Skip to main content

Gaya Hidup

Ralph Lauren dituduh ciplak idea rekaan Zang Toi, pereka fesyen tersohor M'sia

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Isu meniru sebahagian atau keseluruhan karya orang lain bukan suatu yang baru dan ia boleh berlaku walaupun di pentas antarabangsa.

Kali ini, jenama fesyen terkemuka Ralph Lauren turut terpalit dengan kontroversi tersebut selepas didakwa meniru rekaan pereka fesyen Malaysia, Zang Toi, lapor Astro AWANI.

Insiden itu dipercayai berlaku selepas penyanyi Hollywood, Alicia Keys menggayakan busana memaparkan rekaan bangunan pencakar langit New York pada acara gemerlapan Met Gala baru-baru ini.

Tindakan tersebut mencetuskan perdebatan dalam kalangan warganet yang rata-rata tidak berpuas hati dengan tindakan Ralph Lauren merobek idea pereka fesyen ikonik negara.

Difahamkan, Zang Toi, 60 tahun, yang berasal dari Kelantan membuat penampilan sulung jubah berona hitam-putih dengan rekaan bandar New York pada koleksi Musim Bunga pada 2009.

Persalinan tersebut kemudian digayakan oleh model Malaysia, Tan Mang Ling pada Anugerah Fesyen CFDA 2010, menurut Astro AWANI.

Mengulas mengenai perkara itu, Zang Toi seperti dilapor The Post menyifatkan idea menghasilkan jubah tersebut diilhamkan atas rasa cintanya terhadap kota angkatnya, New York City.

"Saya memutuskan untuk mengeluarkan jubah ikonik, New York daripada koleksi simpanan - keindahan abadi yang tidak pernah ketinggalan zaman bagi memberi penghormatan kepada bandar kegemaran saya pada pertunjukan fesyen 'New York, New York 2020," katanya memetik laporan tersebut.

Sementara itu, Zang Toi yang turut mereka pakaian untuk bintang dan selebriti Hollywood seperti Farrah Fawcett, menzahirkan rasa gembira kerana rekaannya kini mendapat perhatian orang ramai.

Bagaimanapun, beliau mengakui ia bukan insiden pertama di mana hasil kerjayanya ditiru oleh pereka lain.

“Untuk satu jenama besar seperti Ralph Lauren meniru rekaan seorang pereka dari sebuah pekan kecil di Malaysia adalah satu bentuk sanjungan. Ia adalah bukti jika kamu bagus, orang lain akan meniru anda,” kata Zang Toi seperti dilaporkan Astro AWANI memetik The Star.

Sumber : Agensi berita/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita