Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

‘Qsuite’ tawaran terbaru Qatar Airways; pertama seumpamanya bagi industri penerbangan

Dengan lebih 60 juta penumpang melakukan persinggahan melalui Lapangan Terbang Changi setiap tahun, Singapura dengan pantas menjadi salah satu destinasi pemasaran strategik bagi industri penerbangan komersial.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dengan lebih 60 juta penumpang melakukan persinggahan melalui Lapangan Terbang Changi setiap tahun, Singapura dengan pantas menjadi salah satu destinasi pemasaran strategik bagi industri penerbangan komersial.

Maka itu, tidak hairanlah jika syarikat-syarikat penerbangan terkemuka seperti Qatar Airways berlumba-lumba untuk melancarkan produk terbaru mereka di sini. Ini termasuk, Qsuite, produk terbaru Qatar Airways, yang ditawarkan lebih awal daripada pasaran-pasaran lain.

Walaupun dikategorikan sebagai kelas bisnes, matlamat sebenar kabin Qsuite adalah untuk menawarkan pengalaman penerbangan yang sangat unik dan berbeza kepada para penumpang dan seakan-akan khidmat yang disediakan dalam kelas pertama.

BERITAmediacorp membawa anda meninjau-ninjau dengan lebih dekat konsep kabin yang serba canggih ini.

PERTAMA DALAM INDUSTRI: KATIL KELAMIN DALAM KELAS BISNES

Qsuite ditawarkan bagi penerbangan laluan Singapura sejak Oktober 2018.

Menjadi sasaran khidmat ini adalah para penumpang yang melakukan penerbangan atas urusan kerja atau bagi mereka yang gemar melancong bersama keluarga. Qsuite memperkenalkan konsep khas - iaitu ‘Quad’, atau ruang tempat duduk yang direka khas untuk empat orang.

Konfigurasi ini membolehkan para penumpang untuk berbincang secara privet antara satu sama lain dan keunikan aturan tempat duduk ini membolehkan tempat duduk bertukar menjadi katil kelamin atau double-bed.

Tempat duduk boleh bertukar menjadi katil kelamin. (Gambar: BERITAmediacorp)

“Dalam kabin Qsuite ini terdapat enam katil kelamin. Kami adalah syarikat penerbangan pertama yang menyediakan katil dalam kelas bisnes. Dan dengan konsep terbaru, ‘Quad’, tujuan kami ialah untuk memudahkan komunikasi antara para penumpang yang terbang bersama,” kata Justin Kestel, Pengurus Daerah (Singapura) Qatar Airways.

SAJIAN ‘PLATTER’ UNTUK DIJAMU BERSAMA

Selain khidmat ‘dine on demand’ atau ‘hidangan ikut permintaan’, Qsuite turut menawarkan pengalaman menjamu selera yang berlainan.

Dinamakan ‘sharing platter’ atau hidangan yang disajikan untuk dijamu bersama, ia membolehkan para penumpang untuk menjamu selera bersama rakan-rakan atau ahli keluarga di ruang tempat duduk ‘Quad’.

Hidangan makanan yang boleh dijamu bersama. (Gambar: BERITAmediacorp)

“Tawaran tambahan ini dikhaskan secara eksklusif bagi pesawat ini. Sajiannya juga istimewa. Ia menampilkan gabungan makanan pelbagai rasa dalam bentuk snek dan dihidangkan bersama sos-sos yang berasingan,” kata Aaron Miles Claxton, Naib Presiden Kanan, Khidmat Katering Dalam Pesawat Qatar Airways.

Yang menarik, makanan yang disajikan bagi para penumpang bagi semua penerbangan Qatar Airways adalah Halal. Dan bagi Qsuite pula, sumber inspirasi bagi hidangan yang disajikan adalah daripada pelbagai rasa dan rempah-ratus tempatan.

Buat masa ini, Qsuite ditawarkan kepada dua daripada tiga penerbangan harian Doha-Singapura bagi pesawat Airbus A350-1000.

Penerbangan ketiga dijangka menawarkan kabin tersebut pada April tahun depan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan