Skip to main content

Gaya Hidup

Resort di Negeri Sembilan ini tawar pengalaman unik bermalam dalam jet peribadi!

Anggaran Waktu Membaca:
Resort di Negeri Sembilan ini tawar pengalaman unik bermalam dalam jet peribadi!

(Gambar: Twin Jets Resort/Facebook)

BROGA, Negeri Sembilan: Selamat datang ke Twin Jets Resort, tempat yang baru dibuka di Broga, Negeri Sembilan.

Demikian kata-kata aluan resort yang menawarkan penginapan unik hotel dalam kapal terbang pertama di Malaysia.

Bagi yang gemar melancong sambil ingin merasai suasana baru, memang patut datang bermalam di hotel dalam kapal terbang Boeing 727. Dua pesawat kargo diubah elok oleh pemilik resort Twin Jets, Peter Lee Pang Say sebagai penginapan lengkap dengan bilik "suite". 

Beliau mendapat ilham untuk mengubah suai pesawat menjadi hotel semasa sekatan perjalanan dilaksanakan di   Malaysia pada  2020, menjejas banyak perniagaan - termasuk perniagaannya akibat penularan COVID-19.

Namun, di mana dan bagaimana untuk membeli kapal terbang?

Encik Lee memulakan pencariannya dengan tekun  tanpa mengabaikan sebarang petunjuk. Dipendekkan cerita, beliau menghantar 10 lori untuk mengangkut dua jet Boeing 727 dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang ke sebidang tanah terbiarnya di Broga pada November tahun yang sama.

Perjalanan mengangkut pesawat sepanjang 40.5 meter itu mengambil masa dua malam dan hanya boleh dilakukan pada sebelah malam ketika jalan raya sepi.

Selepas menjalani kerja-kerja ubah elok, ditambah lagi tiga bulan apabila sekatan pergerakan dilaksanakan, Twin Jets Resort akhirnya bersedia untuk menyambut tetamu pertamanya pada bulan ini.

Lokasinya yang dikelilingi alam semulajadi menjanjikan ketenangan bagi pengunjung.

"Pada waktu pagi, anda boleh melihat kabus menyelubungi Bukit Broga," kata pengurus resort, Ivan Chong.

Seluruh kabin pesawat berhawa dingin dengan set karaoke, meja pool dan peti sejuk mini disediakan di ruang istirehat. 

Harga penginapan di resort itu sebanyak RM3,000 (S$961) untuk satu malam pada hujung minggu dan RM2,000 (S$640) pada hari-hari biasa.

Untuk Premium Jet pula berharga RM18,000 (S$5,768).

Setiap pesawat mempunyai dua bilik tidur yang boleh menampung enam hingga lapan orang.

Bagi mereka yang tidak mahu menginap dalam kapal terbang, terdapat juga jenis penginapan biasa di Twin Jets Resort.

Sumber : CNA/SU/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita