Skip to main content

Gaya Hidup

Remaja berisiko terdedah kepada lebih banyak kandungan 'gangguan makanan' di Instagram, menurut kajian dalaman Meta

Para penyelidik di Meta mendapati bahawa remaja yang melaporkan kerap berasa tidak selesa dengan keadaan badan mereka selepas menggunakan Instagram terdedah kepada lebih banyak “kandungan berkaitan gangguan pemakanan” berbanding remaja lain yang tidak melaporkan perkara tersebut, menurut dokumen dalaman yang dilihat oleh Reuters.

Anggaran Waktu Membaca:
Remaja berisiko terdedah kepada lebih banyak kandungan 'gangguan makanan' di Instagram, menurut kajian dalaman Meta

Remaja bergambar sambil memegang telefon bijak di hadapan logo Instagram dalam ilustrasi yang dirakam pada 11 September 2025. (Gambar Fail: REUTERS/Dado Ruvic)

Diterbitkan : 20 Oct 2025 11:20PM
NEW YORK: Para penyelidik di Meta mendapati bahawa remaja yang melaporkan kerap berasa tidak selesa dengan keadaan badan mereka selepas menggunakan Instagram terdedah kepada lebih banyak “kandungan berkaitan gangguan pemakanan” berbanding remaja lain yang tidak melaporkan perkara tersebut, menurut dokumen dalaman yang dilihat oleh Reuters.

Kandungan-kandungan yang ditunjukkan kepada para pengguna tersebut menampilkan “paparan jelas” bagi bahagian dada, punggung atau paha, “penilaian terbuka" terhadap bentuk badan serta “kandungan berkaitan tabiat pemakanan tidak sihat dan imej badan yang negatif.”

Walaupun kandungan sedemikian tidak diharamkan di Instagram, para penyelidik Meta menyatakan ibu bapa, remaja dan pakar luar berpendapat bahawa ia berpotensi memudaratkan para pengguna muda.

Meta meninjau seramai 1,149 remaja sepanjang tahun akademik 2023–2024 untuk menilai sejauh mana mereka berasa tidak selesa dengan keadaan badan mereka selepas menggunakan Instagram. Mereka kemudian menjalankan analisis terhadap kandungan yang dilihat para remaja tersebut bagi tempoh tiga bulan.

Kajian itu mendapati bahawa bagi 223 remaja yang sering berasa tidak puas hati terhadap keadaan badan mereka, kandungan berkaitan gangguan pemakanan membentuk 10.5 peratus daripada keseluruhan kandungan yang dilihat mereka di platform itu. Bagi remaja lain dalam kajian tersebut, kandungan seumpama itu hanya mewakili 3.3 peratus daripada apa yang mereka lihat.

“Remaja yang melaporkan kerap berasa tidak puas hati terhadap tubuh selepas melihat catatan di Instagram … melihat kira-kira tiga kali lebih banyak kandungan yang memberi tumpuan kepada tubuh atau berkaitan gangguan pemakanan berbanding remaja lain,” tulis para penyelidik dalam ringkasan laporan yang dilihat secara eksklusif oleh Reuters.

Selain terdedah kepada lebih banyak kandungan sedemikian, para penyelidik turut mendapati bahawa remaja yang berasa paling negatif tentang diri mereka juga melihat lebih banyak kandungan provokatif secara umumnya, termasuk kandungan bertema “dewasa,” “tingkah laku berisiko,” “kekejaman” dan “penderitaan”. Secara keseluruhan, kandungan sedemikian membentuk 27 peratus daripada apa yang dilihat oleh kumpulan remaja tersebut, berbanding 13.6 peratus bagi rakan sebaya mereka yang tidak melaporkan perasaan negatif.

PARA PENYELIDIK META SUARAKAN KEBIMBANGAN

Para penyelidik menegaskan bahawa dapatan mereka tidak membuktikan bahawa Instagram menyebabkan pengguna berasa lebih teruk tentang tubuh mereka.

“Tidak mungkin untuk menentukan arah sebab dan akibat bagi dapatan ini,” tulis mereka, sambil menyatakan kemungkinan bahawa remaja yang sudah berasa tidak puas hati terhadap diri mereka mungkin mencari kandungan sedemikian secara aktif.

Kajian Instagram berkenaan, yang belum pernah dilaporkan sebelum ini, menunjukkan bahawa Instagram mendedahkan remaja yang kerap "melaporkan berasa tidak puas hati dengan tubuh mereka" kepada kandungan yang dianggap sebagai perlu dihadkan oleh penasihat Meta sendiri.

Dalam satu kenyataan, jurucakap Meta, Andy Stone, berkata dokumen yang disemak Reuters menunjukkan komitmen syarikat itu untuk memahami dan menambah baik produknya.

“Penyelidikan ini membuktikan bahawa kami terus komited untuk memahami pengalaman remaja dan menggunakan dapatan itu bagi membina platform yang lebih selamat dan menyokong golongan muda,” kata Encik Stone, sambil merujuk kepada pengumuman Meta baru-baru ini bahawa ia akan menyesuaikan kandungan untuk pengguna bawah umur mengikut piawaian filem PG-13.

Dalam kajian tersebut, Meta mengakui bahawa alat saringan sedia ada gagal mengesan 98.5 peratus kandungan "sensitif" yang mungkin tidak sesuai untuk remaja.

Dapatan itu “tidak semestinya mengejutkan,” tulis para penyelidik, kerana Meta baru sahaja mula membangunkan algoritma khusus untuk mengesan kandungan yang mungkin berbahaya, seperti yang dikaji.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita