Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Restoran nasi kandar tertua di M'sia agih makanan ikut cara tradisional

Mengimbau warisan zaman dahulu, restoran nasi kandar tertua di Malaysia mengedarkan 250 bungkus nasi kandar percuma kepada golongan yang memerlukan dengan cara tradisional iaitu secara mengandar.

Anggaran Waktu Membaca:
Restoran nasi kandar tertua di M'sia agih makanan ikut cara tradisional

(Gambar: Agensi berita)

Diterbitkan : 14 Aug 2021 02:26PM Dikemas Kini : 14 Aug 2021 02:28PM

GEORGE TOWN: Mengimbau warisan zaman dahulu, restoran nasi kandar tertua di Malaysia mengedarkan 250 bungkus nasi kandar percuma kepada golongan yang memerlukan dengan cara tradisional iaitu secara mengandar.

Dengan membawa dua buah periuk di dalam bakul rotan yang digalas dengan batang kayu, Restoran Hameediyah berjaya membangkitkan nostalgia yang lama hilang di negara itu.

Pemilik Restoran Hameediyah, Ahamed Seeni Pakir Abdul Shukor, 66, berkata sumbangan makanan percuma itu bertujuan membantu golongan tidak berkemampuan untuk menikmati makanan ketika pandemik COVID-19 selain pada masa yang sama ingin menunjukkan kaedah mengandar kepada generasi muda.

“Dulu, nenek moyang menjual nasi menggunakan kandar sejak penubuhan restoran pada 1907… Sekarang ini anak muda tidak pernah lihat kaedah ini, jadi kita ingin menunjukkannya kepada orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas mengedarkan bungkusan makanan di sekitar bandar raya George Town pada Khamis (12 Ogos).

Menurut Ahamed Seeni yang merupakan generasi ketujuh perniagaan Hameediyah itu, kali terakhir budaya menjual nasi dengan cara mengandar adalah pada sekitar era 60-an dan kini budaya itu sudah tiada di Malaysia.

“Satu masa dahulu nasi kandar dibawa ke kawasan perumahan dan dijual di tepi-tepi jalan. Pelanggan boleh makan nasi bersama kari ikan, daging masak hitam, telur rebus dan bendi rebus dengan harga 20 hingga 30 sen sahaja.

“Pada mulanya golongan bawah dan pertengahan yang makan nasi kandar. Tapi lama kelamaan, semua golongan tanpa mengira kaum turut menikmati nasi kandar kerana tertarik dengan aromanya yang wangi,” katanya.

Ahamed Seeni berkata selain daripada golongan tidak berkemampuan, pihaknya turut mengedarkan makanan kepada orang ramai yang belum mendapat vaksinasi COVID-19 yang rindu menikmati hidangan di restoran itu.

Menurutnya, Restoran Hameediyah akan terus melaksanakan usaha murni dengan mengedarkan makanan percuma kepada golongan yang memerlukan bagi mengelakkan mana-mana individu atau keluarga tidur dalam keadaan berlapar.

Antara lauk pauk popular yang boleh didapati di restoran itu ialah kari ayam piru (ayam belanda), ayam masak ros, ayam kapitan dan kaki kambing.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan