Skip to main content

Gaya Hidup

Rempah, herba tamat tarikh luput: buang atau masih boleh digunakan? ini jawapannya...

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Rempah kering seperti bunga lawang, kayu manis, lada hitam dan cengkih selalunya boleh disimpan lama. Malah ia boleh bertahan sehingga lebih setahun dan tidak mudah rosak jika ia disimpan elok dan tidak dicemari. Tapi jika disimpan terlalu lama, pasti akan hilang aroma rempahnya selain kurang rasa.

Rempah ratus merupakan bahan yang sering digunakan dalam masakan bagi pelbagai sajian di merata dunia. Kehadirannya bukan sahaja dapat membangkitkan rasa enak dalam masakan, tapi juga memberikan aroma yang harum dan menyelerakan. Kajian juga mendapati jika seseorang kerap makan makanan yang mengandungi rempah dan herba, secara amnya ia boleh menyumbang kepada kesihatan yang baik.

Ada kalanya rempah yang dibeli tidak habis digunakan untuk satu tempoh yang lama. Lebih-lebih lagi bagi yang jarang masak di rumah. Justeru apabila rempah ini tamat tempoh bolehkah ia digunakan lagi dan bagaimana untuk mengetahui jika ia sudah rosak?
 
(Gambar hiasan: Unsplash)
Lazimnya herba dan rempah kering tidak mempunyai tarikh luput atau mudah ‘menjadi rosak.’ Selalunya bila rempah dilabelkan rosak, ia bermakna aromanya semakin pudar selain warnanya bertukar menjadi berlapuk. Namun rata-rata ia masih selamat untuk makan rempah atau herba kering yang sudah tamat tempoh, walaupun rasa dan aromanya tidak sekuat rempah yang baru dan segar.

JANGKA HAYAT REMPAH, HERBA

Selalunya rempah kering berserbuk seperti kunyit, halia, paprika, pelaga, jintan dan kari boleh bertahan lebih lama jika ia kurang terdedah pada cahaya, kelembapan dan udara. Begitu juga dengan biji ketumbar, biji jintan, bunga cengkiih, biji sawi, buah pala, kayu manis, bunga lawang serta cili kering.
 
(Gambar hiasan: Unsplash)
Herba kering yang lain seperti parsli, daun salam, thyme, rosemary dan pudina pula didapati mempunyai tempoh simpan yang lebih singkat jika dibandingkan dengan rempah ratus kering yang lain-lain.

Jika ingin membeli herba ketumbar untuk disimpan lama, belilah yang ditimbang dan belum dipaket. Herba ketumbar yang segar selalunya berwarna kuning dan tidak berbau hapak. Apabila ingin membelinya, elak dari membeli ketumbar yang sudah bertukar warna kerana ia boleh menjejas rasa sajian yang dimasak.

CARA SIMPAN REMPAH

Untuk memastikan rempah yang baru dibeli dapat bertahan lebih lama, terdapat beberapa cara untuk menyimpannya. Antaranya, elak rempah daripada terdedah kepada udara, haba, kelembapan dan cahaya. Simpan di tempat yang kering, sejuk dan gelap seperti di dalam laci atau kabinet dapur yang terletak jauh dari ketuhar atau pancaran mentari.

Selain itu pastikan untuk menyimpannya di dalam bekas kedap udara yang sesuai dan tidak poros atau mudah serap air. Anda juga boleh menggunakan bekas kaca atau seramik, ini merupakan pilihan yang terbaik kerana rempah boleh bertahan lebih lama dalam bekas jenis ini.
 
(Gambar hiasan: Unsplash)
Namun elak daripada menggunakan bekas plastik kerana ia tidak kedap udara dan boleh menyerap warna dan bau rempah yang berbeza. Ini lebih sukar untuk membersihkannya jika ingin menggunakan bekasnya semula.

Bagi rempah jenis serbuk, sebaik-baiknya anda simpan di dalam bekas kedap udara dan letakkan di bahagian beku jika tidak digunakan. Walaupun ruang ini merupakan tempat yang sejuk, ia tetap kering dan sesuai untuk menjadi tempat untuk simpan rempah yang sudah dikisar selain dalam bentuk serbuk.

KEMBALIKAN AROMA WANGI REMPAH

Walaupun rempah kering yang lama disimpan sudah pudar bau wanginya, ia masih lagi boleh digunakan dalam masakan jika ia masih baik. Untuk kembalikan bau wanginya, anda boleh sangai di atas api yang kecil.

Caranya dengan menggunakan kuali tanpa minyak, sangai ia lebih kurang dua hingga tiga minit sehingga rempah mula mengeluarkan aroma wangi. Ia bukan sahaja dapat mengekalkan aromanya, tapi juga membuatnya bertahan lebih lama.
 
(Gambar hiasan: Unsplash)
Tidak kira apa sahaja rempah kering yang ingin disangai, penting untuk menggunakan sudu yang bersih dan kering apabila ingin mengambil rempah. Jika tangan atau sudu basah, kelembapannya boleh membuatnya mudah dan cepat rosak, kemungkinan berkulat dan warnanya juga akan mula berubah.

Akhir sekali, sekiranya bumgkusan rempah sudah dibuka pastikan untuk menyimpannya di dalam bekas yang bersih dan letakkan di dalam peti ais. Jika simpan di luar, ia selalunya tidak tahan lama dan cepat hilang aroma wanginya!
 
(Gambar hiasan: Unsplash)
Apa pun, walaupun rempah sudah disimpan lama dan jarang digunakan, ia tetap masih baik asalkan ia tidak berkulat dan terlalu berbeza dari warna asalnya.
Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita