'Rainforest Wild Adventure' dibuka sepenuhnya kepada orang ramai
Para pencinta haiwan dan pengembaraan kini boleh mengakses sepenuhnya kesemua lima taman di bawah pengendalian Mandai Wildlife Reserve.
Lemur ekor bercincin merupakan antara haiwan liar yang boleh dilihat para pelawat di 'Rainforest Wild Adventure'. (Gambar: Mediacorp)
Taman kelima dan terakhir, 'Rainforest Wild Adventure' membuka pintu gerbang ke bahagian timurnya kepada orang ramai pada Jumaat (29 Mei).
Ini sekali gus menandakan lengkapnya pelan peremajaan kawasan itu sepanjang sedekad yang lalu.
Taman terbaru itu juga merupakan yang pertama di Asia Tenggara untuk menampilkan spesies okapi yang terancam.
Ia seiring harapan Mandai Wildlife Group untuk membiak lebih banyak spesies terancam.
"Sebagai contoh, katakan ada sebarang ubat atau rawatan yang sedang berjalan, apakah jenis rawatan yang diberikan kepada haiwan itu.
"Kadang kala, apabila kita menerima haiwan masih kecil, pasukan kami akan menjaganya dengan baik, memastikan ia membesar dan bersedia untuk dipulihkan," kata Kurator, Jagaan Haiwan, Mandai Wildlife Group, Cecilia Tang.
Beberapa haiwan lain termasuk anjing Afrika, memerang berkuku kecil Asia,
dan lemur ekor bercincin juga boleh dilihat di taman haiwan tersebut.
Para pelawat bukan sahaja dapat melihat hidupan liar, mereka juga berpeluang mengalami pengembaraan.
Antara aktiviti pengembaraan yang boleh dinikmati termasuk keseronokan hayunan setinggi lapan meter dan pengalaman meredah kanopi.
Mandai Wildlife Reserve menempatkan lima taman kehidupan liar - Taman Haiwan Singapura, River Wonders, Night Safari, Bird Paradise dan Rainforest Wild Adventure.
Usaha-usaha tersebut dijangka dapat membantu Singapura mencapai sasaran kutipan S$47 bilion dalam bentuk perbelanjaan pelancongan menjelang 2040.
"Singapura, sebagai sebuah negara bandar boleh mencari cara pembangunan yang mampan di mana alam semula jadi dan aktiviti ekonomi kita boleh berjalan seiring, serta menumpukan usaha kita untuk mengejar sains dan kecemerlangan di bidang pemuliharaan alam semula jadi," kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Grace Fu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.