Pusat Sains Singapura anjur aktiviti menarik sempena Perayaan Pertengahan Musim Luruh
Jika anda masih tercari-cari kegiatan menarik sempena Perayaan Pertengahan Musim Luruh atau juga dikenali sebagai Pesta Tanglung, anda boleh berkunjung ke Pusat Sains Singapura.
Para pengunjung Pusat Sains Singapura boleh menikmati pelbagai aktiviti sebelah malam dan 'silent disco'. (Gambar: Pusat Sains Singapura)
- Pusat Sains Singapura menganjurkan Celestial Nights hingga 27 September sempena Perayaan Pertengahan Musim Luruh, dengan gabungan kegiatan percuma dan program bertiket.
- Pengunjung boleh meneroka laluan cahaya malam antara Pusat Sains Singapura dan Japanese Garden, termasuk paparan cakerawala serta cerapan percuma di Pavilion Water Lily.
- Tiket laluan boleh ditebus percuma melalui laman web pusat itu, manakala pengalaman planetarium Moon Legends ditawarkan dengan bayaran tambahan S$4.
- Acara turut menyediakan gerai makanan dan minuman, sementara Moonbeats: Afterdark pada 26 September menawarkan silent disco, pagar sesat laser dan cermin serta DJ.
Mulai sekarang hingga 27 September, Pusat Sains Singapura menjadi tuan rumah kepada acara 'Celestial Nights', yang menawarkan pelbagai pengalaman percuma dan program bertiket.
Antara kegiatan percuma yang ditawarkan ialah laluan cahaya malam, yang boleh diteroka sendiri. Laluan tersebut menghubungkan Pusat Sains Singapura dengan Japanese Garden.
Para pengunjung boleh memulakan laluan di Metamorphosis atau Pavilion Water Lily di Japanese Garden dan menyusur paparan bercahaya yang menggambarkan objek-objek cakerawala dalam sistem suria (solar system).
Pengalaman tersebut turut merangkumi kegiatan mencerap cakerawala secara percuma di Pavilion Water Lily.
Tiket bagi laluan itu boleh ditebus secara percuma menerusi laman web Pusat Sains Singapura. Ketika artikel ini ditulis, tiket masih tersedia untuk 25 dan 26 September.
Dengan tambahan S$4, para pengunjung juga boleh menikmati pengalaman planetarium digital secara langsung, 'Moon Legends: From Myth To Mission', yang mengetengahkan kisah di sebalik beberapa legenda masyarakat Cina serta penerokaan bulan pada zaman moden.
Kegiatan lain yang boleh dinikmati melalui Celestial Nights termasuk gerai makanan dan minuman di ruang terbuka.
Bagi mereka yang ingin menikmati suasana Perayaan Pertengahan Musim Luruh dengan cara yang berbeza, 'Moonbeats: Afterdark' pada 26 September menawarkan 'silent disco', pagar sesat laser dan cermin serta persembahan DJ.
Tiket boleh dibeli menerusi laman web acara tersebut, dengan harga permulaan S$25. Setiap tiket disertakan dengan satu minuman.
Maklumat lanjut mengenai Celestial Nights boleh didapatkan menerusi laman web Pusat Sains Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.