Skip to main content

Gaya Hidup

Rangkaian nasi padang Hjh Maimunah perkenal label harga berwarna

Hidangan di rangkaian nasi padang popular Hjh Maimunah bakal dilabel dengan tanda harga berwarna tidak lama lagi.

Anggaran Waktu Membaca:
Rangkaian nasi padang Hjh Maimunah perkenal label harga berwarna

Cawangan mini Hjh Maimunah di Parkway Parade. (Gambar: Facebook/Hjh Maimunah)

Diterbitkan : 24 Jul 2025 11:56PM Dikemas Kini : 25 Jul 2025 07:50AM
SINGAPURA: Hidangan di rangkaian nasi padang popular Hjh Maimunah bakal dilabel dengan tanda harga berwarna tidak lama lagi.

Label berwarna itu akan diperkenalkan di kesemua sembilan cawangan mini mereka, bermula dengan cawangan di Parkway Parade, menurut kenyataan media Persatuan Pengguna Singapura (CASE) pada Khamis (24 Jul).

Makanan istimewa seperti tahu telur, ayam bakar dan telur ikan paes akan mempunyai tag berwarna kelabu, manakala hidangan lain akan dikategorikan mengikut julat harga untuk memudahkan pengguna membuat pilihan, tambah CASE.

Langkah tersebut dilaksanakan susulan kerjasama CASE dengan medan selera Koufu sebelum ini bagi memperkenalkan label serupa di gerai-gerai nasi campur mereka.

Menurut CASE, maklum balas daripada pengguna terhadap inisiatif tersebut adalah positif, dan ia turut menerima permintaan agar inisiatif itu diperluaskan ke gerai-gerai nasi padang.

Presiden CASE, Melvin Yong, berkata beliau “gembira” dengan kerjasama antara persatuan itu dengan Hjh Maimunah bagi memperluaskan pelaksanaan inisiatif berkenaan.

"Ia akan memaparkan harga secara lebih telus dan membantu para pelanggan membuat pilihan termaklum sebelum membuat pesanan,” katanya.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Hjh Maimunah kerana menjadi peneraju inisiatif ini, dan saya menggalakkan semua pemilik gerai untuk menggunakan label harga yang jelas bagi setiap hidangan.”

Pengarah urusan Hjh Maimunah, Mastura Didih Ibrahim, berkata: “Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan CASE dalam inisiatif penting ini. Ketelusan harga bukan sahaja mencerminkan amalan perniagaan yang baik. Malah, ia menunjukkan kepercayaan dan rasa hormat kami terhadap para pelanggan kami.”

“Kami percaya kerjasama ini akan menjadi contoh positif dalam industri (makanan dan minuman) serta memberi manfaat kepada masyarakat secara meluas.”

Hjh Maimunah kini mempunyai dua buah restoran – termasuk restoran asal di Jalan Pisang yang diiktiraf dalam senarai Bib Gourmand Michelin, serta satu lagi di Joo Chiat Road – selain sembilan cawangan mini yang kebanyakannya terletak di medan selera dalam pusat beli-belah.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita