Putus haid tidak harus bebankan wanita, laluinya dalam diam

Gambar hiasan. (Gambar: rawpixel.com)
KUALA LUMPUR: Setiap wanita pasti melalui fasa putus haid yang memerlukan mereka membuat persiapan dari segi pengetahuan, mental dan fizikal berikutan tanda-tanda berakhirnya tahun reproduktif mereka.
Sesetengah wanita mampu menjalani situasi itu dengan baik dan sebilangannya tidak hingga menjejaskan emosi, lapor BH Online.
Selain bijak menangani situasi itu, orang di sekeliling khususnya suami perlu memberikan sokongan dengan memahami gejala dan simptom putus haid.
Sokongan pasangan lelaki mengatasi putus haid dengan cara efektif seperti membantu mengatasi rasa takut dan kebimbangan isteri, menjadi bukti kasih sayang serta penghargaan mereka.
Justeru, kajian literasi kesihatan putus haid dijalankan oleh Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) dengan sokongan Herbalmeds (dari BiO-LiFE) dan Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pada Julai hingga Ogos lalu dilakukan, menurut laporan BH Online itu lagi.
Kajian bertujuan mengukur tahap pengetahuan lelaki mengenai putus haid, corak tingkah laku, sokongan wanita berkaitan pilihan rawatan dan penjagaan kesihatan.
Berdasarkan kajian membabitkan 507 lelaki berumur 18 tahun ke atas itu, mendapati 70 hingga 72 peratus responden kurang faham asas mengenai putus haid dan simptomnya.
Malah, 33 peratus pula tidak tahu putus haid adalah sebahagian daripada proses penuaan wanita, sekali gus menunjukkan jurang kefahaman yang ketara.
Walaupun terdapat pelbagai pilihan rawatan untuk menyokong wanita melalui putus haid seperti rawatan hormon, suplemen herba, pengubahsuaian gaya hidup dan lain-lain, namun, hanya 21 peratus responden sedar wujudnya rawatan itu bagi meredakan simptom putus haid.
Kajian turut menunjukkan sebanyak 98 peratus responden setuju mereka akan cuba membantu wanita melalui putus haid supaya dapat hidup dengan sihat.
Lelaki jangan segan
Presiden NCWO, Prof Emerita Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, berkata jurang kesedaran untuk mereka mendapatkan bantuan dan nasihat adalah cabaran yang menghalang wanita mendapatkan sokongan.
"Oleh itu, wanita memilih untuk menderita dalam diam.
"Putus haid tidak harus menjadi pengalaman yang membebankan dalam hidup wanita dan harus melaluinya seorang diri.
"Justeru, penting ahli keluarga terutama suami atau pasangannya memahami simptom dan kesannya untuk bantu mereka melalui perubahan ini bersama," katanya.
Beliau berkata, pihaknya gembira hasil kajian ini menunjukkan lelaki tidak segan untuk memainkan peranan penting dalam advokasi pengurusan putus haid.
"Selain meningkatkan kesedaran terhadap putus haid, kami juga ingin menggalakkan lebih ramai lelaki lebih proaktif menunjukkan sokongan terhadap wanita yang sayangi sepanjang mengharungi cabaran putus haid," kata beliau.
Usia 45 hingga 55 tahun fasa putus haid
Beliau berkata, kajian seumpama itu juga dilihat penting bagi meningkatkan kesedaran, memperbaiki persepsi, stigma terhadap putus haid, selain memberikan maklumat untuk mengenali fasa putus haid, simptom, rawatan tersedia dan perubahan gaya hidup perlu diambil.
Ini juga membuka ruang lelaki memainkan peranan penting dan menyokong wanita sewaktu putus haid.
"Wanita mengalami putus haid di antara usia 45 hingga 55 tahun, namun pengalaman mereka ketika tahap kehidupan yang penting ini berbeza kerana putus haid bagi setiap wanita adalah unik," kata beliau.
Beliau yakin usaha meningkatkan kesedaran dengan menyokong pasangannya supaya dapat menangani isu itu, sekali gus mampu mencapai kualiti hidup lebih baik melalui perkongsian kisah sebenar, seperti dinukil daripada BH Online.
Justeru, pihaknya menggesa lelaki untuk menyokong advokasi pengurusan putus haid proaktif, walaupun tahap kesedaran dan kefahaman mengenainya dalam kalangan masih lelaki rendah.
"Mungkin sebilangan besar wanita memahami dan menyedari putus haid adalah sebahagian proses semula jadi penuaan.
"Namun, kesedaran mungkin yang masih kurang dari segi kesediaan bantuan dan rawatan oleh suami membuatkan emosi terjejas," katanya.
34 simptom putus haid
Bagi Ketua Bahagian Pemasaran Mega Lifesciences dan BiO-LiFE Marketing Sdn Bhd, Carolyn Kong, berkata kerjasama dengan NCWO menunjukkan komitmen dan usaha mereka untuk tingkatkan kualiti kehidupan dan kesejahteraan wanita.
Kata beliau, terdapat sekurang-kurangnya 34 simptom putus haid biasa dialami wanita. Namun, hanya tujuh peratus wanita mendapatkan rawatan diperlukan.
"Ini menunjukkan tahap pengetahuan dan pengambilan langkah untuk merawatnya masih rendah dalam kalangan masyarakat.
"Kami berharap untuk menunjukkan kepentingan kefahaman dan sokongan bagi mereka yang melalui putus haid terutama daripada pasangan wanita itu sendiri.
"Ia boleh bermula dengan perkara mudah seperti memahami mengenai simptom putus haid, membuka ruang komunikasi mengenai cara ia boleh memberi kesan terhadap orang tersayang," kata beliau.
Beliau berkata, suami perlu menemani isteri untuk mendapatkan nasihat profesional dan rawatan sesuai daripada doktor.
"Ini cara terbaik menunjukkan kasih sayang dan penghargaan kepada wanita tersayang pada saat yang penting dalam hidup mereka." kata beliau.
Antara Simptom Putus Haid
* Perubahan kitaran haid
* Kuantiti pendarahan haid sedikit
* Tiada haid dalam tempoh setahun
* Panas pada muka, leher dan dada
* Peluh berlebihan
* Kulit jadi kemerah-merahan.
* Memori dan fokus sering terganggu
* Faraj kering dan gatal
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.