Remaja kodong kesemua jari, dua belah kaki selepas makan makanan sisa di AS
(Gambar: chonchit/iStock)
SINGAPURA: Kita lazim baca tentang kes keracunan makanan yang menyebabkan mangsa dimasukkan ke hospital. Namun, dalam satu kes luar biasa di Amerika Syarikat (AS), gara-gara makan makanan yang tercemar, seorang remaja 19 tahun hilang dua belah kaki dan kesemua jarinya.
Siapa sahaja yang pernah mengalami keracunan makanan pasti akan tahu ia bukan sakit biasa. Bukan sahaja perut anda rasa sakit, tubuh menjadi lemah dan anda akan kerap pergi ke tandas.
Dalam satu kes yang dilaporkan di jurnal The New England Journal Of Medicine (NEJM) pada Mac 2021, remaja AS itu mengalami sakit yang lebih teruk. Dia dikejarkan ke hospital setelah muntah-muntah, sakit perut, demam, tubuh terasa lemanh dan seram sejuk serta sesak nafas. Ia berlaku 20 jam selepas memakan mi dan sisa lauk ayam yang dibawa pulang oleh rakan sebilik dari sebuah restoran. Rakannya itu juga muntah dan rasa sakit tetapi tidak mengalami nasib yang sama.
Menurut laporan itu lagi, penafasan remaja tersebut bertambah laju di hospital dan paras oksigen dalam darahnya kekal rendah. Tekanan darahnya turut menjadi rendah dan doktor melihat bintik kemerah-merahan muncul di seluruh badan remaja itu. Ia kelihatan seperti lebam.
Doktor terpaksa menghantarnya ke hospital lain yang ada lebih banyak sumber selepas antibiotik tidak berjaya meredakan keadaan.
Keadaan mula stabil beberapa hari kemudian. Namun, doktor kemudian mendapati 'lebam' pada tubuhnya adalah darah beku yang disebabkan oleh pendarahan dalaman.
Darah beku itu juga menyekat bekalan oksigen ke tangan dan kaki remaja itu. Akibatnya, kaki dan jari remaja itu terpaksa dikodongkan.
APA YANG TERJADI?
Bagaimanakah dengan hanya memakan sisa makanan menyebabkan remaja itu hilang jari dan kakinya? Walaupun kelihatan seperti kes keracunan makanan yang teruk, Dr Brenda Mae Alferez Salada, seorang doktor kanan dalam bahagian penyakit berjangkit di Hospital Universiti Nasional, berkata ia bukan semudah itu.
Pertama sekali, rasa tegang leher dan ruam berdarah adalah tanda penyakit meningococcal yang disebabkan oleh bakteria, Neisseria meningitidis, kata Dr Salada.
Kedua, Neisseria meningitidis tidak disebabkan makanan, kata Dr Salada. Ia merebak "melalui sentuhan langsung dengan titisan bawaan udara" daripada orang yang terkena jangkitan atau pembawa penyakit.
Anda juga boleh dijangkiti melalui "sentuhan pada barang yang dicemari pembawa penyakit," kata Dr Salada.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat, 10 peratus orang yang sihat membawa bakteria itu di bahagian belakang hidung dan tekak mereka tanpa mereka jatuh sakit.
Pesakit yang pulih daripada jangkitan tersebut akan mengalami kesan sampingan. Kira-kira 10 hingga 20 peratus akan mengalami komplikasi jangka panjang seperti, masalah neurologi, hilang daya pendengaran atau kodong jari atau kaki, kata Dr Salada.
Kajian NEJM itu tidak menjelaskan bagaimana bakteria itu masuk ke dalam makanan remaja itu. Namun ia menarik perhatian rakan sebiliknya yang juga memakan sisa makanan itu hanya alami muntah-muntah.
Jadi mengapa rakan remaja itu tidak mengalami nasib yang serupa?
Jawapannya adalah status vaksinasi remaja tersebut.
Pesakit yang mengalami sakit teruk hanya menerima satu dos vaksin meningococcal dan tidak mendapatkan suntikan penggalak apabila dia mencapai usia 16 tahun, manakala rakan sebiliknya sudah lengkap divaksin.
BOLEHKAH ANDA TERJANGKIT?
Di Singapura, penyakit meningococcal hanya membentuk jumlah kes atau kelompok yang kecil, kata Dr Salada.
"Sejauh ini hanya sembilan kes dilaporkan pada 2018." Penyakit itu tambahnya berlaku di merata negara namun, lebih banyak dilaporkan di Afrika.
Namun puncanya bukan hanya lokasi. Berkumpul dalam jumlah yang besar semasa berada di luar negara akan menambah risiko anda dijangkiti penyakit meningococcal, contohnya tinggal di asrama sekolah di luar negara seperti Amerika Syarikat dan Eropah. Malah, vaksin meningococcal diwajibkan bagi mereka yang menunaikan ibadah haji atau umrah di Arab Saudi.
Vaksin meningococcal tidak termasuk dalam Program Imunisasi Kanak-kanak Nasional Singapura. Jadi, jika anda melancong ke negara yang berisiko, anda disyorkan untuk mendapatkan suntikan vaksin meningococcal, dua minggu sebelum berlepas. Suntikan penggalak pula diperlukan setiap tiga tahun.
BOLEHKAH ANDA TERJANGKIT MELALUI MAKANAN?
Dr Reuben Wong, pakar gastroenterologi atau pakar sistem penghadaman tubuh di Hospital Gleneagles berkata keracunan makanan biasa digunakan bagi jangkitan dalam usus dan satu "keadaan biasa" yang disebabkan oleh "makanan tercemar disebabkan virus atau bakteria yang menyebabkan gejala seperti muntah, cirit-birit, sakit perut dan demam."
Penyebab keracunan makanan yang lazim berlaku di Singapura ialah "E coli dan salmonella," kata Dr Wong. Jangkitan akibat Neisseria meningitidis pula "jarang berlaku", katanya.
Namun, anda masih harus berhati-hati apabila memakan makanan sisa. "Pastikan makanan itu tidak tercemar sebelum anda menyimpannya untuk dimakan kemudian," kata Dr Wong.
"Sebagai contoh, roti yang sudah dimamah atau dicelup ke dalam sup yang sudah menyentuh mulut dan air liur seseorang, tercemar dengan bakteria mikroflora dan tidak harus disimpan. Jika jumlah makanan itu besar, anda boleh mencedok atau asingkan bahagian untuk disimpan menggunakan sudu hidangan dahulu sebelum makan.
Dr Wong juga mengingatkan bahawa makanan yang mengandungi bahan tenusu seperti susu, keju, krim dan rebusan stok akan lebih terdedah kepada pertumbuhan bakteria.
"Sisa makanan yang tidak tercemar hendaklah dimasukkan ke dalam peti ais dan dimakan dalam masa 24 jam. Elak daripada menyimpan sisa makanan yang berlebihan,” kata Dr Wong.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.