Skip to main content

Gaya Hidup

Raya nak dekat, duit raya sudah siap?

Anggaran Waktu Membaca:
Raya nak dekat, duit raya sudah siap?

Gambar hiasan: Unsplash

SINGAPURA: Begitu pantas Ramadan berlalu, hujung minggu ini ramai yang sedang sibuk membuat pelbagai persiapan terakhir menjelang 1 Syawal pada hari Selasa nanti.

Selain mengemas rumah, membeli pakaian baru, membuat kuih dan menyediakan bahan lauk pauk yang ingin dimasak, jangan lupa juga untuk siapkan duit raya.

Elak pada saat-saat akhir baru kelam kabut ingin tukar duit dan beli sampulnya. Walaupun pemberian duit raya bukanlah satu kemestian, amalan ini ternyata sudah menjadi satu tradisi semasa sambutan lebaran.

Jika sudah memasang niat untuk memberi duit pada musim Raya nanti, pastikan ia dilaksanakan tanpa membebankan diri sendiri. Yang penting, berilah jumlah yang realistik mengikut kemampuan masing-masing.

Dalam melalui arus pemodenan, pemberian duit raya juga berevolusi dari segi jumlahnya. Berbeza dari sedekad yang lalu, semakin maju kehidupan masyarakat jumlah duit raya yang diberikan juga semakin bertambah.

Bergantung pada kemampuan setiap individu, duit raya bukan sahaja diberikan kepada golongan kanak-kanak, tapi juga kepada ibu, bapa serta saudara mara, pakcik, makcik, datuk dan nenek dan juga golongan yang memerlukan.

Mengikut trend masa kini, ada juga yang lebih senang untuk memberi duit raya secara dalam talian atau online. Ini boleh dilakukan melalui aplikasi seperti PayLah atau PayNow dan juga pemindahan ke akaun jika berada di luar negara dan sebagainya.
Related article image
Gambar hiasan: Unsplash
Dengan hanya satu klik, anda boleh mengirimkan duit raya kepada sesiapa dan di mana sahaja mereka berada. Cara ini pastinya lebih canggih, mudah dan tidak memerlukan untuk menukar wang dan beli sampulnya. Terpulanglah pada masing-masing.

Apa juga cara untuk memberi duit raya, sebagai pemberi, penting untuk membuat persiapan awal untuk ketepikan bajet agar ia tidak membebankan atau menjejas perbelanjaan seharian anda.

Tidak kira jumlah yang diberikan, amalan bersedekah ini pastinya dapat membuka lagi pintu rezeki anda dan mengeratkan silahturahim antasa satu sama lain.

Bagi yang belum lagi sempat siapkan sampul raya di saat ini, tunggu bila lagi? Untuk memudahkan anda, terutama mereka yang pertama kali baru ingin memberi duit raya, tip-tip berikut dapat membantu.

4 TIP SIAPKAN DUIT RAYA

Bajet


Penting untuk menetapkan bajet duit raya yang mampu dikeluarkan. Tidak kira jumlah yang ingin diberi, yang penting ia mengikut kemampuan diri. Anda tidak perlu terikut-ikut orang lain untuk jumlah yang ingin diberikan. Setiap orang mempunyai bajet yang berbeza-beza. Semuanya terpulang pada kemampuan diri sendiri. Usah memaksa diri untuk meletakkan bajet yang luar dari kemampuan anda.

Senaraikan penerimanya. Cara ini lebih berkesan bagi yang mempunyai keluarga yang besar dan berangkai. Senaraikan setiap ketegori individu yang ingin diberi duit raya. Ia pasti akan memudahkan anda untuk membuat perkiraan.
Related article image
Gambar hiasan: Unsplash

Contohnya, kategori A untuk ibu, bapa, pakcik, makcik, datuk, nenek dan anak saudara. Sementara kategori B pula untuk kenalan atau saudara mara yang jauh. Jika mempunyai bajet yang lebih, bolehlah juga berikan duit raya kepada anak-anak yang tidak dikenali semasa kunjung mengunjung.

Nilai wang

Elak tukar duit pada saat-saat akhir. Anda pasti akan rasa cemas jika tidak dapat jumlah yang diperlukan. Apabila menukar duit raya, tukarlah nilai yang kecil kerana ia dapat memudahkan proses pemberian duit raya nanti. Contohnya anda boleh lebihkan jumlah $5 dan $10.

Sampul corak berbeza

Elak daripada membeli sampul wang yang bercorak sama. Jika duit sudah dimasukkan ke dalam sampul raya yang sama, ia boleh membuat anda keliru sampul mana yang ada isi $2, $5, $10 dan sebagainya. Sebaliknya asingkan jumlah mengikut warna dan corak sampul raya yang berbeza-beza. Ia memudahkan dan tidak akan membuat anda keliru atau tersalah bagi sampul.

Apa pun jumlah, pilihan dan cara anda untuk memberi duit raya, yang penting ikhlas dan mengikut kemampuan. Sebagai penerimanya pula, haruslah bersyukur dan berterima kasih dengan setiap pemberian!

Akhir kata, Salam Aidilfitri!

Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita