Menanti, agensi pelancongan Halijah Travels antara 42 perniagaan diiktiraf Perniagaan Warisan
Buat julung-julung kalinya, kumpulan pertama sebanyak 42 syarikat diiktiraf Lembaga Warisan Negara (NHB) di bawah Skim Perniagaan Warisan.
Sebagai permulaan, skim ini dianugerahkan kepada perniagaan milik tempatan yang terletak di kawasan pusat Singapura dan memainkan peranan aktif dalam membentuk identiti kejiranan mereka, memperkaya daya tarikan bandar serta memelihara warisan Singapura.
Lebih penting lagi, anugerah ini demi memperkasa keupayaan perniagaan warisan tempatan.
KAYA SEJARAH, LAMBANG BUDAYA, PELESTARI KEMAHIRAN; MEMPERKAYA MASYARAKAT & SEKITARAN
Selain diberikan sebuah plak yang menandakan syarikat itu diiktiraf secara rasmi sebagai perniagaan warisan, setiap syarikat juga menerima sokongan pemasaran serta khidmat rundingan perniagaan.
Perniagaan-perniagaan itu juga disenaraikan dalam direktori yang dihoskan di portal warisan NHB, Roots.gov.sg, sekali gus menyerlahkan lagi jenama perniagaan dan memudahkan rakyat Singapura untuk menyokong mereka.
Dalam satu majlis di Capitol malam semalam (Khamis 9 Okt), Tetamu Kehormat, Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, David Neo berkata perniagaan warisan memainkan peranan penting dalam membentuk jati diri.
Ini memandangkan perniagaan warisan merupakan penjaga kemahiran dan pertukangan, yang menyalurkan serta mempromosikan tradisi merentasi generasi.
Mereka juga berfungsi sebagai lambang budaya yang membolehkan pengunjung dari seluruh dunia merasai atau mengalami sebahagian daripada keunikan budaya Singapura.
SABAR MENANTI & RUMAH MAKAN MINANG ANTARA PERNIAGAAN WARISAN SG BAGI F&B
Antara perniagaan Melayu/Islam yang menerima pengiktirafan ini adalah dua perniagaan nasi padang yakni Rumah Makan Minang dan Sabar Menanti.
"Sabar Menanti telah menjadi sebahagian daripada kisah Singapura selama beberapa generasi. Setiap hidangan yang kami sajikan adalah hasil kasih dan usaha, disediakan dengan resepi yang diwarisi turun-temurun. Harapan kami adalah agar generasi akan datang terus dapat menikmati dan menghargai Nasi Padang asli yang telah membawa kenangan indah untuk rakyat Singapura," luah Encik Iszahar Tambunan, pemilik generasi ketiga, Sabar Menanti Singapura, kepada wartawan Roslinda Rahmat.
HALIJAH TRAVELS TURUT RAI KEUNIKAN SEJARAH KHAS KAMPONG GELAM
"Halijah Travels, kita sebenarnya sudah berkecimpung dalam urusan haji-umrah ini sudah lebih daripada 34 tahun. Jadi bagi saya, ini satu penghargaan yang baik. Kita sengaja dapatkan rumah kedai di Kampong Gelam itu kerana ia satu tempat tradisional Singapura, dan ia dalam kawasan ikon Singapura yang penting - dekat dengan Taman Warisan dan juga Masjid Sultan.
"Jadi kalau kita tengok kawasan Bussorah Street itu sebenarnya asal tempat syarikat Sheikh Haji waktu itu. Jadi, kita sengaja berada di situ demi untuk melestarikan, menyambung tali arus perniagaan haji ini. Rumah kedai kita juga memiliki ciri-ciri kemelayuan dan selari dengan kawasan tradisional Kampong Gelam," luah Pengurus Besar, Halijah Travels Pte Ltd, Encik Haffidz Abdul Hamid.
Dengan pelbagai khidmat sokongan bagi membantu perniagaan warisan mengekalkan kerelevanan dan daya mampan masing-masing, kumpulan pertama peniaga-peniaga warisan SG ini juga terangsang melakar strategi untuk berkembang maju.
Menurut Encik Haffidz, "Kita perlu ikut arus permodenan. Sekarang ni banyak guna pakai media sosial untuk mengiklankan perniagaan atau servis. Jadi kita perlulah mendampingi guna pakai aplikasi."
"Saya cuba kekal relevan dengan sentiasa mengemas kini perniagaan melalui media sosial. Kami juga cuba meningkatkan perniagaan dengan memperkenalkan anak syarikat bernama Surya. Kami berharap dengan bantuan NHB, kami dapat mempunyai perniagaan yang mampan untuk mengharungi masa yang sukar," kongsi Encik Iszahar dari Sabar Menanti pula.
Lembaga Warisan Negara akan menjalankan pemeriksaan berkala bagi memastikan perniagaan-perniagaan ini terus layak menerima manfaat di bawah skim tersebut.
Berikut antara perniagaan Melayu/Islam yang dikitiraf sebagai Perniagaan Warisan:
1. Sabar Menanti Nasi Padang
2. Halijah Travels Pte Ltd
3. Rumah Makan Minang
4. ANA Book Store
5. Basheer Graphic Books
6. Toko Aljunied
7. VSS Varusai Mohamed & Sons
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.