Skip to main content

Gaya Hidup

Rasa lesu mungkin dek hilang jisim otot, bukan proses penuaan semata-mata

Anggaran Waktu Membaca:
Rasa lesu mungkin dek hilang jisim otot, bukan proses penuaan semata-mata

Gambar: Pexels

Diterbitkan : 18 May 2022 09:59PM Dikemas Kini : 18 May 2022 10:29PM

KUALA LUMPUR: Tubuh manusia terdiri daripada lebih 600 otot dengan masing-masing memiliki fungsi tertentu - mengepam darah ke seluruh badan, memanaskan tubuh dan membantu individu mengangkat barang yang berat.

Namun, apabila menginjak usia 30-an tahun, tubuh badan mula kehilangan jisim otot secara beransur-ansur dalam proses yang dikenali sebagai sarcopenia, lapor BH Online. 

Hakikatnya, sungguhpun mereka yang cakna kesihatan diri kadangkala alpa akan soal senaman dan pemakanan ketika sibuk memenuhi tuntutan kehidupan.

Justeru, seseorang itu seringkali mudah menyalahkan proses penuaan apabila berasa lebih lesu dan kurang bertenaga.

Tahukah anda, kehilangan otot berlaku secara beransur-ansur dan senyap? Akibatnya, kita sedar proses ini sedang berlaku hanya apabila tubuh mengalami masalah kesihatan seperti dimasukkan ke hospital atau jatuh sakit.

KEHILANGAN JISIM OTOT

Mengulas lanjut mengenainya, Pengarah Perubatan (Nutrisi) di Abbott Malaysia, Dr Nina Mazera Mohd Said, berkata seseorang seharusnya jangan cemas kerana kehilangan jisim otot dan kekuatan bukannya sesuatu yang tidak dapat dielakkan tatkala mereka menghayati proses penuaan.

"Penjagaan kesihatan otot antara langkah terpenting yang boleh kita ambil dan ia tidak bermaksud anda wajib meluangkan berjam-jam di gimnasium.

"Sebenarnya ia cukup mudah daripada apa yang kita sangkakan. Disebabkan protein ialah 'sahabat rapat' otot, kita perlu memulakan dengan menganalisa cara kita mengambil protein terlebih dahulu," kongsi beliau seperti ditukil BH Online. 

WAJIB AMBIL PROTEIN

Beliau berkata, orang dewasa disarankan untuk mengambil sekitar 30 gram (g) protein dalam setiap hidangan.

Memandangkan kekuatan dan fungsi otot adalah saling berkait rapat, pengambilan protein yang tidak mencukupi dalam pemakanan boleh menyebabkan badan kita lebih cepat letih dan seterusnya, menjejaskan motivasi untuk menjalani gaya hidup sihat.

"Meskipun pengetahuan ini akan memotivasikan kita untuk memenuhi pinggan dengan ayam, telur, kekacang serta sumber berprotein tinggi yang lain, kita harus sedar bukan semua protein dicipta sama.

"Sebaliknya, peningkatan pengambilan sumber protein semata-mata adalah sia-sia jika anda tidak dapat memenuhi keperluan protein harian tubuh yang bersesuaian.

"Tambahan pula, disebabkan proses penuaan, mereka yang berusia harus meningkatkan pengambilan makanan kaya protein berbanding dengan orang yang lebih muda sambil mengimbangkan pengambilan protein dalam setiap hidangan utama bagi memaksimumkan manfaat protein," kata beliau kepada BH Online.

JANGAN ABAIKAN FAKTOR LAIN 

Dr Nina Mazera menambah selain protein, nutrisi yang baik adalah kunci penuaan yang sihat. 

Bagi mendapatkan nutrien yang mencukupi untuk memenuhi keperluan badan, individu seharusnya mengamalkan diet yang seimbang dan pelbagai dengan pilihan makanan yang kaya nutrien.

Contohnya, pengambilan vitamin D yang mencukupi dapat membantu mengurangkan risiko jatuh dan patah tulang dalam kalangan orang dewasa.

Justeru, apabila anda berjalan pada waktu pagi, jangan takut untuk berjemur di bawah matahari. 

Beliau berkata selain nutrien yang baik, senaman juga sama penting untuk membina dan mengekalkan kekuatan otot seiring peningkatan usia.

"Pelan senaman yang ideal seharusnya merangkumi aerobik seperti berjalan kaki dan latihan rintangan atau kekuatan.

"Harus disedari, tindakan sekecil berjalan-jalan dan membawa beg beli-belah juga bermanfaat kepada tubuh. Sudah tentulah tubuh anda memerlukan lebih protein untuk membina dan membaiki otot seiring amalan gaya hidup yang aktif," tekannya. 

Beliau menegaskan memulakan persediaan lebih awal adalah penting demi membina hari esok yang sihat.

"Walaupun anda fikir ia mungkin tidak penting buat masa sekarang, ia bakal merasai keperluannya suatu hari nanti.

"Berusahalah untuk mencapai dan mengekalkan prestasi badan dan kesihatan yang terbaik seawal mungkin dan bukannya apabila tubuh mengeluarkan amaran untuk mula mengamalkan diet yang betul dan bersenam," nasihat Dr Nina.

Sumber : Agensi berita/FA/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita