Skip to main content

Gaya Hidup

Rahsia rambut sihat dan kulit bersih dengan penggunaan santan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dihasilkan dari perahan isi kelapa berwarna putih. Tahukah anda santan bukan sahaja digunakan dalam masakan tapi juga untuk kecantikan dari hujung rambut ke hujung kaki?

Zaman dahulu, ramai wanita yang menjaga kulit secara alami dengan menggunakan santan kerana mendapati ia sangat berkesan. Lantas, tidak hairanlah jika santan merupakan antara bahan asli yang mampu untuk menghasilkan pelbagai produk kecantikan.

Santan diperkaya dengan pelbagai khasiat seperti vitamin B1, B3, B5, B6, vitamin C dan E serta zat besi, selenium, kalsium, fosforus dan magnesium. Kandungan khasiat-khasiat ini dipercayai dapat memberi kesan terbaik untuk kecantikan diri secara semulajadi dan sekaligus dapat memanfaatkan sesiapa sahaja yang mengamalkannya.

Apa yang lebih menarik, anda tidak perlu banyak belanja untuk mencuba rawatan kecantikan menggunakan santan. Dengan melakukan rawatan DIY ini secara rutin, anda pasti dapat melihat keberkesanannya dari masa ke semasa. Cubalah…!

(Gambar: Unsplash) 


11 KHASIAT SANTAN UNTUK KECANTIKAN

Rambut tumbuh kuat


Kandungan lemak dan vitamin yang ada dalam santan dapat merangsang pertumbuhan selain meningkatkan pertumbuhan rambut dan folikel, membuatnya cepat tumbuh lebih panjang dan lebat. Pada masa yang sama, ia juga membantu untuk memperkuat akar rambut supaya tidak mudah putus.

(Gambar: Pexels) 


Elak rambut kering

Santan mengandungi protein penting yang diperlukan oleh rambut. Kombinasi santan bersama minyak kelapa dan madu sangat mujarab untuk rambut kering. Campuran ini dapat memberi kelembapan yang diperlukan oleh rambut yang kering dan menjadi rawatan utama agar mengekalkan rambut panjang terus sihat.

Kelembapan rambut

Santan mengandungi pelbagai lemak baik seperti omega 3 dan omega 6. Lemak jenis ini sangat bermanfaat sebagai pelembap rambut dan kulit kepala. Kulit kepala dan rambut yang sihat akibat kelembapan dapat mencegah dan mengatasi masalah kelemumur selain rambut kering. Caranya mudah, titiskan santan kelapa dan urut lembut kulit kepala perlahan-lahan dan lihat keberkesanannya dari masa ke semasa.

''"
(Gambar:Pexels)


Khasiat rambut

Penggunaan santan di kulit kepala dapat memberi kesan dingin pada kulit kepala. Kandungan lemak dan vitamin yang ada dalam santan membantu untuk meningkatkan pertumbuhan rambut dan folikel agar rambut cepat panjang serta lebat. Kedua-dua kandungan ini diperlukan oleh kulit kepala untuk memperkuat akar rambut supaya tidak mudah putus.

Elak botak

Ambil santan dan urut lembut pada rambut dan kulit kepala untuk meningkatkan peredaran darah ke kulit kepala. Cara ini membantu untuk membuka folikel yang disekat dan menyuburkan rambut. Selain itu, santan juga merupakan penyelesaian terbaik untuk mereka yang mengalami masalah keguguran rambut akibat kelemumur.

Rambut kusut

Selepas syampu ada kalanya rambut berada dalam keadaan kusut dan sukar untuk disikat. Ini akan membuat rambut mudah putus atau gugur jika disikat dalam keadaan kusut. Penggunaan santan didapati sangat berguna untuk merawat rambut kusut. Caranya mudah, sapukan sedikit santan ketika menyikat rambut pada bahagian yang kusut. Sikat dengan lembut sehingga rambut terurai rapi.

(Gambar: Pexels)



Perapi semulajadi

Santan diperkaya dengan karbohidrat, mineral dan vitamin yang boleh membantu memperkuat rambut agar tidak mudah putus. Pada masa yang sama, kandungan antioksida, antivirus dan antibakteria yang ada pada santan juga dapat bantu membebaskan rambut daripada kulat, virus atau bakteria yang menjadi punca gangguan rambut seperti rambut bercabang, kering, gugur dan kutu.

Pelembap kulit

Santan adalah pelembap yang hebat dan ia memberi kelembapan pada kulit kering. Mudah untuk dilakukan rejim ini, campurkan kelopak mawar dan secawan santan kedalam air suam mandian dan gosok pada kulit selama 10 minit. Ia dikatakan dapat membantu untuk memulihkan kelembapan untuk kulit kering.

Pada masa yang sama, anda juga boleh terus sapu santan pada kulit dan biarkan selama 30 minit untuk diserap. Cara ini dapat membantu untuk menangani kekeringan dan menggalakkan kulit yang sihat dan berseri. Tetapi pastikan anda menggunakan santan segar buatan sendiri untuk rawatan ini

(Gambar: Pexels)


Tangani selaran matahari

Sapukan cecair santan sejuk pada kulit yang terjejas. Lemak dan minyak dalam susu ini dapat membantu mengurangkan kemerahan dan mengembalikan kelembapan pada kulit. Sapu dan biarkan semalaman untuk mengurangkan rasa pedih atau ruam akibat pendedahan kepada matahari.

Antipenuaan

Penggunaan santan dapat tingkatkan keanjalan kulit. Nutrien yang hadir dalam santan membantu untuk melewatkan proses penuaan kulit dan tubuh anda dengan mengekalkan keanjalan kulit dan pada masa yang sama menghalang kedutan dan kulit kendur.

(Gambar: Pexels)

Rawat kulit

Sifat pelembab yang ada pada santan membantu untuk melegakan masalah psoriasis, dermatitis dan ekzema. Asid lemak semulajadi yang ada dalam santan bantu untuk merawat kulit kering selain gatal-gatal dan sekaligus menghapuskan bakteria pada kulit.

Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita