Rangkaian audio Mediacorp capai rekod tertinggi dengan 3.94 juta pendengar mingguan
Rangkaian audio Mediacorp mencatat pencapaian baharu dengan capaian mingguan tertinggi setakat ini iaitu 3.94 juta pendengar.
Kampus Mediacorp. (Gambar: Mediacorp)
Rangkaian media itu, yang menguasai 84 peratus bahagian pasaran, menaungi lapan stesen radio paling popular di Singapura dari segi capaian: Yes 933, Love 972, Class 95, Capital 958, Warna 942, 987, Gold 905 dan Oli 968.
Dapatan tersebut berdasarkan Tinjauan Radio Nielsen terkini yang dijalankan dari Mac hingga Mei 2025, yang menjejak jumlah pendengar radio melalui kaedah pencatatan harian oleh 2,021 orang dewasa berusia 15 tahun ke atas. Hasilnya ditimbang mengikut umur, jantina dan kaum untuk mewakili penduduk Singapura secara menyeluruh.
Masa mendengar radio secara mingguan turut meningkat, dengan purata 10.3 jam seminggu (peningkatan 0.3 jam). Warna 942 kini mencatat masa mendengar tertinggi di pasaran iaitu 13.7 jam seminggu (naik 3.6 jam), diikuti Capital 958 dengan 8.4 jam dan Love 972 dengan 7.7 jam.
Selain siaran audio, penglibatan di media sosial juga terus meningkat merentasi platform.
Bagi stesen radio yang menyasarkan pendengar matang – termasuk Love 972, Class 95, Gold 905, Warna 942 dan Oli 968 – penglibatan di Facebook dan Instagram (termasuk tanda suka, komen dan perkongsian) meningkat sebanyak 22.4 peratus berbanding tahun lalu.
Sementara itu, jenama mesra belia seperti 987, Yes 933 dan Ria 897 mencatat lonjakan 97.5 peratus dari segi penglibatan di TikTok. Pertumbuhan pesat itu didorong oleh rangkaian kandungan dinamik seperti siaran langsung interaktif, mikrodrama dan siri kandungan pendek yang dihasilkan sendiri oleh personaliti-personaliti radio.
“Mencapai tahap tertinggi ini merupakan satu pencapaian yang cukup bermakna dan mengukuhkan lagi peranan kami sebagai teman setia dalam kehidupan harian rakyat Singapura. Dapatan ini bukan hanya tentang skala, tetapi juga menunjukkan betapa mesranya hubungan yang kami jalin dengan para pendengar, menerusi kandungan yang menyentuh hati dan personaliti yang seolah-olah rakan sendiri,” kata Angeline Poh, ketua pegawai pembangunan pelanggan dan korporat Mediacorp.
“Seiring dengan perubahan tabiat pengguna, kami akan terus berusaha mengekalkan kehadiran kami secara konsisten, dengan penyampaian yang mesra dan hubungan yang lancar, tidak kira sama ada menerusi radio, penstriman digital atau media sosial; di mana sahaja orang ramai mengikuti siaran kami."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.